Tak sia-sia beli kambing di pasar tamu, bekas akauntan raih Anugerah Penternak Jaya HPPNK 2025


  • Bisnes
  • Rabu, 06 Ogos 2025

Pembelian kambing secara tidak sengaja di sebuah pasar tamu di Kota Belud menjadi titik permulaan kepada Jason bergelar penternak berjaya.

SIAPA sangka, pembelian dua ekor kambing secara tidak sengaja di sebuah pasar tamu di Kota Belud kira-kira sedekad lalu menjadi titik permulaan kepada salah satu kisah kejayaan pertanian paling menginspirasikan di Sabah.

Hari ini, Jason Lee Nyuk Soon, 49, bukan sahaja dikenali sebagai penternak berjaya, malah baru-baru ini diumumkan penerima Anugerah Perdana dan Anugerah Penternak Jaya sekali gus membawa pulang wang tunai RM60,000 dan RM20,000, bagi kedua-dua kategori tersebut.

Dia menerima anugerah itu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu.

BACA LAGI: Tonjol evolusi penternakan, teknologi misi jadikan sektor pertanian, perikanan lebih ‘seksi’ di mata anak muda

BACA LAGI: Yogurt kelapa Ladang Amirah bebas tenusu, ciptaan geliga pasangan suami isteri dari Pontian

Jason (berbaju biru) menerima anugerah itu daripada Anwar pada sambutan HPPNK 2025 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu.

Menceritakan semula bagaimana ia bermula, Jason yang merupakan bekas akauntan bertauliah tidak pernah merancang untuk bergelar petani, apatah lagi penternak.

“Saya pergi ke tamu mingguan di Kota Belud pada tahun 2014 sekadar untuk jalan-jalan.

"Di situ saya ternampak pasangan warga emas cuba menjual dua ekor kambing. Mereka kata mereka perlukan duit segera, jadi saya pun beli,” katanya mengimbas kembali detik awal penglibatan dalam dunia penternakan.

Keesokan harinya, pasangan sama kembali menghubungi Jason dan menjual lagi dua ekor kambing.

Sejak itu, apa yang pada asalnya sekadar pembelian suka-suka mula berubah menjadi satu minat yang mendalam.

Jason menunjukkan sistem vermicomposting menerusi penggunaan cacing tanah untuk memproses najis kambing menjadi baja organik berkualiti tinggi. — Jabatan Perkhidmatan Veterinar

Menurut Jason, dia membela kambing di belakang rumah ibu bapanya di Kampung Tombovo, Putatan, dalam kandang yang cukup ringkas, namun lengkap dengan kemudahan asas.

Namun apabila jumlah ternakan meningkat, Jason mula memberikan komitmen penuh dengan membina kandang tambahan selain mempelajari teknik pembiakan.

Usaha keras Jason membuahkan hasil menjelang tahun ketiga, apabila dia berjaya mendapatkan kembali pelaburan awal bernilai RM500,000.

“Apabila nampak hasilnya, saya jadi lebih yakin. Jadi saya ambil keputusan untuk mengembangkan operasi,” ujarnya.

Jason kemudian mengembangkan operasi di Kampung Duvanson dalam skala lebih besar dan lengkap termasuk kuarters pekerja, bilik latihan serta kilang pemprosesan makanan ternakan.

Kambing ternakan Jason di Borneo Integrated Farm. — Jabatan Perkhidmatan Veterinar

Antara pembaharuan paling unik yang diperkenalkan Jason ialah sistem vermicomposting menerusi penggunaan cacing tanah untuk memproses najis kambing menjadi baja organik berkualiti tinggi.

“Dulu kami jual najis mentah pada harga RM10 untuk pek 20 kilogram (kg). Sekarang, baja vermikompos dijual RM5/kg,” katanya sambil memberitahu, pengeluaran boleh mencecah 5,000kg sebulan.

Baja organik itu kini digunakan secara meluas oleh penanam durian dan avokado di seluruh Sabah.

Menariknya, vermicomposting daripada penternakan cacing kini menyumbang hampir 50 peratus daripada keseluruhan pendapatan ladangnya, Borneo Integrated Farm.

Selain kambing dan cacing, Borneo Integrated Farm turut merangkumi penternakan rusa, pembiakan ikan, tanaman buah-buahan, sistem penyimpanan sejuk serta rangkaian jualan yang menawarkan susu kambing segar, daging dan pelbagai produk tempatan.

“Dengan mengawal keseluruhan rantaian daripada ladang ke pengguna, kami dapat pastikan kualiti dan kesegaran.

"Ini juga beri pulangan yang lebih baik,” katanya yang turut mengamalkan teknik kawalan bau melalui pemakanan silaj terfermentasi yang penting kerana ladangnya terletak berhampiran kawasan perumahan.

Kejayaan Jason tidak datang bergolek kerana seperti usahawan tani lain, dia turut berdepan pelbagai cabaran.

"Ladang kami pernah dilanda banjir beberapa kali. Yang terbaru berlaku pada Februari lalu.

"Memang ada kerugian tapi dengan bantuan kerajaan dan kerja keras, kami bangkit semula,” katanya.

Jason meraih Anugerah Perdana dan Anugerah Penternak Jaya sekali gus membawa pulang wang tunai RM60,000 dan RM20,000, bagi kedua-dua kategori tersebut.

Bagi Jason, rahsia kejayaan terletak pada tiga prinsip utama yang sentiasa dipegangnya iaitu kesabaran, minat dan ketekunan.

Walaupun tidak melanjutkan kerjaya dalam perakaunan, ilmu dalam bidang itu banyak membantunya dalam mengurus kewangan dan membangunkan perniagaan secara mampan.

“Aliran tunai sangat penting. Kita kena bijak melabur semula, pantau perbelanjaan dan elak pembaziran,” katanya tegas.

Jason berharap kisahnya dapat membuka mata lebih ramai golongan muda agar tidak memandang rendah terhadap kerjaya dalam bidang pertanian.

“Saya harap lebih ramai anak muda berani teroka bidang ini. Pertanian bukan kerja kotor seperti yang disangka. Ia boleh jadi satu kerjaya yang bermaruah dan menjanjikan masa depan,” ujarnya.

Jason turut berterima kasih kepada isteri dan keluarganya kerana sentiasa menyokong dan berada di sampingnya sepanjang liku-liku perjalanan membina kejayaan. — The Star/ SANDRA SOKIAL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram