Tepis tanggapan vaksin hanya untuk kanak-kanak, PCV20 bantu lindungi daripada 20 jenis bakteria pneumokokus


  • Bonda
  • Selasa, 05 Ogos 2025

Vaksin PCV20 memberikan perlindungan menyeluruh terhadap bakteria penyebab pneumonia buat semua peringkat umur. — Gambar hiasan/Canva

RAKYAT Malaysia kini mempunyai perlindungan lebih luas terhadap jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae, iaitu antara punca utama penyakit pneumoni.

Ini susulan kelulusan vaksin 20-valent pneumococcal conjugate vaccine (PCV20) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini.

Vaksin baharu keluaran syarikat farmaseutikal dari Amerika Syarikat, Pfizer, itu mampu memberi perlindungan terhadap 20 jenis serotaip bakteria pneumokokus, termasuk tujuh jenis tambahan berbanding vaksin sebelumnya, PCV13.

BACA LAGI: Jodoh awan biru, perkenalan di kerusi 24A, 24B akhirnya bersatu atas pelamin

BACA LAGI: [VIDEO] 'Nak didik anak tapi salah cara', wanita dikecam tinggal anak menangis tepi jalan di Wangsa Maju

Serotaip tambahan itu merangkumi jenis kebal antibiotik dan dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi menjadikan PCV20 satu langkah penting dalam usaha pencegahan penyakit serius.

Menurut Ketua Pusat Rujukan Nasional Streptokokus, Prof. Dr. Mark van der Linden di Jerman, dunia perubatan sentiasa berlumba-lumba mengejar kepelbagaian jenis bakteria itu yang semakin berkembang.

"Ketika ini terdapat 107 serotaip bakteria pneumokokus yang dikenal pasti.

"Kami tidak mencipta yang baharu semuanya berkembang secara semula jadi.

"Pneumokokus membiak setiap 30 minit, jadi kadar adaptasinya jauh lebih pantas berbanding manusia."

Katanya, vaksin pertama dibangunkan khusus untuk kanak-kanak, PCV7, diperkenalkan lebih dua dekad lalu di Malaysia dan menyasarkan tujuh serotaip utama yang sering menyebabkan penyakit.

Namun, apabila vaksin digunakan secara meluas dan berjaya mengurangkan jumlah kes, bakteria jenis baharu pula mula muncul.

Ia merupakan satu fenomena yang dipanggil sebagai penggantian serotaip (serotype replacement).

"Kami lihat penurunan sebanyak 40 peratus dalam kes, tapi muncul pula jenis baharu.

"Itulah sebabnya vaksin perlu sentiasa diperbaharui.

"Kita tak mampu lindungi semua 107 jenis, tetapi memperluas perlindungan sangat penting, terutama bagi golongan berisiko tinggi."

Sementara itu, pakar mikrobiologi klinikal dari Hong Kong, Dr. Teresa Wang Kin Fong, menjelaskan bahawa penyakit pneumokokus invasif kini lebih kerap berlaku dalam kalangan dewasa berbanding kanak-kanak di negaranya.

"Dulu, orang dewasa diberi vaksin polisakarida PPV23, tapi keberkesanannya terhad.

"Kami pernah guna kombinasi PPV23 dan PCV7. Tapi kini dengan PCV20, kita boleh tinggalkan PPV23 terus."

Vaksin PCV20 bukan sahaja memberi perlindungan lebih luas, malah hanya memerlukan satu dos untuk memudahkan proses bagi pesakit dan pengamal perubatan.

Di Malaysia, pengambilan vaksin dalam kalangan orang dewasa masih rendah.

Menurut bekas Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia, Prof Dr Zamberi Sekawi, hal itu berpunca daripada tanggapan lapuk bahawa vaksin hanya untuk kanak-kanak.

"Golongan dewasa yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan masalah paru-paru amat terdedah kepada komplikasi pneumonia boleh meragut nyawa.

"Vaksin bukan sahaja melindungi individu, tetapi juga memutuskan rantaian jangkitan dalam rumah tangga."

Katanya, apabila seorang ahli keluarga dijangkiti, semua penghuni rumah terdedah kepada risiko sama.

Vaksinasi dewasa penting untuk melindungi kanak-kanak kecil dan warga emas yang imuniti mereka lebih lemah.

"Kanak-kanak lahir dengan sistem imun yang belum matang, manakala warga emas pula mengalami proses kemerosotan imun (immunosenescence).

"Kedua-dua kumpulan ini perlukan perlindungan paling tinggi."

Kesedaran ibu bapa makin lemah lepas Covid-19?

Dalam pada itu, Pakar Perunding Pediatrik, Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail, mendedahkan bahawa sejak pandemik Covid-19, kebimbangan ibu bapa terhadap vaksin berubah daripada isu agama dan budaya kepada ketakutan terhadap kesan sampingan.

"Ada ibu bapa yang tolak vaksin pneumokokus, tapi akhirnya datang semula selepas anak mereka dimasukkan ke hospital.

"Malangnya, waktu itu selalunya sudah terlambat."

Dengan adanya PCV20, rakyat Malaysia kini mempunyai pilihan perlindungan yang lebih menyeluruh terhadap penyakit pneumokokus yang semakin kompleks.

Vaksin itu bukan hanya untuk kanak-kanak, tetapi satu keperluan bagi setiap peringkat umur, terutamanya mereka yang berisiko tinggi.

Jangan tunggu hingga terlambat, lindungi diri, lindungi keluarga. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram