
DI sebalik slogan kemudahan dan mesra pengguna, kemudahan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) yang semakin berleluasa di platform e-dagang kini dilihat sebagai satu bentuk hutang moden.
Malah kemudahan BNPL yang tidak dikawal itu juga didakwa membahayakan kestabilan kewangan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan belia.
Manakan tidak, dengan hanya dengan bayaran ansuran serendah RM5 sebulan, rakyat digalakkan untuk berhutang bagi pembelian kecil satu amalan yang dikhuatiri menanam budaya hidup berbelanja melebihi kemampuan.
BACA LAGI: Ibu muda kurang dapat sokongan, proses menyusukan anak boleh cetus tekanan mental — Pakar
Perunding kewangan, Shamsuddin Kadir memberi amaran bahawa BNPL bukanlah penyelesaian kepada tekanan kos sara hidup, sebaliknya satu perangkap kewangan yang halus dan licik.
“Ini bukan membantu, ini menggalakkan rakyat berhutang tanpa sedar.
"Kemudahan yang ‘dibungkus cantik’ ini sebenarnya sedang menjerumuskan rakyat ke arah krisis hutang peribadi,” katanya kepada Majoriti.
Perunding kewangan, Shamsuddin Kadir
Menurut Shamsuddin, walaupun BNPL dipasarkan sebagai alternatif kewangan yang lebih fleksibel, hakikatnya ia membuka laluan kepada pembentukan hutang mikro yang tidak dipantau secara ketat seperti pinjaman institusi kewangan berlesen.
"Kita bercakap tentang rakyat yang tidak mampu membeli barang bernilai RM20 secara tunai, tetapi ditawarkan bayaran ansuran empat kali.
"Ini petanda jelas wujudnya jurang literasi kewangan, tetapi malangnya, ruang itu dimanipulasi oleh pihak yang mengambil kesempatan,” ujarnya.
Beliau turut mengkritik kelonggaran kawal selia terhadap penyedia perkhidmatan BNPL yang semakin giat mempromosikan gaya hidup berhutang, walaupun sasaran pengguna kebanyakannya terdiri daripada golongan muda yang belum stabil dari segi pendapatan.
"Majoriti rakyat masih belum capai tahap celik kewangan yang sepatutnya.
"Tapi platform gergasi dibenarkan ‘ajar’ rakyat hidup dengan hutang. Di mana peranan penggubal dasar? Mengapa tiada pelindungan sewajarnya?” soal beliau.
Tambahnya, statistik hutang isi rumah negara yang kini melepasi 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seharusnya menjadi isyarat jelas kepada kerajaan bahawa budaya hutang sudah semakin membarah dalam masyarakat.
"Hari ini, hutang bukan sahaja digalakkan, malah diiklan secara terbuka dan dipermudahkan.
"Kita tidak mahu rakyat terpaksa menanggung derita kewangan hanya kerana dasar yang terlalu longgar,” katanya.
Pembelian yang tidak terkawal boleh menyebabkan seseorang individu itu diselubungi hutang yang banyak. — Gambar Hiasan/Agensi
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) segera memperketatkan kawal selia ke atas penyedia BNPL.
"Kalau seseorang tak mampu beli sesuatu secara tunai, itu bukan isyarat untuk tambah hutang.
"Itu petanda kita perlu bantu dari segi pendidikan kewangan, bukan galakkan mereka ‘berhutang secara mudah’,” tegas Shamsuddin.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam sesi Dewan Rakyat pada Isnin memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan pinjaman BNPL sehingga 30 Jun lalu telah mencecah RM38 bilion, iaitu bersamaan 0.2 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah.
Menurut beliau, tunggakan pinjaman juga kini telah mencecah RM121.8 juta, iaitu 3.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman BNPL.
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, BNPL merekodkan 102.6 juta transaksi dengan nilai mencecah RM9.3 bilion, meningkat 31 peratus berbanding separuh tahun sebelumnya.
Meskipun angka tersebut dilihat masih terkawal, kerajaan mengakui potensi risiko jangka panjang yang boleh menjejaskan kesejahteraan pengguna jika tidak dibendung.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram