Setiap bulan upah servis bersih, kemas rumah mak di kampung, hati rasa tenang, rezeki melimpah walau 'sekecil' perkara


  • Bonda
  • Selasa, 05 Ogos 2025

Membantu ibu dengan mengupah perkhidmatan kemas rumah jadi hadiah paling bermakna buat insan tersayang. — Gambar hiasan/Freepik AI

"AWAK boleh guna 'adult money' untuk ringankan beban mak."

Jawapan ringkas, tapi penuh makna daripada Hayati Hassan, seorang pengguna X sehingga mencetuskan rasa sebak apabila berkongsi tindakan kecil yang cukup besar ertinya.

Satu inisiatif dilakukan adalah dengan mengupah bantuan kemas rumah untuk ibunya yang sudah tidak larat melakukan kerja-kerja harian.

BACA LAGI: Baju tempahan khas tak dipakai sebab takut 'designer' lain merajuk, pereka fesyen enggan lagi 'sponsor' artis di karpet merah

BACA LAGI: [VIDEO] 'Nak didik anak tapi salah cara', wanita dikecam tinggal anak menangis tepi jalan di Wangsa Maju

Perkongsian Hayati dibuat sebagai respon kepada satu soalan tular: "Tahun ini, apa benda paling baik anda habiskan untuk duit anda?"

Jawapannya mudah, tapi menjentik dan menyentuh emosi warga maya.

"Boleh bayangkan mak anda cakap macam ini kepada anda.

"Anda boleh gunakan adult money untuk ringankan beban mak.

"Ibu bapa apabila dah berusia, tak larat kemas rumah. Bagi saya murahlah RM130 untuk tiga jam sekali dengan pengangkutan.

"Saya doakan semua dimurahkan rezeki dan dapat berbakti dekat mak ayah."

Dalam ciapan yang disertakan dengan tangkap layar perbualan WhatsApp, ibunya sempat menghantar gambar rumah selepas dikemas sambil mengucapkan terima kasih dengan nada cukup menyentuh hati.

"Adik, moga ALLAH murahkan rezeki adik. Terima kasih. Umi memang tak larat sekarang."

Tindakannya yang menggunakan duit sendiri untuk membahagiakan dan meringankan beban si ibu, telah memberi inspirasi kepada ramai pengguna X untuk berkongsi tindakan serupa.

Ramai lakukan perkara sama

@SyffaAzlan membalas dengan pengalaman sendiri: Ya, saya juga lakukan ini kepada keluarga dekat Kedah. Sebab (mereka) dah tua penat nak kemas (rumah) dua tingkat. Cuma dekat sana lagi murah tapi untuk dua jama sahaja.

@Zilahmzh pula menulis: "Bagus macam ini sekali-sekala apa salahnya. Kalau duduk kampung ada servis 'caregiver' macam 'baby' itu memang seronok.

Seorang lagi pengguna, @Topekchariwal, turut berkongsi perbualan bersama ibunya selepas dia mengupah pembantu rumah untuk datang membantu.

"Tempah orang bersih rumah untuk rumah mak saya, sejak dia tak sihat macam dulu. Sidai baju pun dah tak larat.

Mesej dari ibunya menambahkan lagi rasa hiba di ruangan komen: "Terima kasih sangat, maaf macam menyusahkan. Ibu doa moga Allah berikan segala isi dunia yang baik. Semoga menjadi anak yang soleh dunia akhirat. Ibu dah kurang sihat, ibu hargai sangat."

Perkongsian-perkongsian itu jelas membuka mata banyak pihak bahawa membahagiakan ibu bapa tidak semestinya perlu hadiah mahal atau percutian mewah.

Kadang-kadang, satu panggilan telefon, makanan kegemaran atau bantuan kecil dalam bentuk upah servis pembersihan rumah pun sudah cukup membuatkan mereka merasa disayangi dan dihargai.

Ketika di usia tua, mereka tidak minta balasan, hanya sedikit perhatian dan keprihatinan.

"Kalau mak kita dah tak minta apa-apa, mungkin itu tandanya dia perlukan kita bantu, walau dalam cara paling sederhana," kata seorang pengguna lain yang turut tersentuh membaca perkongsian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram