[VIDEO] 'Jangan sorokkan mereka di rumah', ayah cipta rekod bawa anak istimewa lari 42km di IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025 


  • Podium
  • Isnin, 04 Ogos 2025

Nur Hazim bersama anaknya Nur Alisha berjaya menamatkan larian penuh 42km pada Ahad.

DALAM catatan sejarah yang menyentuh hati, seorang bapa sudah mencipta rekod sebagai individu pertama di Malaysia menamatkan larian maraton sejauh 42 kilometer (km) bersama anak istimewanya dalam acara IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025 pada Ahad. 

Lebih istimewa, larian berkenaan bukan sekadar cabaran fizikal, tetapi simbol perjuangan dan kasih seorang Nur Hazim Hizad Ma’zman, 38, terhadap anaknya yang menghidap pelbagai komplikasi kesihatan. 

Anak Nur Hazim iaitu Nur Alisha Humairah berusia sembilan tahun merupakan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menghidap sindrom kromosom 18p-, autisme, komplikasi jantung dan masalah organ dalaman.

BACA LAGI: NPE, Besraya tutup sementara 3 Ogos untuk acara IJM Duo Highway Challenge Run 2025

BACA LAGI: [VIDEO] Sasar 12,000 peserta, IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025 seru pelari jadi ‘legenda’

"Pertama kali berlari 42km membawa anak ini memang sangat mencabar sekali. Sebab dia berat boleh kata 18 kilogram (kg). Sepanjang larian tadi lebih kurang dalam 28km, saya boleh masih maintain lagi lah. Saya punya tenaga dan pace.

"Mental datang bila sudah mula 30km ke atas. Bila dah berhenti sembahyang, lepas tu kita dah mula relax otot pada mulanya. Jadi, bila nak sambung lari balik dia akan macam-macam lah drama datang. Dia dah mula rasa sakit," kata Nur Hazim ketika ditemui selepas menamatkan larian.

Namun, dengan strategi larian tertentu seperti berjalan pantas di laluan berbukit dan mengekalkan momentum di laluan menurun, lelaki dari Telok Panglima Garang itu akhirnya berjaya menamatkan cabaran itu dengan jayanya.

Apa yang lebih memudahkan maraton berkenaan, Nur Hazim bersyukur kerana anak sulungnya tersebut tidak banyak membuat hal seperti meragam dan bahkan, menikmati larian penuh 42km berkenaan. 

Nur Hazim menunjukkan medal 42km kepada anaknya.

"Saya selalu saya lari half maraton dengan dia. Selalunya pada pukul 6 pagi (Ahad) dia dah mula bangun, dia akan minta makan susu. Tapi kali ni dia tidur agak lama. Dalam pukul 7.30 ke 8 pagi dia baru bangun. Tapi dia tak meragam. 

"Saya berhenti untuk buat susu dia dan terus bagi dia. Dari situ saya tengok dia selesa. Bila dia dah kenyang. Saya teruskan perjalanan. Saya tengok dia makin enjoy. Sebelum ni, kami banyak melakukan aktiviti ni. Awal-awal boleh dikatakan dia masih tak faham.

"Tapi sekarang ini setiap Sabtu Ahad, terlampau kerap kami bawa lari. Dia dah boleh tahu dah. Setiap pagi dia akan bangun awal. Macam pagi tadi (Ahad) sebelum berlari dia dah bangun. Start km ke 5 dia dah mula tidur sepanjang jalan hingga 30km.

"Sampai ke 30km ke atas lah. Tentu dia dah bangun. Dia enjoy the moment. Dari situ dah tahu dia akan seronok. Bila dah kena angin dan bila dah kena fast movement kan, dia akan rasa seronok. Budak-budak macam dia, itulah secara terapi dia," kongsinya. 

Nur Hazim dan keluarganya.

Dia turut merakamkan penghargaan kepada isterinya, Nur Hani Amirah, 35, yang menjadi tulang belakang keluarga dalam menguruskan keperluan harian anak mereka serta memberi sokongan tanpa henti terhadap segala usaha yang dilakukan.

Kisah yang dikongsikan ayah kepada dua anak istimewa itu bukan sahaja tentang rekod atau pencapaian peribadi, tetapi mesej yang lebih mendalam kepada masyarakat khususnya ibu bapa kepada anak-anak OKU.

“Saya nak sampaikan satu perkara: jangan sorokkan anak-anak ini di rumah. Keluar, campur dengan masyarakat. Mereka berhak menikmati dunia luar. Biar mereka rasa gembira, disayangi, dan dilihat,” tegas Nur Hazim penuh emosi.

Menerusi penyertaannya berkenaan, Nur Hazim diiktiraf mencatat nama dalam Malaysia Book of Records sebagai 'Individu Pertama Menamatkan Maraton Penuh Bersama Anak OKU dalam Stroller Tandem'.

"Ini bukan semata-mata saya nak tunjukkan kekuatan bahawa saya mampu habis 42 km. Tapi saya nak tunjukkan bahawa kita nak berjuang untuk anak-anak OKU ini. 

"Ibu bapa di luar sana perlu tahu bahawa mereka tak terhad untuk simpan kat rumah. Cuba keluarkan anak. Campuri dengan orang awam walaupun dengan anak OKU," katanya yang merupakan pengasas Persatuan Pelari Anak Luar Biasa. 

Selepas ini, Nur Hazim merancang untuk menyertai beberapa lagi acara separuh maraton sambil terus membawa Nur Alisha sebagai rakan lariannya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram