
PELAJAR lelaki tingkatan dua yang tular kerana menumbuk gurunya di sebuah sekolah dekat Kajang, Selangor mengaku bersalah atas perbuatannya di hadapan majistret pada Rabu.
Pengakuan tersebut dilakukan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil di Mahkamah Majistret Kajang dalam prosiding yang diadakan secara tertutup kerana tertuduh merupakan remaja bawah umur.
Tarikh 11 September ditetapkan sebagai tarikh jatuh hukum, selain menunggu laporan tingkah laku oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
BACA LAGI: Kerajaan pertimbang haram jual, guna 'vape' di seluruh negara
Tertuduh (kanan) mengaku bersalah kerana menumbuk cikgunya (kiri) di sebuah sekolah di Kajang, Selangor.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 (Kanun Keseksaan) dengan hukuman maksimum penjara satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.
Mengikut pendakwaan, tertuduh didapati mencederakan cikgunya yang berusia 29 tahun sekitar 4.48 petang pada Isnin.
Ia berlaku selepas tertuduh ditegur kerana ponteng kelas Pendidikan Jasmani.
Peguam yang mewakili tertuduh, S. Priyalatha memohon agar anak guamnya boleh dijamin dengan jumlah yang rendah kerana dia adalah pesalah juvana dan masih bersekolah.
Namun Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin mencadangkan agar nilai jaminan ditetapkan kepada RM5,000 mengambil kira tahap keseriusan kes selepas ia menjadi tumpuan awam rentetan video tular di media sosial.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan terhadap tertuduh adalah RM1,000 dengan seorang penjamin.
Menurut ibu tertuduh, dia menyesal dengan perbuatan yang dilakukan anaknya terhadap guru berkenaan.
Malah, tertuduh turut meminta maaf kepada ibunya mengenai apa yang berlaku. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram