[VIDEO] Remaja ambil pil kuda alasan 'kuat' panjat pokok kelapa, cari duit sara keluarga, akhirnya ketagihan


  • Bonda
  • Sabtu, 26 Jul 2025

Adik remaja yang ditahan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), Kota Bharu

SUKAR untuk mengungkapkan kata-kata, hanya yang mampu mengelengkan kepala apabila melihat baju asrama berwarna jingga Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), membaluti tubuh remaja lelaki.

Sepatutnya pada usia masih hijau remaja berkenaan berada di sekolah mendalami ilmu untuk mengejar cita-cita ataupun melakukan aktiviti sukan menyeronokkan bersama rakan-rakan seperjuangan.

Bukannya, 'menetap' di Puspen bagi menjalani proses pemulihan dan rawatan penagihan dadah.

BACA LAGI: Kanak-kanak antara 3 maut selepas bot dinaiki terbalik, pemandu sah positif dadah

BACA LAGI: Masalah dadah, vape kalangan Melayu membimbangkan — PM Anwar

Inilah situasi kehidupan sedang dialami klien muda yang dikatakan baru sahaja ditempatkan di Puspen Kota Bharu, Kelantan.

Kisah remaja terbabit dipaparkan dalam video yang dimuatnaik di TikTok puspen.kota.bharu sehingga tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam klip video itu remaja tersebut menceritakan detik-detik bagaimana boleh terjerat ke kancah najis dadah. Katanya, tidak lagi bersekolah dan bekerja mengait buah kelapa demi menyara hidup hidup.

Bicara anak ketiga daripada enam beradik itu, abang sulungnya juga penagih dadah sehingga lama-kelamaan tanggungjawab mencari wang terbeban atas bahunya.

Bagi memastikan dirinya bertenaga untuk bekerja memanjat pokok kelapa, maka pil kuda dijadikan 'ubat kuat'. Bayangkan badan kecil itu terpaksa menelan dadah yang akhirnya membinasakan diri.

Betapa sudah serasi dengan dadah, klien itu menerangkan dengan cukup terperinci rupa pil kuda berkenaan dan cara pengambilannya.

"Pil bulat, merah dan ada tulisan WY.

"Pakai straw, hancur dan bakar atas kertas rokok. Bakar pakai api kecil," katanya perlahan.

Apabila ditanya kesan dirasai selepas mengambil pil kuda itu, jawapannya ringkas, "Jadi rajin."

Namun dari gaya percakapan yang perlahan dan postur badan tidak bermaya, warga maya mengandaikan dia sedang mengalami simptom withdrawal daripada bahan terlarang itu.

Video tersebut meraih pelbagai reaksi dan mencetus perbincangan hangat dalam ruangan komen khususnya mengenai peranan 'tokan' dadah dan peranan ibu bapa dalam mengawasi anak-anak.

Pun demikian, rata-rata warganet menzahirkan rasa simpati dialami remaja itu.

"Subuh hari acik nangis tengok video ini adik," luahan pengguna TikTok mamaieyna_nordin.

Kesan penggunaan dadah bawah umur

1. Kerosakan otak, perkembangan mental terbantut

Otak remaja masih dalam proses perkembangan. Penggunaan dadah boleh mengganggu fungsi neurologi, menyebabkan kesukaran fokus, ingatan lemah dan menjejaskan keupayaan membuat keputusan. Kajian menunjukkan bahawa penggunaan dadah usia muda boleh memberi kesan kekal terhadap struktur dan fungsi otak.

2. Prestasi akademik merosot

Remaja terlibat dadah sering hilang minat terhadap pelajaran dan menghadapi masalah disiplin. Ini bukan sahaja menjejaskan masa depan, malah memberi tekanan kepada keluarga dan sistem pendidikan.

3. Masalah kesihatan fizikal, mental

Penyalahgunaan dadah boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti kerosakan hati, jantung dan sistem pernafasan. Selain itu, risiko boleh mencetuskan kemurungan, kegelisahan atau gangguan psikotik.

Penggunaan dadah dalam kalangan remaja bukan sahaja membinasakan masa depan, tetapimemberi kesan besar kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Pencegahan awal melalui pendidikan, bimbingan, dan sokongan emosi sangat penting demi memastikan generasi muda tidak terjerah dalam kancah najis dadah.

Setiap individu mempunyai peranan san tanggungjawab bersama dalam membentuk persekitaran selamat dan sihat untuk remaja membesar tanpa pengaruh dadah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram