
DUNIA perlumbaan bot laju tempatan khususnya dalam kategori F3000, yang dahulunya didominasi lelaki, kini semakin rancak dengan kemunculan pelumba wanita muda dari Sarawak, Jennin Christine Luntee.
Bagi Jennin, 23, penyertaan dalam sukan ekstrem tersebut bukan sekadar mengejar adrenalin, tetapi lebih penting lagi, menjadi bukti bahawa wanita juga mampu bersaing setaraf dengan lelaki dalam arena perlumbaan berkuasa tinggi itu.
Meski sedang menjalani latihan amali sebagai guru, namun nama pelumba kelahiran Kapit itu kini semakin menonjol selepas berjaya menembusi kategori F3000.
BACA LAGI: Anak demam berpanjangan, ibu bapa jangan ambil mudah jika bayi ada 'strawberry tongue'
BACA LAGI: Anak demam berpanjangan, ibu bapa jangan ambil mudah jika bayi ada 'strawberry tongue'
Ia adalah kategori elit yang biasanya disertai pelumba lelaki berpengalaman dan berkemahiran tinggi.
Minatnya terhadap dunia enjin dan air dipupuk sejak kecil lagi oleh bapanya, yang juga bekas pelumba bot laju.
Malah, Jennin mengakui beliau kerap menemani bapanya ke perlumbaan dan membantu sebagai kru teknikal, sebelum akhirnya memutuskan untuk mencabar dirinya sendiri di litar air.
“Sejak kecil saya memang terdedah dengan bot dan enjin. Dari situlah minat ini bercambah.
"Namun keputusan untuk bertanding itu datang dari diri sendiri,” katanya yang turut aktif dalam sukan ragbi sebagai ahli pasukan Ragbi Wanita Sarawak 14s.
Jennin menambah, ramai yang memandang sinis dan meragui keupayaannya sebagai pelumba wanita, namun segala keraguan itu dijadikan pembakar semangat untuk membuktikan kemampuan sebenar.
“Orang selalu anggap sukan ini hanya untuk lelaki, tapi bagi saya, sesiapa yang ada semangat, dia layak berada di litar tak kira lelaki atau wanita,” katanya.
Beliau yang sebelum ini hanya menguji bot 18 kuasa kuda milik bapanya secara suka-suka, kini bersaing menggunakan bot F3000 berkuasa 280 kuasa kuda.
Meskipun belum meraih kemenangan individu, Jennin menyumbang pada kejayaan pasukan Fernandez Team, yang turut disertai bapa dan bapa saudaranya.
Dalam perlumbaan terbaharu di Kuantan, beliau bersaing dengan pelumba lelaki sepenuhnya, menaiki bot yang ditaja oleh penganjur perlumbaan, Robert Michael Fernandez.
Jennin turut menyeru agar lebih banyak inisiatif diambil untuk menyokong penyertaan wanita dalam sukan permotoran.
“Saya harap lebih ramai wanita diberi peluang dan galakan dalam bidang ini. Kita juga ada potensi besar kalau diberi ruang,” katanya menutup bicara. — The Star/ANDY CHUA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram