Daiyan Trisha figura paling berpengaruh sepanjang tahun, menang besar Ultimate Award, Selebriti Stailo Terhangat!


  • Sukses
  • Isnin, 04 Ogos 2025

Daiyan turut menggondol trofi Selebriti Stailo Terhangat, sekali gus mencerminkan kedudukannya sebagai ikon fesyen dan kecantikan masa kini. — Instagram/daiyantrisha

SELEBRITI popular Daiyan Trisha dinobatkan penerima Ultimate Award pada malam kemuncak Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) yang berlangsung Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, pada Ahad.

Anugerah tertinggi AMT2025 itu merupakan penghargaan kepada figura paling berpengaruh sepanjang tahun yang dinilai berdasarkan impak positif, pencapaian seni, momen tular, sokongan dan interaksi daripada peminat serta masyarakat umum.

Tidak sekadar meraih trofi utama, Daiyan turut menggondol trofi Selebriti Stailo Terhangat, sekali gus mencerminkan kedudukannya sebagai ikon fesyen dan kecantikan masa kini.

BACA LAGI:'It suits her well', interior industrial moden banglo 2 tingkat refleksi personaliti Daiyan Trisha

BACA LAGI:[VIDEO] Daiyan Trisha teruja bekerjasama dengan Airbnb, budayakan industri pelancongan

Kemenangan Daiyan bukan sekadar mengiktiraf perjalanan seni yang berkualiti, malah turut menyoroti sumbangan dalam memperkasa imej selebriti muda yang bijak, berdikari dan relevan dalam pelbagai bidang.

Sebagai penyanyi, Daiyan atau nama sebenarnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 32, terus mengukuhkan nama di pentas muzik tanah air dengan lagu-lagu yang mencerminkan sisi puitis dan matang dalam penulisan lirik.

Daiyan memulakan langkahnya sebagai penyanyi secara aktif sekitar 2014, dengan memperkenalkan dirinya melalui platform digital seperti YouTube.

Sering memuat naik video nyanyian semula (cover) lagu-lagu popular, wanita berketinggian 164 sentimeter itu memperlihatkan kemampuannya dalam vokal dan penghayatan.

Dikenali sebagai penyanyi yang juga aktif menulis lirik, Daiyan cenderung menulis berdasarkan pengalaman peribadi, perjuangan emosi dan tema cinta, sama ada dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu.

Gaya penulisannya sering digambarkan sebagai sensitif dan puitis, mencerminkan sisi jiwa pemikirnya.

Antara karya ciptaannya yang menonjol termasuk Penat, Cinta Suka Sayang Kamu, My Home Is In Your Arms dan termasuk lagu sempena Hari Raya Aidilfitri, Jom Raya.

Daiyan juga dikenali sebagai penyanyi yang juga aktif menulis lirik berdasarkan pengalaman peribadi. — Instagram/daiyantrisha

Dalam bidang lakonan pula, kemunculannya dalam siri dan filem tempatan sering meraih pujian, bukan sekadar kerana bakat, tetapi juga pembawaan watak yang realistik dan berkesan.

Pelakon yang dikenali sebagai watak Aaida dalam Projek: Anchor SPM tersebut mula mendapat perhatian meluas menerusi telefilem pertama lakonannya yang bertajuk Dee pada 2013.

Sejak itu, beliau muncul dalam pelbagai kredit lakonannya dalam televisyen dan filem termasuk Busker (2018) dan War on Terror: KL Anarchy (2023).

Ikon fesyen

Memiliki wajah memikat dengan penampilan semula jadi yang elegan, anak kedua daripada lima beradik itu juga dilihat sebagai antara susuk penting dalam landskap fesyen dan kecantikan di Malaysia.

Gaya peribadi yang elegan, kontemporari dan eksperimental menjadikan beliau kerap menjadi pilihan rumah fesyen tempatan mahupun antarabangsa sebagai duta atau muse.

Penampilannya di karpet merah dan majlis juga berprestij sering mencuri perhatian media serta mencetus inspirasi dalam kalangan peminat wanita muda.

Daiyan kerap berkongsi sisi seni dan gaya hidupnya di laman sosial miliknya. — Instagram/daiyantrisha

Pengaruh digital

Di platform digital, figura yang memiliki 1.7 juta pengikut di Instagram itu bukan sahaja aktif berkongsi sisi seni dan gaya hidup, tetapi juga mesej berimpak seperti kesihatan mental, cintai diri dan pemerkasaan wanita.

Pendekatannya yang merendah diri membolehkan beliau mengekalkan hubungan erat dengan jutaan pengikut.

Kemenangan Daiyan dalam AMT2025 menjadi bukti bahawa beliau bukan hanya diterima industri, malah mencipta ruang dan identiti unik dalam dunia hiburan Malaysia.

Dengan pencapaian berganda dalam bidang seni, fesyen dan pengaruh sosial, tahun 2025 nyata menjadi salah satu detik emas buat figura muda yang terus menyinar ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram