Dendam terhadap bekas isteri, bapa berkeras enggan jadi wali nikah, anak pula jadi mangsa


  • Massa
  • Selasa, 11 Mac 2025

Wali yang kebiasaannya adalah bapa kandung, bertanggungjawab untuk mewalikan pernikahan anak perempuannya. — Gambar hiasan/PP Signature

DALAM perkahwinan Islam, wali memainkan peranan penting dalam memastikan akad nikah sah mengikut hukum syarak.

Pada masa sama, turut bertindak sebagai pelindung dan penjaga kepentingan anak perempuan dalam rumah tangga.

Wali lazimnya diwakili bapa kandung bertanggungjawab mewalikan pernikahan anak perempuannya. Namun, terdapat situasi bapa enggan menjalankan tanggungjawab berkenaan sehingga menyebabkan kesulitan kepada anak yang bakal bernikah.

BACA LAGI: Kes Cik Epal dan Jofliam, peguam syarie perjelas perintah komital

BACA LAGI: Apabila anak kecil enggan tinggal bersama ibu, bekas suami tidak pujuk dianggap langgar perintah mahkamah

Irsamuddin menjelaskan, anak perempuan berhak memfailkan kes di mahkamah jika bapa kandung enggan menjadi wali.

Menurut Peguam Syarie, Irsamuddin Fitri, jika bapa enggan menjadi wali tanpa alasan munasabah, anak perempuan berhak memfailkan kes di Mahkamah Syariah bagi mendapatkan wali hakim.

Dalam proses ini, mahkamah akan mendengar kedua-dua pihak bagi memahami alasan bapa menolak untuk menjadi wali.

"Mahkamah akan menilai alasan diberikan oleh bapa dan jika alasan itu tidak menepati hukum syarak, mahkamah boleh melantik wali hakim untuk menggantikan bapa sebagai wali pernikahan," jelasnya.

Menurut Irsamuddin, dalam satu kes pernah dikendalikannya, seorang bapa hanya menghadiri mahkamah sekali dan tidak lagi hadir dalam sesi perbicaraan seterusnya.

"Dalam kes sebegini, apabila bapa tidak memberikan kerjasama, mahkamah akan membuat keputusan berdasarkan keterangan pihak anak dan saksi yang relevan," katanya.

Akibatnya, kes berjalan secara sebelah pihak dan mahkamah memutuskan bahawa anak tersebut boleh bernikah menggunakan wali hakim.

Mengapa bapa enggan menjadi wali?

Terdapat pelbagai faktor menyebabkan bapa enggan mewalikan perkahwinan anaknya.

Dalam sesetengah keadaan, bapa berbuat demikian kerana mempunyai alasan sah menurut hukum syarak.

"Sebagai contoh, jika bakal suami mempunyai latar belakang yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada anak seperti masalah penagihan dadah, bapa berhak untuk tidak memberi keizinan dan mahkamah akan mempertimbangkan alasan ini," katanya.

Closeup of a black hand in fist

Alasan sering diterima peguam berkaitan bapa enggan jadi wali adalah kerana dendam terhadap bekas isteri. — Gambar hiasan/Freepik

Namun, terdapat juga kes bapa enggan menjadi wali disebabkan dendam terhadap bekas isteri sehingga anak menjadi 'mangsa' untuk membalas dendam.

"Berdasarkan pengalaman saya, ada kes bapa enggan menjadi wali hanya kerana ingin membalas dendam terhadap bekas isteri. Ini bukan alasan kukuh dan mahkamah akan melantik wali hakim dalam kes sebegini.

"Apabila si anak tak rapat dengan bapa selepas ibu bapa bercerai, mereka tidak pergi jumpa bapa. Jadi, kalau anak itu minta untuk bernikah, kebiasaannya begitulah (dendam) alasannya," kata beliau.

Selain itu, beliau turut berkongsi bahawa terdapat segelintir individu memilih untuk berkahwin di luar negara seperti di Thailand bagi mengelakkan kesulitan dalam urusan wali yang enggan bagi kerjasama.

Pun begitu, menurut Irsamuddin, tindakan sedemikian tidak wajar kerana undang-undang Malaysia telah menyediakan prosedur yang sah untuk mengatasi masalah ini.

"Tidak perlu ke Thailand kerana sistem perundangan kita telah menyediakan jalan penyelesaian. Memfailkan kes di Mahkamah Syariah mungkin mengambil masa lebih lama, tetapi ia memastikan perkahwinan tersebut sah dan tidak melanggar undang-undang," tegasnya.

Justeru, bagi individu yang berhadapan dengan situasi wali enggan, langkah terbaik adalah dengan mengikuti prosedur ditetapkan undang-undang syariah di Malaysia.

Dengan memfailkan kes di Mahkamah Syariah, anak dapat memastikan hak terjamin dan perkahwinannya sah di sisi undang-undang.

"Ikutlah prosedur yang betul supaya perkahwinan tidak menimbulkan masalah pada kemudian hari," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram