[VIDEO] Merantau ke Sydney 3 tahun, wanita syukur dikurniakan tuan rumah baik hati seperti keluarga sendiri


  • Maya
  • Jumaat, 01 Ogos 2025

Zameera Zabir (kanan) bersama tuan rumahnya, Mr John di Australia. — Instagram/Zameera Zabir

BERGELAR perantau di negara asing bukan satu perkara mudah apatah lagi mereka yang kali pertama menjejak kaki ke luar negara.

Namun, bagi Zameera Zabir ia bagaikan satu rahmat dan rezeki apabila dia dan keluarganya dikurniakan seorang tuan rumah yang sangat memahami saling tak tumpah seperti keluarga sendiri.

Mengambil keputusan untuk berhijrah ke Australia sejak 2022, dia dan keluarganya kini menetap di sebuah kediaman sekitar Sydney.

BACA LAGI: Wajah menua ketika hamil, wanita kongsi muka kembali pulih lepas 21 hari bersalin

BACA LAGI: Saiz rahim membesar seperti hamil, wanita hidap fibroid kongsi simptom awal perlu diperiksa

Akui agak sukar untuk mengimbangi kos perbelanjaan dan sara hidup di negara terbabit di awal penghijrahannya, Zameera bersyukur apabila doanya untuk tinggal di sebuah rumah selesa dimakbulkan.

Lebih menggembirakan, tuan rumah yang dikenali sebagai Mr John, seorang yang baik hati dan menyenangkan. 

"Antara rezeki dan nikmat yang ALLAH bagi tak dapat dinilai dengan wang ringgit mahupun kata-kata.

"Kami doa nak merasa rumah ada laman besar, Alhamdulillah ALLAH bagi laman besar sungguh, rupanya dengan pakej tuan rumah baik hati.

"Banyak pengajaran yang kami belajar dengan Mr John, sesungguhnya betapa dia memudahkan urusan kami di rantau, orang lain agreement rumah enam bulan atau setahun tapi kami dapat dua tahun terus," kongsinya di laman Instagram.

 

 

Dalam pada itu, ibu kepada tiga cahaya mata itu turut merakamkan penghargaan ke atas Mr John dan keluarganya kerana sentiasa sedia membantu terutamanya hal berkaitan kerosakan rumah.

Ringan tulang dalam menghulurkan bantuan, kesemua ahli keluarga Mr John dikatakan sangat mahir dalam urusan membaiki rumah dan tidak pernah berkira soal waktu serta upah.

Perkongsiannya menjadi bukti bahawa setiap kesusahan dalam merantau pasti akan hadir bersama kemudahan dan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Bagi Zameera, hubungan baik antara mereka bukan sekadar urusan penyewa dan tuan rumah, tetapi lebih kepada silaturrahim yang terbina atas dasar hormat, tolak ansur dan kasih sayang seolah-olah berada di samping keluarga sendiri di tanah air.

Pengalamannya wajar dijadikan inspirasi buat mereka yang bakal menjejak kaki ke luar negara bahawa rezeki bukan hanya pada harta, tetapi juga pada insan yang ALLAH hadirkan untuk memudahkan urusan di bumi asing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram