
BAYI berusia bawah sembilan bulan berada dalam kumpulan berisiko tinggi dijangkiti penyakit berjangkit demam campak ataupun cacar air (chicken pox).
Walaupun kebiasaannya dikaitkan dengan simptom ringan dalam kalangan kanak-kanak, komplikasinya boleh bertukar serius khususnya bagi bayi yang sistem imunisasinya belum matang.
Pakar Kanak-Kanak Dr Teh Wai Bin menyatakan kepentingan pengambilan vaksin seawal usia enam bulan kelahiran.
BACA LAGI: Saiz rahim membesar seperti hamil, wanita hidap fibroid kongsi simptom awal perlu diperiksa
Dr Teh Wai Bin tegas menyatakan kepentingan pengambilan vaksin Measles Rubella bagi bayi.
"Untuk anak yang bawah usia sembilan bulan, ada risiko dapat jangkitan demam campak walaupun kes jarang disebabkan herd immunity tapi malang tidak berbau! Kes campak di Malaysia makin meningkat," ujarnya
Jelasnya, penyakit berjangkit itu boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti pneumonia, radang otak (encephalitis), jangkitan telinga, jangkitan mata, demam sawan dan Subacute Sclerosing Panencephalitis (SSPE) sejenis jangkitan otak yang boleh mengganggu perkembangan mental serta fizikal anak secara kekal.
Simptom peringkat awal
Simptom dan gejala demam campak boleh dikenal pasti melalui petanda seperti berikut:
- Demam
- Badan berasa letih
- Hilang selera makan
- Ruam dan kulit gatal
- Kudis berair dan kulit kelihatan bertompok atau berkerak
Biarpun kebanyakan kes demam campak pulih tanpa komplikasi, bayi dan individu dewasa yang dijangkiti boleh mengalami gejala lebih berat.
Menurut kajian antarabangsa, statistik kesihatan Amerika Syarikat (AS) pada 2022 merekodkan kurang 30 kematian akibat cacar air dan lebih daripada 1,400 individu dimasukkan ke hospital.
Walaupun risiko kematian adalah rendah, langkah pencegahan wajar diambil dengan suntikan vaksin khususnya buat golongan bayi.
Vaksin Measles Rubella (MR) percuma
Dalam usaha mengekang peningkatan semula kes campak di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan program pemberian vaksin MR secara percuma kepada kanak-kanak berumur enam bulan hingga lima tahun di semua klinik kesihatan kerajaan, bermula 4 Ogos 2025.
Langkah itu bertujuan memberi perlindungan awal kepada kanak-kanak yang masih belum mencapai usia untuk menerima suntikan MMR (campak, beguk dan rubela) pada umur sembilan bulan.
Dengan peningkatan kes penyakit berjangkit seperti demam campak, kesedaran terhadap kepentingan imunisasi semakin penting dan ibu bapa seharusnya cakna akan program vaksinasi dijalankan KKM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram