
BIARPUN bergelar ibu menyusu, ia tidak menghalang seorang ahli Parlimen Eropah (MEP) asal Itali ini untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
Cekal menggendong bayinya bersama di parlimen, perkara tersebut mula dilakukan Licia Ronzulli seawal usia sebulan bayinya yang ketika itu masih dalam proses berpantang selepas bersalin.
Bukan sekadar peneman di parlimen, anaknya, Vittoria secara tidak langsung membesar di hadapan puluhan kamera dan ahli politik antarabangsa lain yang menjadi saksi kepada detik tersebut.
BACA LAGI: Wajah menua ketika hamil, wanita kongsi muka kembali pulih lepas 21 hari bersalin
BACA LAGI: Saiz rahim membesar seperti hamil, wanita hidap fibroid kongsi simptom awal perlu diperiksa
Momen kali pertama Ronzulli membawa Vittoria ke Parlimen Eropah ialah pada 22 September 2010 bila mana anaknya kelihatan masih dalam pangkuan dan tidur nyenyak di samping ibunya semasa sesi mesyuarat sedang berlangsung.
Sejak itu, Ronzulli terus membawa anaknya ke beberapa program sidang rasmi hinggakan pada usia tiga tahun, Vittoria dianggap sebagai 'veteran cilik' di kalangan pengamal media politik negara tersebut.
Biarpun kerap tidur dan ada kalanya menonton kartun di telefon pintar, peranan si comel itu sentiasa mencuri perhatian ramai yang menyiatkan ia sebagai situasi unik dalam dunia politik.
Sementara itu, Ronzulli baru-baru ini menerusi hantaran di Facebook turut menitip ucapan bangga dan bersyukur kerana kisahnya masih dijadikan sumber rujukan serta teladan ramai
"Sungguh mengagumkan untuk melihat bagaimana selepas 15 tahun imej ini masih menjadi ikon, penanda aras untuk semua wanita yang ingin mengimbangi keluarga dan kerja, tanpa berputus asa dengan cita-cita dan impian hidup.
"Saya sudah cuba sedaya upaya dan perjalanan masih panjang dan jauh untuk diteruskan," katanya.
Kisah Licia Ronzulli dan anaknya, Vittoria, bukan sekadar momen manis dalam arena politik — ia adalah simbol kepada perjuangan wanita yang sering terpaksa memilih antara kerjaya dan keluarga.
Dalam dunia yang kian menuntut kesamarataan dan sokongan terhadap ibu bekerja, tindakan kecil seperti itu boleh mencetus impak besar dalam isu berkaitan.
Ronzulli telah membuktikan bahawa menjadi ibu bukan penghalang untuk berkhidmat kepada masyarakat, malah ia memperkayakan perspektif seorang pemimpin yang wajar dicontohi ramai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram