Kulit muka berjerawat ketika hamil, bahan retinol boleh jejas perkembangan janin


  • Bonda
  • Jumaat, 01 Ogos 2025

Wanita hamil berisiko tinggi berdepan masalah kulit berjeragat ekoran isu hormon tidak stabil. — Gambar hiasan/Janaan AI

PROSES kehamilan merupakan satu detik gembira dinantikan setiap pasangan berkahwin lebih-lebih lagi mereka yang sudah lama menanti cahaya mata.

Pun begitu, kegembiraan itu juga hadir dengan cabaran dan dugaan perlu dihadapi khususnya insan bergelar wanita hamil.

Tempoh sembilan bulan mengandung tidak semudah disangka kerana si ibu berisiko tinggi mengalami pelbagai komplikasi kesihatan dan perubahan fizikal sama ada dari segi rupa mahupun saiz badan.

BACA LAGI: Wajah menua ketika hamil, wanita kongsi muka kembali pulih lepas 21 hari bersalin

BACA LAGI: Saiz rahim membesar seperti hamil, wanita hidap fibroid kongsi simptom awal perlu diperiksa

Paling sinonim dengan situasi itu pastinya masalah kulit dihadapi golongan wanita yang lazimnya boleh menjejaskan keyakinan serta emosi individu.

Isu kulit kusam, kegelapan pada kawasan lipatan serta hiperpigmentasi adalah antara masalah biasa dialami wanita hamil.

Menurut Dr. Alina Hasni, pakar penjagaan kulit dan pengasas Dermaline Skin Care, perubahan hormon yang berlaku ketika hamil menyebabkan sel pengeluar melanin (melanosit) menjadi sangat aktif.

Dr. Alina Hasni merupakan pengasas Dermaline Skin Care.

 

Ia sekaligus mengakibatkan perubahan warna kulit terutama di wajah, leher dan bahagian lipatan tubuh.

"Ketika hamil, melanin menjadi sangat aktif, itulah sebabnya banyak ibu mengadu kulit menjadi gelap tapi perubahan ini bersifat sementara dan biasanya akan pudar selepas bersalin," katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Majoriti.

Namun, beliau dalam masa sama turut menekankan bahawa penjagaan kulit ketika hamil tidak boleh dipandang ringan, kerana ia melibatkan keselamatan dua individu iaitu ibu dan bayi yang sedang dikandung.

 

 

 

Retinol dan asid perlu dielakkan

Jelasnya, terdapat beberapa bahan dalam produk kosmetik yang perlu dielakkan oleh wanita hamil kerana memberi risiko kepada janin.

Antara yang paling popular ialah retinol dan bahan berasaskan asid seperti salicylic acid (BHA).

"Retinol boleh menyebabkan teratogenicity, iaitu keadaan di mana perkembangan tubuh janin terganggu.

"Ini bukan perkara kecil, salicylic acid pun sama sebab ia boleh meresap ke dalam aliran darah dan menjejaskan kesihatan bayi, walhal banyak produk lain lebih sesuai dan selamat digunakan," katanya.

Disebabkan isu keselamatan dan kekurangan kajian klinikal terhadap wanita hamil, ramai pakar mencadangkan untuk menjauhi bahan-bahan aktif itu sepanjang tempoh kehamilan.

 

Produk selamat digunakan semasa hamil

 

Antara bahan disarankan dan selamat digunakan oleh ibu hamil termasuklah:

- Vitamin C

- Niacinamide

- Azelaic Acid

Bahan-bahan tersebut bukan sahaja membantu merawat kulit bermasalah, malah bersifat 'mesra pengguna' dan tidak memberi kesan bahaya kepada janin.

"Produk yang sesuai adalah yang soothing dan gentle, kalau nak cantik semasa hamil, pilih bahan yang tidak mengandungi asid keras dan pastikan ia selamat.

"Kulit perlu dijaga seperti kita menjaga kesihatan tubuh, saya sebagai ahli dalam bidang ini, saya tak rasa benda ini patut diabaikanlah, you really have to take care of your skin, like you take care of your own self.

"Sebab kulit ni, you nak pakai lama dia bukan macam pakai baju you boleh pilih baju lain, kulit pun kena sihat, badan pun kena sihat, itu sangat penting," tambahnya.

Dalam pada itu, ramai wanita mengalami masalah kulit kering dan sensitif ketika hamil yang boleh menyebabkan kegatalan dan keradangan jika tidak diurus dengan betul.

Jelas Dr. Alina, masalah itu masih boleh ditangani dengan rawatan yang selamat dan sebaiknya ibu hamil digalakkan mendapatkan nasihat pakar sebelum menggunakan sebarang produk kosmetik.

Kehamilan bukan penghalang untuk kekal cantik dan sihat namun, pemilihan produk yang tepat sangat penting bagi mengelakkan sebarang komplikasi terhadap bayi dalam kandungan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram