
KELIHATAN seperti hamil, namun realitinya cukup memeritkan apabila seorang wanita ini sebenarnya menghidapi fibroid yang mengakibatkan saiz rahimnya membesar.
Merupakan seorang doktor pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G), @huda.ninol menerusi laman Threads berkongsi pengalaman dan simptom awal dihadapi yang menurutnya satu perkara perlu dititikberatkan wanita-wanita di luar sana.
"Saya mungkin kelihatan seperti mengandung, tapi sebenarnya saya menghidap fibroid yang sangat besar," katanya, sambil menjelaskan bahawa pengalaman itu adalah antara detik paling mencabar dalam hidupnya.
BACA LAGI: Pelajar lebih berdisiplin, berdaya saing, ini panduan ibu bapa kali pertama daftar anak ke SBP
BACA LAGI: Harumkan nama negara, Sekolah Seri Puteri rangkul emas di 11th World Orchestra Festival Austria
Jelasnya, disebabkan saiz fibroid yang besar, dia terpaksa menjalani pembedahan serius yang juga merupakan satu prosedur lebih invasif berbanding rawatan caesarean biasa.
"Pemulihannya jauh lebih lama, tapi saya tetap bersyukur kerana ia berjaya membuang fibroid sepenuhnya dan meningkatkan kualiti hidup saya," katanya.
Antara simptom awal dan kerap dialaminya adalah:
- Nocturia: Kerap bangun malam hingga empat hingga enam kali untuk ke tandas
- Sakit perut yang berterusan dan mengganggu emosi serta prestasi harian
- Tekanan akibat saiz fibroid yang menekan organ sekeliling
- Pendarahan haid yang luar biasa
- Rasa tidak selesa di bahagian pelvik
Akui kecuaian dan sikapnya yang terlalu memandang ringan telah mengakibatkan saiz fibroid itu semakin membesar dan sukar dirawat, @huda.ninol walau bagaimanapun masih bersyukur apabila ia masih boleh dirawat biarpun erpaksa menjalani pembedahan kritikal.
Jelasnya, sekiranya fibroid dikesan lebih awal rawatan seperti laparoscopic atau pfannestiel incision mungkin boleh dipertimbangkan kerana ia lebih mudah dan kurang menyakitkan.
"Tetapi jika anda alami haid yang banyak, sakit kuat ketika haid atau isu ketidaksuburan, segera berjumpa pakar ginekologi untuk berbincang tentang kaedah pilihan rawatan," tambahnya.
Mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, wanita tersebut memuji hasil kerja pakar dan tenaga kerja di pusat perubatan terbabit dalam menjalankan pembedahan dengan penuh efisien dan bertanggungjawab.
Justeru, perkongsiannya wajar dijadikan peringatan penting buat semua wanita agar tidak memandang ringan simptom-simptom berkaitan fibroid.
Walaupun kebanyakan kes tidak bergejala, penting untuk ia dipantau secara berkala dan tidak bertangguh untuk mendapatkan nasihat pakar sekiranya masih berlarutan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram