
SIRI animasi Netflix popular Korea Selatan, Demon Hunters mengekalkan kedudukannya di tangga teratas carta global dan semakin fenomena di kalangan peminat filem antarabangsa.
Bukan itu sahaja, runut bunyi animasi muzikal terbitan Sony Pictures Animation tersebut, The Light In My Shadow turut menjadi siulan ramai selain berjaya menduduki carta Lagu Popular Harian Global di Spotify.
Menambahkan lagi kehangatan siri tersebut, ramai pempengaruh dan penyanyi popular serata dunia turut menghasilkan nyanyian cover lagu itu dengan gaya dan penyampaian masing-masing.
Antara yang paling meraih tumpuan di platform sosial adalah The Light In My Shadow versi Gaston Pong.
Tampil versatil dalam menyanyikan lagu itu, penyanyi dan juga pengasas label muzik Pong Pong Entertainment tersebut meraih perkongsian ribuan peminat di platform Instagram yang nyata mengagumi keunikan ditampilkan.
Menggabungkan lebih daripada lima bahasa serata dunia, ayat 'ke langit, up up, kita terbang tinggi' antara yang paling mencuri perhatian.
Disangka artis kelahiran Korea Selatan, jejaka berusia 28 tahun itu sebenarnya merupakan anak jati Johor Bahru, Johor yang terlebih dahulu mencipta nama di industri muzik China.
Pada 2019, Gaston membentuk sebuah kumpulan duo muzik Pong Pong bersama adik perempuannya, Jeii Pong dan aktif menghasilkan cover lagu dalam bahasa Mandarin.
Mereka kemudiannya menandatangani kontrak bersama label hiburan di Beijing, Manikin Entertainment dan lagunya, Ring Ring Ring, mencatat kejayaan besar di China dengan lebih 1.9 bilion tontonan di platform sosial tempatan.
Sekembalinya di Malaysia, Gaston dan adiknya menubuhkan sebuah syarikat muzik Pong Pong Entertainment yang berfungsi sebagai label pengurusan artis, studio rakaman dan agensi pemasaran digital.
Menerusi platform itu, mereka bukan sahaja menerbitkan lagu sendiri tetapi turut membantu bakat muda tempatan menonjolkan karya mereka antaranya kumpulan DOLLA, Janice Yan dan ramai lagi.
Kini, namanya semakin dikenali dalam industri hiburan tempatan selain pernah berkongsi pentas bersama penyanyi popular Hael Husaini pada anugerah TikTok tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram