Gemar berbaju hitam berbanding warna lain? Ini ciri unik dan kekuatan dalaman yang mungkin anda tak sedari


  • Sihat
  • Khamis, 17 Jul 2025

Memakai pakaian berwarna hitam dinilai lebih menarik berbanding warna lain.  — Gambar Hiasan

WARNA hitam sering menjadi pilihan ramai sama ada ke tempat kerja, menghadiri majlis rasmi mahupun menjalani rutin harian. 

Namun, di sebalik kesederhanaannya, pilihan terhadap warna itu sebenarnya membawa makna yang lebih mendalam.

Ia bukan sekadar soal fesyen atau gaya tetapi berkait rapat dengan psikologi, emosi dan cara individu mengekspresikan diri terutamanya ketika berdepan tekanan, keletihan atau ketidaktentuan hidup.

BACA LAGI: [VIDEO] Dari 'fascinator' ke tiara, kemunculan semula Kate Middleton di acara rasmi istana raih pujian peminat fesyen

BACA LAGI: Hilang sosok ibu, mangsa kemalangan maut langgar anjing di Klang rupanya ibu tunggal, cekal urus 4 anak sendiri

Seorang ibu, Olivia pernah alami satu situasi yang membuatkan dia mulai memikirkan lebih jauh tentang pilihan warna ini.

“Saya menghadiri majlis kutipan dana sekolah anak saya dalam pakaian serba hitam sambil memegang tiket cabutan bertuah, kotak minuman dan menaip artikel di telefon.

"Pengetua tersenyum dan bergurau, ‘Olivia, awak kelihatan seperti ingin memberi ceramah TED Talk… atau mengetuai rampasan kuasa,’” katanya.

Olivia berkata, detik itu mencetuskan keinginannya untuk memahami lebih lanjut makna sebenar di sebalik pemilihan warna hitam.

Berdasarkan hasil kajian psikologi dan pengalaman peribadi, berikut adalah lima sebab utama mengapa ramai cenderung memilih warna hitam dalam kehidupan seharian:

1. Lambang keyakinan diri

Warna hitam sering dikaitkan dengan kuasa, ketegasan dan keyakinan. 

Dalam kajian yang diterbitkan oleh Acta Psychologica pada 2021, wanita yang mengenakan pakaian berwarna hitam atau merah dinilai lebih menarik dan kelihatan lebih langsing berbanding pemakaian warna lain.

Menurut Olivia, apabila seseorang berasa yakin dengan penampilan mereka, ia akan turut memberi kesan terhadap postur tubuh, nada suara dan kehadiran secara keseluruhan.

Seorang rakannya yang kini bergelar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) turut berkongsi bahawa beliau mengenakan pakaian hitam semasa semua sesi pembentangan di awal penubuhan syarikat.

“Saya perlu yakinkan diri sendiri bahawa saya layak berada dalam bilik itu. Hitam membuatkan saya rasa kuat,” katanya. 

Keyakinan itu ternyata berhasil membuatkannya berjaya memperoleh pembiayaan daripada beberapa pelabur utama.

2. Keputusan strategik

Pakaian formal yang sering berwarna gelap turut memberi kelebihan dalam membuat keputusan. 

Kajian oleh Social Psychological and Personality Science mendapati bahawa mereka yang berpakaian formal lebih cenderung berfikir secara strategik dan luas.

Hitam bukan sahaja nampak profesional, tetapi juga memberi kesan kepada cara seseorang berfikir iaitu sesuatu yang berguna dalam situasi penting seperti temu duga atau pembentangan.

3. Pelindung privasi emosi

Warna hitam juga sering menjadi pilihan bagi mereka yang mahu bergerak tanpa menarik perhatian. 

Dalam tempoh berpantang selepas bersalin, Olivia mengakui lebih selesa berpakaian hitam sepenuhnya ketika keluar ke kedai atau farmasi.

“Saya ke farmasi pakai hoodie, legging dan cermin mata hitam. Seorang wanita kata saya nampak kemas. Saya hampir ketawa sebab realitinya saya belum mandi dan baju ada sisa makanan bayi,” katanya.

Namun, dia sedar, pakaian hitam memberikan ruang privasi iaitu isyarat halus kepada orang sekeliling bahawa dia tidak mahu diganggu.

4. Lambang kreativiti dan kebebasan memilih

Pakar psikologi menyifatkan warna hitam sebagai kanvas kosong yang membolehkan seseorang fokus kepada kerja atau hasil kreatif tanpa gangguan daripada unsur warna yang mencuri perhatian.

Olivia berkongsi bahawa dia lebih mudah menulis ketika berpakaian hitam kerana tidak perlu risau tentang penampilan.

“Bila saya berpakaian hitam, fokus saya hanya pada tulisan, bukan pakaian. Cerita lebih penting dari gaya,” ujarnya.

5. Ruang untuk menentukan identiti sendiri

Warna hitam juga memberi peluang kepada individu untuk menentukan naratif mereka sendiri tanpa perlu bergantung kepada persepsi umum terhadap warna yang ceria atau menyerlah.

“Saya sedang membesarkan anak lelaki saya agar memilih pakaian berdasarkan perasaan dan  bukannya untuk dinilai orang semata-mata. Hari ini mungkin hitam, esok mungkin hijau terang... asalkan dia tahu identiti dirinya sendiri,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram