
DI sebalik busana indah berasaskan songket yang diperagakan pada Simposium Fabrik ASEAN 2025, tersimpan satu idea unik daripada pemilik jenama Zachrin Jaafars, Sazrin Jaafar untuk mengangkat busana Melayu ke persada antarabangsa.
Sazrin berkata, dia mendapat ilham untuk menghasilkan sesuatu karya dengan melihat sejarah lampau atau penceritaan berbentuk metafora, sebelum diterjemah menjadi busana yang sarat nilai budaya.
“Kebanyakan inspirasi datang daripada naratif lama yang saya olah semula secara moden. Bagi saya, busana bukan sekadar pakaian, tetapi satu bentuk penyampaian seni dan identiti bangsa,” katanya kepada Majoriti.
Lelaki berusia 33 tahun itu berkata, yang membezakan koleksi Zachrin Jaafars daripada pereka lain ialah keutamaannya terhadap hasil kerja komuniti luar bandar.
Buktinya, kain songket yang digunakan ditenun sendiri oleh generasi kedua Felda Chini di Pekan, Pahang.
"Saya berpegang pada prinsip advokasi komuniti. Bagi saya, sebagai pereka muda, ini tanggungjawab saya untuk membawa hasil kerja orang di luar bandar ke pentas antarabangsa.
"Saya sebahagian daripada mereka dan saya tahu potensi mereka,” kata pereka muda tempatan itu.
Jenama Zachrin Jaafars dipamerkan di Washington DC, Amerika Syarikat.
Di simposium yang turut dihadiri Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Sazrin mempersembahkan koleksi bernama Tanah Tumpah iaitu gabungan adibusana yang diinspirasikan daripada pakaian etnik pelbagai kaum di Malaysia.
Koleksi tersebut bukan sekadar menghiasi pentas tempatan, bahkan sudah terlebih dahulu dipamerkan di Washington DC, Amerika Syarikat pada Oktober 2024.
“Saya berada sebulan di Washington untuk mempersembahkan koleksi ini dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Orang Amerika sangat menyukai songket.
"Mereka mendapati songket istimewa dan berbeza. Sesuatu yang baru bagi mereka. Jadi, bagi saya, it's quite a privilege to represent Malaysia,” katanya.
Sudah hampir sembilan tahun berkecimpung dalam industri, Tanah Tumpah merupakan koleksi kelima bagi pertunjukan fesyen jenama tersebut.
Menurutnya, setiap rekaan dalam koleksi itu dikategorikan sebagai adibusana iaitu busana eksklusif yang direka khas untuk majlis tertentu dan boleh mencecah harga puluhan ribu ringgit sepasang.
Selain adibusana, Zachrin Jaafars juga menawarkan perkhidmatan rekaan pakaian pengantin dan koleksi sedia pakai.
Mengulas mengenai cabaran menjadi pereka muda, Sazrin menegaskan kepentingan pendidikan dalam membina asas kukuh dalam industri fesyen.
“Ilmu tetap yang utama. Di mana pun kita berada, ilmu membolehkan kita bermula dari bawah. Saya sendiri bermula dalam bidang fesyen sewaktu menyambung pengajian dalam jurusan fesyen di UiTM.
Bagi Sazrin, memilih untuk kekal dengan identiti tradisional bukanlah satu kekangan, sebaliknya satu kekuatan.
“Saya sedar ramai memilih untuk ke arah konsep moden sepenuhnya, tetapi saya yakin angkat tradisi lebih bermakna.
"Warisan bangsa dan sentuhan komuniti itulah yang menjadikan Zachrin Jaafars berbeza,” katanya. — Majoriti