Pesona diraja di gelanggang tenis, gaya sedondon Dayang Anisha dan Putera Mateen jadi tumpuan di Wimbledon 2025


  • Gaya
  • Isnin, 14 Jul 2025

Dayang Anisha dan Putera Mateen tampil dengan gaya sedondon klasik moden pada perlawanan akhir Kejohanan Wimbledon 2025 di England. — Instagram/@tmski

SELEPAS penampilan anggun di Royal Ascot 2025 pada Jun lalu, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Dayang Anisha Rosnah Adam sekali lagi menarik perhatian apabila menghadiri perlawanan akhir Kejohanan Wimbledon 2025 di The All England Lawn Tennis and Croquet Club, Wimbledon, barat daya, London.

Beliau hadir bersama suaminya, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah dengan kedua-duanya tampil dalam persalinan rona putih yang sedondon dan bergaya.

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh anakanda Sultan Brunei itu pada Ahad, Dayang Anisha menggayakan sut putih berlengan pendek yang dihiasi deretan butang di bahagian hadapan.

BACA LAGI: 'Dulang girls' Eyka Farhana, 7 selebriti melaram hasil rekaan pereka fesyen pilihan

BACA LAGI: [VIDEO] Hadir berkostum Superman di parti hari jadi, usaha Syed Saddiq tambat hati anak Bella Astillah

 

Gaya ringkas beliau disempurnakan dengan beg tangan Hermes Mini Kelly dan sandal senada dengan busananya.

Rambutnya pula dikemaskan dengan gaya ikatan persis halo headband, memberi sentuhan elegan pada keseluruhan penampilan.

Putera Mateen turut memilih sut putih yang dipadankan dengan kemeja biru cair dan tali leher gelap.

Kedua-duanya mengenakan cermin mata hitam, mencipta gaya yang serasi dan menjadi sorotan hadirin serta warga maya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, acara akhir Wimbledon bukan sekadar medan sukan, malah turut menjadi pentas peragaan fesyen berkelas tinggi.

(Dari kiri) Priyanka, Kate Middleton dan Olivia Rodrigo antara personaliti yang hadir ke Wimbledon 2025. — Agensi

Tahun ini, acara itu turut dihadiri oleh beberapa personaliti terkenal antarabangsa seperti Kate Middleton, Keira Knightley, Sienna Miller, Priyanka Chopra dan Olivia Rodrigo.

Dalam perkembangan sukan tersebut, pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek dinobatkan sebagai juara Wimbledon 2025 buat kali pertama selepas menewaskan Amanda Anisimova dari Amerika Syarikat dengan keputusan 6-0, 6-0 pada Sabtu lalu.

Ini merupakan gelaran Grand Slam keenam dalam kerjayanya dan kemenangan sulung di gelanggang rumput Wimbledon.

Untuk makluman, Wimbledon merupakan kejohanan tenis tertua dan paling berprestij di dunia. Ia adalah salah satu daripada empat kejohanan Grand Slam dan satu-satunya yang dimainkan di gelanggang rumput.

Sejak dianjurkan pada tahun 1877, Wimbledon dikenali bukan sahaja kerana nilai tradisinya, tetapi juga sebagai acara sosial elit yang menghimpunkan bintang sukan, keluarga diraja dan selebriti antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram