
PELAKON tersohor Malaysia, Michelle Yeoh terus mengukir nama di persada antarabangsa apabila dipilih sebagai suara latar bagi watak ibu kepada Nezha dalam versi Bahasa Inggeris filem animasi terkenal dari China, Ne Zha 2.
Filem itu dijadualkan untuk tayangan di Amerika Syarikat bermula 22 Ogos nanti.
Ne Zha 2, yang kini diangkat sebagai filem animasi dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman berjaya mengatasi filem Inside Out 2 (2024) terbitan Pixar.
Sejak ditayangkan di China pada 29 Januari lalu, filem itu mencatat rekod luar biasa apabila meraih lebih RM4.7 bilion (AS$1 bilion) dalam masa kurang dua minggu sehingga menjadikannya filem bukan Hollywood pertama yang mencapai kejayaan tersebut.
Secara keseluruhan, Ne Zha 2 berjaya mengutip kira-kira RM10.4 bilion (AS$2.2 bilion) di seluruh dunia termasuk sekitar RM94 juta (AS$20 juta) daripada tayangan di Amerika Syarikat dan Kanada.
Jumlah itu mengatasi mana-mana filem animasi lain dalam sejarah, tanpa mengambil kira kadar inflasi.
Versi Bahasa Inggeris filem ini turut menampilkan barisan pelakon suara seperti Aleks Le, Crystal Lee dan pelakon berdarah kacukan Filipina-Amerika, Vincent Rodriguez III.
Michelle Yeoh, 62, yang sebelum ini mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama memenangi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi menerusi filem Everything Everywhere All At Once (2022), meluahkan rasa bangga dapat terlibat dalam filem animasi itu.
“Saya rasa sangat berbesar hati menjadi sebahagian daripada Ne Zha 2. Filem ini bukan sahaja menampilkan seni animasi yang menakjubkan tetapi juga mengangkat kisah rakyat yang bersifat sejagat,” kata Yeoh dalam satu kenyataan.
Beliau turut berharap penonton seluruh dunia dapat merasai keajaiban dan nilai kemanusiaan yang disampaikan filem tersebut di layar perak.
Filem Ne Zha 2 merupakan sambungan kepada filem asal Ne Zha (2019), yang turut mencipta fenomena dan mencatat kutipan kira-kira RM3.4 bilion (AS$726 juta) di peringkat global.
Dalam filem pertama, Nezha digambarkan sebagai kelahiran semula makhluk ghaib yang ditakdirkan hidup hanya selama tiga tahun, namun bangkit melawan takdir dan menyelamatkan kampungnya.
Dalam sekuel itu, penonton dibawa menyelami perjuangan Nezha yang kini berdepan dengan sistem kuasa dan autoriti dalam dunia dewa dan syaitan.
Dia menentang Raja Naga Empat Laut dan pelbagai makhluk legenda lain dalam satu kisah penuh aksi dan emosi.
Ne Zha 2 diarahkan oleh pengarah terkenal China, Yang Yu yang turut menulis skrip filem itu.
Kejayaan luar biasa filem itu bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi animasi China, malah memberi suntikan semangat kepada industri perfileman negara itu yang sebelum ini terjejas akibat kelembapan ekonomi dan kebergantungan terhadap filem Hollywood.