Tolak tawaran RM300 juta, wanita pikul wasiat bapa, jaga Lorong Buangkok kampung terakhir di Singapura


  • Maya
  • Jumaat, 01 Ogos 2025

Sng Mui Hong merupakan pewaris hartanah di Kampung Lorong Buangkok. — Agensi

DI tengah-tengah kemajuan pesat dan deretan pencakar langit Singapura, masih wujud sebuah perkampungan tradisional yang menjadi khazanah negara maju itu. 

Lorong Buangkok terletak di kawasan Hougang, merupakan satu-satunya kampung terakhir yang masih kekal utuh hingga ke hari ini.

Dijaga rapi selama lebih enam dekad oleh Sng Mui Hong, wanita itu mendedahkan dia telah menolak pelbagai tawaran lumayan untuk menjual tanah kampung tersebut yang kini dianggarkan bernilai lebih AS$70 juta (RM300 juta).

BACA LAGI: [VIDEO] Merantau ke Sydney 3 tahun, wanita syukur dikurniakan tuan rumah baik hati seperti keluarga sendiri

BACA LAGI: Saiz rahim membesar seperti hamil, wanita hidap fibroid kongsi simptom awal perlu diperiksa

"Saya tidak menjualnya kerana bapa saya pernah pesan 'jangan jual harta saya, saya mahu jaga anak saya, jaga harta saya, jaga cucu saya', jadi saya hanya menjaganya," ujar Sng dalam satu temu bual.

Jelasnya, tanah itu dimiliki mendiang bapanya, Sng Teow Koon, sejak 1956 dan kini telah diwariskan kepada anak-anaknya. 

Sejak itu, Sng terus menetap di perkampungan tersebut dan menjadi penghulu kepada setiap rumah didiami lebih 25 buah keluarga di situ.

Malah, kadar sewa rumah dikenakan juga masih rendah dan tidak berubah sejak sekian lama, menjadikan penduduk di kawasan tersebut sangat selesa dengannya.

Walaupun dikelilingi projek pembangunan dan hartanah yang semakin meningkat nilainya, Lorong Buangkok kekal sebagai kawasan pegangan bebas yang amat sukar ditemui di Singapura. 

Tidak seperti tanah pajakan selama 99 atau 999 tahun, tanah pegangan bebas tiada tamat tempoh dan tidak boleh diambil semula tanpa sebab munasabah.

Namun, undang-undang Singapura seperti Akta Pengambilan Tanah membenarkan kerajaan mengambil semula tanah persendirian atas alasan pembangunan awam, seperti pembinaan infrastruktur atau perumahan. 

Pemandangan dari udara kampung Lorong Buangkok dan pembangunan di sekitarnya. — Agensi

Pada 2014, kerajaan pernah mencadangkan pembangunan lebuh raya, dua buah sekolah dan taman awam di tapak kampung tersebut tetapi rancangan itu dibekukan selepas menerima bantahan orang ramai.

Walaupun kerajaan menyatakan tiada rancangan segera untuk pembangunan semula, penduduk tetap hidup dalam kebimbangan bahawa kampung itu mungkin akan dirobohkan pada masa depan.

Kini, lorong Buangkok menjadi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan yang ingin merasai suasana kampung asli yang kebanyakannya sudah lenyap dari sebahagian besar Singapura. 

Ramai menyifatkan kawasan itu sebagai 'kapsul masa', yang memberi gambaran sebenar kehidupan sebelum era urbanisasi. 

Malah, ada pihak mencadangkan agar Lorong Buangkok diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi memastikan kelangsungannya untuk generasi akan datang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram