
KEPUTUSAN menghantar anak ke sekolah berasrama penuh (SBP) merupakan satu langkah besar dalam pembentukan masa depan akademik dan sahsiah mereka.
Tidak dinafikan, pelajaran di sekolah harian juga mempunyai kelebihan dan kualiti tersendiri namun dari sudut pembangunan jati diri dan sahsiah individu, sekolah berasrama diyakini mampu memberi impak lebih besar.
Secara ringkasnya, ia merupakan sebuah institusi pendidikan menengah elit di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diwujudkan untuk melahirkan pelajar cemerlang secara holistik.
BACA LAGI: Harumkan nama negara, Sekolah Seri Puteri rangkul emas di 11th World Orchestra Festival Austria
BACA LAGI: Tepis dakwaan anak ramai rezeki sempit, Ustazah Asma' amal 'zikir penat' ketika stress
Sehingga kini, terdapat lebih 60 SBP di seluruh negara, termasuk Sekolah Menengah Sains (SMS), Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Pelajar SBP memiliki kelebihan dari segi daya saing tinggi dan lebih berdisiplin. — Gambar hiasan
Bagi ibu bapa kali pertama melalui proses itu pasti berdepan pelbagai kekeliruan dan persoalan berkaitan prosedur kemasukan anak ke pengajian tinggi itu.
Tidak semudah disangka, berikut ialah panduan lengkap boleh dijadikan rujukan ibu bapa bermula dari proses permohonan hinggalah ke detik hari pertama anak melangkah ke pintu asrama.
Proses permohonan SBP
1. Permohonan secara dalam talian
- Permohonan biasanya dibuka sekitar Oktober hingga Disember setiap tahun.
- Ibu bapa perlu memohon melalui sistem atas talian di portal:
- https://spskt1.moe.gov.my (Tingkatan 1)
- https://spskt4.moe.gov.my (Tingkatan 4)
2. Ujian PKSK (Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus)
- Wajib untuk semua pemohon SBP, MRSM dan sekolah khusus lain.
- Ujian tersebut menilai tiga komponen utama iaitu:
• Akademik (matematik dan sains)
• Sahsiah dan keperibadian
• Kemahiran Penyelesaian Masalah dan IQ
3. Semakan keputusan
- Keputusan permohonan akan diumumkan secara dalam talian, biasanya sekitar Januari, sekiranya terpilih, ibu bapa perlu sahkan penerimaan tawaran dan isi borang berkaitan.
4. Pendaftaran dan hari orientasi
- Tarikh daftar biasanya akhir Januari atau awal Februari setiap tahun.
- Pelajar akan jalani minggu orientasi, memperkenalkan mereka kepada peraturan, warga sekolah dan aktiviti.
Persedian sebelum melangkah ke SBP
Berikut ialah senarai semak asas untuk membantu ibu bapa dan anak bersedia dari segi mental, fizikal dan logistik:
Dokumen penting untuk pendaftaran:
- Surat tawaran rasmi
- Sijil kelahiran (asal dan salinan)
- Kad pengenalan pelajar
- Slip keputusan UPSR/ PT3/ SPM
- Buku rekod kesihatan
- Borang kesihatan dan pengesahan doktor
- Gambar passport pelajar (sediakan empat hingga enam keping)
Kelebihan SBP
Latihan berdikari dan pembentukan disiplin diri merupakan antara kelebihan utama pengajian di SBP.
Malah, kehidupan asrama yang serba tersusun mengajar pelajar mengurus masa, mengendalikan hal peribadi dan berinteraksi secara sosial dengan rakan-rakan dari pelbagai latar belakang.
Juga menawarkan pelbagai kemudahan pembelajaran dan kokurikulum, termasuk program pertukaran pelajar, bengkel bahasa asing dan aktiviti pembangunan sahsiah, ia menjanjikan pengalaman lebih holistik dan menyeluruh buat pelajar.
Cuti dan waktu melawat SBP
Berikut merupakan garis panduan berkenaan cuti rasmi dan waktu melawat yang ditetapkan pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Cuti sekolah SBP
Jadual cuti pelajar SBP sama seperti kalendar akademik kebangsaan diumumkan KPM setiap tahun yang merangkumi:
- Cuti pertengahan penggal satu
- Cuti pertengahan tahun
- Cuti pertengahan penggal dua
- Cuti akhir tahun
Waktu melawat pelajar SBP
Sekolah biasanya menetapkan satu atau dua kali waktu lawatan rasmi setiap semester dan ia kebiasaannya jatuh pada hujung minggu dan akan diumumkan lebih awal oleh pihak sekolah.
Justeru, menghantar anak ke sekolah berasrama secara tidak langsung adalah titik perubahan dari kehidupan kanak-kanak ke arah remaja yang lebih berdikari, berdisiplin dan matang.
Walaupun berjauhan dengan keluarga, ia menjadi ruang penting untuk anak membina identiti diri, belajar mengurus kehidupan dan mencipta jaringan sosial yang lebih luas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram