
"SANGAT terkilan sikap cikgu yang tak ada timbang rasa."
Demikian luahan seorang ibu yang nyata kecewa selepas anaknya diberhentikan daripada taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) tanpa sebarang alasan kukuh.
Jelasnya, pihak taska terbabit memberikan surat berhenti serta-merta selepas dia dan suaminya tidak menghantar lembaran kerja Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada pihak taska.
BACA LAGI: Pelajar lebih berdisiplin, berdaya saing, ini panduan ibu bapa kali pertama daftar anak ke SBP
BACA LAGI: Harumkan nama negara, Sekolah Seri Puteri rangkul emas di 11th World Orchestra Festival Austria
Malah, ketidakhadirannya pada mesyuarat Ahli Jawatan Kuasa (AJK) bersama guru juga diambil kira sebagai salah satu sebab anaknya dikecualikan daripada taska terbabit.
"Pemberhentian adalah serta merta tanpa surat amaran, amaran yang saya maklum hanya kerana tidak menghantar lembaran PdPR itu pun secara tidak rasmi melalui WhatsApp.
"Saya okay dengan perkara itu tapi tiba-tiba terima surat pemberhentian dan sebab lain suami tak dapat hadir mesyuarat AJK.
"Ketidakhadiran telah dimaklumkan dalam kumpulan WhatsApp dan guru pun tahu, jujur saya terkilan sebab anak saya seronok pergi taska dan segala penglibatan bersama anak kami lakukan bersama, memang macam tu ke?" katanya di laman Threads pada Selasa.
Sementara itu, seorang bekas guru taska turut menyuarakan pendapat berhubung hal tersebut yang menurutnya sebagai satu tindakan tidak wajar oleh pihak pengurusan Kemas.
Katanya, ketidakhadiran ibu bapa pada mesyuarat AJK wajar ditimbang rasa oleh pihak taska dan tidak sepatutnya memberi kesan kepada kanak-kanak.
"Saya bekas guru taska Kemas, kalau ada ibu bapa yang tak hadir memang kami minta alasan dan sebab, kalau bekerja kami faham tapi kami tak berhentikan anak dia.
"Anak awak diberhentikan atas sebab tak hadir mesyuarat tak ada kena mengena, sakit pula hati," ujar syashimbae.
Lebih menyedihkan, surat rayuan dibuat wanita terbabit tidak dilayan oleh pihak taska berkenaan dan kini anaknya tidak lagi dibenarkan bersekolah di taska terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram