Pasang niat tunai haji cetus 'big why' isteri tentera, jual agar-agar santan kreatif dari rumah


  • Bisnes
  • Khamis, 24 Jul 2025

Akmal Afiqah memulakan perniagaan agar-agar dan pudingnya sejak Mei lalu.

 

 

BERANI memulakan langkah kecil, bakat dan usaha seorang suri rumah di Kuala Lumpur menjadi laluan untuk dirinya keluar dari zon selesa.

Kreatif dalam mengolah dan menginovasikan produknya, Akmal Afiqah Abdul Razak gigih menghasilkan agar-agar dan puding unik.

Walaupun beroperasi dari rumahnya di Kuaters Pegawai Tentera Kem Kementah, Kuala Lumpur, dia yang lebih senang dipanggil Afiqah tetap komited menjaga kualiti dan estetika setiap tempahan yang diterima.

BACA LAGI: Mesin 'legend' arwah ayah jadi sumber semangat graduan UKM hasilkan bantal sensori bayi

BACA LAGI: Mengayuh sambil memasak, cef 'modified' basikal jadi dapur dan restoran unik, pusing 1 Denmark

Variasi agar-agar dan puding yang dijual Afiqah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Sebelum fokus sepenuhnya pada perniagaan itu, Afiqah pernah berkerja sebagai Eksekutif Senior di Sime Darby Property Sdn Bhd.

Bagaimanapun, selepas membuat keputusan untuk berhenti sejak dua tahun lalu, wanita berusia 37 tahun itu kini banyak menghabiskan masanya di dapur.

Dari Australia ke Kuala Lumpur

Kata ibu kepada empat cahaya mata itu, kemahiran memasaknya muncul ketika mengikut suaminya ke Australia pada 2023.

"Selepas berhenti kerja, saya ikut suami ke Australia setahun. Di situlah bermulanya saya berjinak-jinak untuk memasak.

"Saya banyak belajar melalui video-video resipi dan masakan di YouTube seperti Che Nom, Khairul Aming dan Syafiq Cute.

"Saya pula memang suka makan agar-agar santan, jadi, memang selalu buat di rumah.

"Di Australia mula buat agar-agar santan gula Melaka sebab itu kegemaran saya dan ada kalanya tambah buah-buahan.

"Kalau ada tetamu pun saya akan hidangkan agar-agar santan," katanya kepada Majoriti.

Potongan agar-agar disusun mengikut corak sesuai.

Melihat kebolehannya menghasilkan agar-agar yang enak, Afiqah mula menerima sokongan kenalan terdekat termasuk ahli keluarga untuk memasarkan ia sebagai produknya.

Variasi agar-agar

Daripada agar-agar santan gula Melaka, Afiqah mula mencuba variasi lain seperti perisa pandan dan sirap ros.

Lebih menarik lagi apabila kreativitinya dicurahkan ke dalam acuan agar-agar tersebut.

Setiap potongan agar-agar akan disusun mengikut corak permintaan pelanggan sama ada dibentuk menjadi abjad, nombor atau blok.

Katanya, idea itu terinspirasi daripada lukisan-lukisan yang pernah dilakukannya ketika zaman belajar di universiti dalam bidang kejuruteraan awam.

Sususan membentuk abjad juga mendapat permintaan tinggi.

Afiqah berkata, rata-rata pelanggannya turut tertarik untuk membuat tempahan agar-agar dengan susunan abjad nama mereka.

"Mula-mula saya buat untuk seorang kawan yang juga personaliti televisyen, Dayah Bakar.

"Saya buat sebagai hadiah dan ketika itu susun agar-agar jadi bentuk abjad 'DB'.

"Tetapi, bila muat naik di media sosial, tak sangka ramai yang suka.

"Jadi, saya cuba penuhi permintaan sampai ada senarai huruf dalam Excel," katanya.

Dayah Bakar antara individu yang turut memberi sokongan kepada Afiqah.

Setiap agar-agar pula akan diselaraskan jadi 64 potongan yang dihasilkan juga menggunakan loyang empat segi sama sebesar 10 inci.

Baru menapak dalam dunia perniagaan sejak Mei lalu, Afiqah tidak menafikan perlu menyusun jadualnya sebagai ibu dan isteri.

"Waktu awal-awal memang susah sebab anak terakhir saya masih kecil, setahun empat bulan.

"Jadi memang sentiasa nak dekat dengan saya, agak mencabar juga nak uruskan tempahan harian.

"Tetapi, saya belajar untuk bahagikan masa dengan anak biasanya waktu siang dan siapkan tempahan pula pada malamnya," jelasnya.

Selain agar-agar santan, Afiqah juga menjual puding buah dan trifle (terdiri daripada lapisan kek, buah-buahan, kastard dan agar-agar atau jeli).

Puding buah turut dihasilkan oleh Afiqah.

Mengakui perniagaan itu masih kecil, namun matlamatnya bukanlah untuk mengaut keuntungan semata bahkan membina populariti.

"Big why saya adalah nak menunaikan haji. Saya belum pernah pergi.

"Jadi, saya harap bisnes kecil ini dapat bantu saya dan suami kumpul duit simpanan untuk pergi bersama," ujarnya.

Tambahnya, perniagaan itu disifatkan sebagai satu pelaburan masa depan buatnya sekeluarga terutama selepas suaminya pencen daripada tugasnya sebagai anggota tentera.

"Kami berdua suka memasak, ada juga perancangan untuk buka kedai makan sama-sama.

"Tetapi, buat masa sekarang, saya fokus pada apa yang saya sedang buat sekarang," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram