Pembuluh darah kepala pecah, suri rumah stres 24 jam jaga anak kini berjuang nyawa di ICU


  • Bonda
  • Jumaat, 06 Jun 2025

Suri rumah sepenuh masa berisiko tinggi berdepan isu kesihatan mental dan fizikal. — Gambar hiasan/freepik

KESIHATAN mental dan fizikal para suri rumah sering kali dipandang rendah oleh masyarakat yang menganggap ia sebagai lumrah bergelar ibu.

Lebih parah apabila suami juga tergolong dalam kumpulan individu yang skeptikal terhadap isu berbangkit yang dilabel sebagai 'manja' ataupun sakit yang dibuat-buat demi mendapatkan perhatian.

Namun, perkongsian seorang suami di laman Threads pada Khamis membuka mata ramai pihak akan kepentingan penjagaan emosi si isteri yang kepenatan seharian menjaga anak-anak di rumah.

BACA LAGI: Chef Wan masih pegang 20 peratus saham syarikat Metta, nafi restoran diambil sepenuhnya pelabur

BACA LAGI: Kakak Anzalna, Diana Nasir, kongsi rezeki buat 'give away' barang bayi kepada ibu bapa memerlukan

Tidak mendedahkan nama dan identitinya kepada umum, individu dikenali sebagai M29 itu mendedahkan isterinya kini sedang berjuang nyawa di wad kecemasan kritikal ataupun ICU hospital ekoran tragedi hitam yang melandanya baru-baru ini.

Kronologi insiden berlaku selepas beliau mendapati isterinya terbaring kaku di sofa rumahnya menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Tersentak dengan keadaan tersebut, M29 yang ketika itu sedang bekerja di pejabat segera pulang ke rumah untuk memeriksa keadaan isterinya yang dikatakan tidak sedarkan diri ketika kejadian.

Setibanya di rumah, alangkah terkejutnya apabila melihat wajah ister kelihatan pucat lesu dan tidak mampu menggerakkan tubuh kerana terlampau lemah.

"Sampai rumah aku tengok isteri aku dah terkaku terbaring, aku periksa nadi masih ada tapi muka pucat sangat.

"Gelabah aku jangan cakap la masa tu dekat wad kecemasan doktor kata keadaan isteri aku serius dan perlu ke ICU, menangis aku kat situ terduduk dengan keadaan isteri aku.

"Isteri aku perlu direhatkan sehingga badan kuat tak perlu bergantung kepda mesin oksigen, doktor bagitahu pembuluh darah pada kepala isteri pecah, puncanya sebab stres penat buat kerja seharian," kongsinya.

Kepenatan isteri dalam menguruskan hal pengurusan rumah dan anak-anak boleh menjurus ke arah isu kesihatan mental. — Gambar hiasan/Freepik

Akui sangat menyesal atas segala layanan diberikan, M29 menjelaskan isterinya pernah meluahkan keletihan menjaga anak-anak namun dipandang ringan sebelum ini.

Antara perkara paling dikesali adalah apabila langsung tidak ambil tahu akan hal urusan anak-anak serta kelengkapan pakaian isterinya yang sudah lama lusuh tidak berganti.

"Banyak sangat salah aku kat dia, kau bayangkan nak bancuh susu anak pun aku tak tahu berapa oz sebab selama ni isteri yang uruskan.

"Aku buka almari cari baju dia sebab anak rindu sangat, aku tengok baju isteri  ada bintik-bintik hitam macam tahi lalat, ada yang berlubang ya ALLAH teruknya aku tak pernah periksa pakaian dia selama ni, baru sedar dia serba kekurangan.

"Anak-anak aku pakaian semua lengkap tapi dia tak pernah minta apa-apa, hari jadi atau ulang tahun perkahwinan tak pernah ucapkan pun, tak tanya dia penat ke selama ni, keluar luangkan masa dengan isteri," tambahnya.

Kesal atas segala perbuatan serta layanan terhadap isterinya, M29 akui emosi dan tekanan dihadapi sang isteri bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main apatah lagi diperkecilkan.

Kisah ini bukan sekadar tragedi peribadi, tetapi satu peringatan besar buat masyarakat khususnya tentang bebanan yang sering ditanggung secara senyap oleh para ibu, terutamanya suri rumah sepenuh masa. 

Dalam kesibukan mengurus keluarga, ramai yang mengabaikan kesihatan sendiri sehingga membawa kepada situasi yang mengancam nyawa.

Suri rumah juga perlu diberi ruang untuk berehat, menjaga diri dan mendapatkan bantuan apabila diperlukan sama ada dari segi emosi mahupun fizikal.

Bukan sesuatu yang boleh dikompromi, seharusnya perkongsian tersebut menjadi titik tolak kepada masyarakat luar sana terutamanya bergelar suami untuk menjaga kesihatan mental isteri dalam bab pengurusan keluarga dan anak-anak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram