
SIAPA sangka sebuah majlis perkahwinan boleh ditransformasikan menjadi pentas teater muzikal?
Itu yang dilakukan pencipta kandungan media sosial berketurunan Taiwan-Amerika Syarikat, Chloe Shih yang meraikan hari bahagianya melalui satu persembahan penuh emosi dan tawa.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya, Chloe yang juga pengurus produk di platform komunikasi dalam talian, Discord berkongsi bagaimana beliau dan pasangannya merealisasikan idea 'gila' itu, lengkap dengan latihan mingguan dan transformasi busana pengantin.
BACA LAGI: Terperangkap dengan pasangan narsisistik? 6 cara selamatkan hubungan, fokus kebahagiaan diri
"Ramai yang tanya sama ada kami pelajar teater, tapi sebenarnya kami berdua datang dari latar belakang bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik)!' katanya.
Beliau yang aktif berkongsi kandungan mengenai teknologi, kewangan dan kehidupan di Instagram dan YouTube berkata, minatnya terhadap muzik bermula selepas tamat kolej.
“Saya mula menonton muzikal selepas universiti dan terus jatuh cinta. Saya ambil kelas vokal dan mula menyanyi di Martuni’s, sebuah piano bar di San Francisco yang khusus untuk lagu-lagu teater,” ujarnya.
Kongsi wanita yang pernah disenarai dalam Forbes 30 Under 30 pada 2023 itu lagi, idea untuk menjadikan majlis perkahwinan sebagai acara muzikal bermula kira-kira enam bulan sebelum majlis berlangsung.
Pasangan tersebut bagaimanapun mula serius membuat perancangan tiga bulan sebelumnya.
Chloe berkata, walaupun dirinya mengalami cabaran kesihatan, mereka berlatih setiap minggu pada bulan terakhir.
“Saya sebenarnya terjatuh dua minggu sebelum majlis dan terseliuh buku lali. Suara saya pula hilang beberapa hari sebelum majlis tapi kami tetap teruskan,” jelasnya.
Penggunaan light stick berbentuk pak choi (sawi cina) yang ditempah khas sebagai gimik kepada para tetamu yang hadir pada majlis yang berlangsung di Taiwan itu, menjadi antara elemen yang mencuri perhatian ramai.
Video vlog perkahwinan berbentuk muzikal yang dikongsikan di saluran YouTube milik Chloe menerima sambutan hangat daripada warga maya yang kagum dengan kreativiti dan kesungguhan pasangan itu mencipta momen luar biasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram