
KAJIAN mendedahkan gaya keibubapaan jenis autoritarian (terlalu keras) dan neglectful (tidak peduli) berisiko tinggi membentuk anak-anak yang memiliki ciri-ciri narsisisme, iaitu kecenderungan untuk melihat diri sendiri lebih hebat daripada orang lain.
Kajian bertajuk The Role of Parenting Styles in Narcissism Development: A Systematic Review and Meta-Analysis oleh Reis, Martins dan Santos itu menganalisis data dari 2000 hingga 2023 dan memberi penekanan bahawa narsisisme tidak bermaksud seseorang itu menghidap gangguan personaliti narsistik (NPD), sebaliknya hanya menunjukkan ciri tertentu.
Perkara itu turut dikongsi menerusi satu hantaran di aplikasi Threads oleh pengguna bernama syafishaharani yang juga seorang ahli psikologi perkembangan.
BACA LAGI: Terperangkap dengan pasangan narsisistik? 6 cara selamatkan hubungan, fokus kebahagiaan diri
BACA LAGI: IG Nakano 'diserang' bukti netizen ada sikap narsistik, belum cukup matang
Menurut syafishaharani, dua jenis narsisisme yang dikenal pasti dalam ulasan tersebut merangkumi grandiose dan vulnerable.
Narsisisme grandiose bermaksud individu yang bersikap ego tinggi, suka akan perhatian dan sering rasa diri hebat.
Sementara narsisisme vulnerable pula ialah individu yang sensitif, mudah tersinggung tetapi tetap rasa lebih daripada orang lain.
Gaya utama keibubapaan
Berdasarkan model Baumrind, terdapat empat gaya utama keibubapaan iaitu autoritatif, autoritarian, permissive dan neglectful.
Namun, hasil gabungan kajian tersebut mendapati, dua gaya paling berisiko mencetuskan ciri-ciri narsisisme adalah autoritarian dan neglectful.
"Sejak berkurun lamanya, kita selalu percaya jika ibu bapa jenis permissive, anak jadi besar kepala tapi data tak sokong sangat pendapat itu.
"Sebaliknya ibu bapa yang terlalu tegas (autoritarian), suka mengawal, jarang peluk anak dan tiada pengesahan emosi yang cenderung membentuk anak dengan sifat narsisistik," ujar syafishaharani.
Berdasarkan model Baumrind, terdapat empat gaya utama keibubapaan iaitu autoritatif, autoritarian, permissive dan neglectful.
Contoh gaya autoritarian ialah parent-driven (sesuatu yang dikawal atau dipengaruhi ibu bapa), peraturan dan hukuman yang ketat, tiada validasi emosi dan komunikasi satu arah.
Hasilnya, anak-anak yang dibesarkan dalam suasana itu sering membesar dengan rasa tidak dihargai dan akhirnya cuba menutup kelemahan melalui pencapaian, pujian atau kesempurnaan, lalu membentuk ciri narsisisme jenis grandiose.
Sementara itu, jelas syafishaharani, bagi contoh gaya neglectful, ia melibatkan situasi ibu bapa yang tidak peduli akan rutin harian, tidak ambil tahu pergaulan anak dan tiada sentuhan kasih sayang atau sokongan emosi.
"Anak-anak dari latar itu cenderung membina dunia mereka sendiri sebagai perlindungan emosi.
"Mereka mungkin membentuk ego palsu dan rasa diri lebih baik daripada orang lain untuk menutup kekosongan dan ketidakpentingan diri," jelasnya.
Menurut syafishaharani lagi, gaya autoritatif dikenal pasti sebagai pendekatan paling seimbang dan berkesan untuk mencegah pembentukan ciri-ciri narsisisme.
Gaya tersebut menggabungkan ketegasan dengan kasih sayang misalnya:
1. Peraturan dan jangkaan yang jelas
2. Komunikasi terbuka dua hala
3. Penyelesaian masalah bersama
4. Pelukan dan sokongan emosi
5. Sempadan yang ditetapkan dengan kasih sayang
Menariknya, kajian itu turut menunjukkan, bapa yang mengamalkan gaya autoritatif dapat mengurangkan risiko anak memiliki narsisisme jenis grandiose.
Ibu pula melindungi anak daripada narsisisme jenis vulnerable melalui pendekatan sama.
Kajian tersebut menegaskan bahawa pujian berlebihan bukan penyebab utama pembentukan sifat narsistik.
Sebaliknya, kasih sayang bersyarat, komunikasi dingin dan keperluan emosi yang tidak dipenuhi dalam rumah tangga menjadi faktor penyumbang.
Jelas syafishaharani, anak-anak tidak dilahirkan dengan sifat narsistik, tetapi mereka belajar menyesuaikan diri dan bertahan dalam persekitaran emosi tidak stabil.
"Jika gaya keibubapaan tidak berubah, generasi akan datang berisiko untuk mudah tersinggung, bergantung pada validasi luar dan tidak tahu nilai diri tanpa pujian," katanya.
Walaupun gaya keibubapaan bukan satu-satunya faktor pembentukan personaliti, ia kekal sebagai pengaruh paling besar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram