
PERSONALITI dan pempengaruh media sosial Palestin, Nour Alhuda Musabeh mencuri perhatian ramai apabila memuat naik video kehidupan sebelum dan selepas perang yang melanda bumi Gaza.
Menerusi rakaman tular di Instagram itu, Nour membandingkan beberapa sudut kehidupan yang tampak kecil, tetapi memberi gambaran jelas kesan kemusnahan dialami penduduk Palestin.
"Seluruh kehidupan kami telah pun berubah," katanya.
BACA LAGI: Tepis dakwaan anak ramai rezeki sempit, Ustazah Asma' amal 'zikir penat' ketika stress
Perubahan ketara boleh dilihat dari segi fasiliti dan barangan perkakas rumah yang kebanyakannya rosak dan usang dipercayai kesan bedilan bom tentera Zionis.
Dapur yang dahulunya dipenuhi perkakas moden dan tersusun rapi kini kelihatan kosong, berdindingkan konkrit reput serta barangan rosak.
Paling menyedihkan, kucing peliharaannya turut terkesan dengan situasi tersebut apabila difahamkan mengalami masalah kesihatan dan semakin tenat akibat kelaparan.
Dari segi penampilan, perubahan ketara juga dapat dilihat di bilik dan almari pakaian Nour yang semakin usang dan tidak lagi mengenakan fesyen moden seperti dahulu kala.
Perkongsian itu bukan sekadar dokumentasi peribadi, tetapi menjadi gambaran penderitaan ratusan ribu rakyat Palestin yang kini kehilangan tempat tinggal, ahli keluarga dan kehidupan aman.
Nour dahulunya gemar berkongsi tip perihal fesyen dan gaya moden wanita berhijab kini menjadikan platform sosialnya sebagai medan untuk terus memberi kesedaran bahawa krisis kemanusiaan di Palestin belum berakhir.
Sementara itu, usaha gencatan senjata kekal gagal dicapai dengan rundingan antara pihak tentera Hamas dan Israel yang dimediasi Mesir terus menemui jalan buntu.
Sehingga kini, serangan udara, bedilan bom dan sekatan terus dilaksanakan hampir setiap hari oleh Israel, walaupun mendapat kecaman global dan desakan dari pelbagai negara termasuk resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyeru penghentian segera kekejaman tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram