Tekanan mental, beban kerja berlebihan antara punca kes penderaan kanak-kanak meningkat — Pakar


  • Massa
  • Sabtu, 12 Jul 2025

Peningkatan kes penderaan kanak-kanak yang melibatkan ibu bapa atau penjaga dilihat semakin membimbangkan. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

NEGARA dikejutkan dengan dua insiden menyayat hati melibatkan penderaan terhadap kanak-kanak dalam kes berasingan di Melaka dan Negeri Sembilan baru-baru ini, sekali gus mencerminkan betapa seriusnya krisis penderaan yang semakin membarah dalam masyarakat.

Dalam kejadian pertama, seorang ibu tunggal bersama kekasihnya ditahan selepas disyaki membunuh anak perempuannya berusia 15 bulan dengan cara mendera mangsa di Alor Gajah, Melaka pada Isnin. 

Tragedi itu terbongkar apabila wanita berkenaan membawa anaknya ke Hospital Tampin sekitar pukul 11 malam, dengan alasan anaknya tidak sedarkan diri.

BACA LAGI : Terlalu awal kata Zii Jia hadapi kemurungan, peminat perlu main peranan bagi sokongan — Pakar psikologi

BACA LAGI : Ketagihan kuasa, anggap pembantu rumah 'barang kerja' punca majikan jadi kaki dera — Pakar

Pada hari yang sama, seorang suri rumah turut ditahan kerana dipercayai mendera anak angkatnya yang berusia 13 tahun di Kuala Klawang dekat Jelebu, Negeri Sembilan sejak tahun lalu. 

Ketua Polis Daerah Jelebu, Superintendan Azizan Said berkata, wanita berusia 35 tahun itu ditahan selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima aduan melalui e-mel Talian Kasih.

Mangsa yang dijaga oleh suspek sejak berusia enam tahun itu juga merupakan orang kurang upaya (OKU) kerana menghidap Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD). 

Dia mendakwa sering dimaki, dijerit dan dipukul menggunakan objek seperti penyangkut baju, hanya kerana lambat atau terlupa melaksanakan arahan.

Peningkatan kes penderaan kanak-kanak yang melibatkan ibu bapa atau penjaga dilihat semakin membimbangkan, sekali gus mencetuskan keperluan kepada pendekatan holistik dan bersepadu bagi menanganinya secara serius.

Profesor Madya Dr. Fauziah Mohd Saad

Pakar Psikologi dan Kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr. Fauziah Mohd Saad berkata, antara punca utama dari sudut psikologi adalah tekanan hidup yang tidak terkawal dan masalah kesihatan mental yang tidak dirawat.

Menurutnya, ibu bapa yang berdepan tekanan kewangan, konflik rumah tangga dan beban kerja berlebihan sering kali berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil, lalu menjadikan anak-anak sebagai sasaran pelepasan marah tanpa sedar.

"Individu yang mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan, gangguan personaliti seperti borderline atau narsistik, gangguan stres pascatrauma (PTSD), atau masalah kawalan impuls lebih berisiko untuk bertindak agresif terhadap anak-anak mereka," katanya kepada Majoriti. 

Jelasnya lagi, ramai pelaku dera sebenarnya pernah menjadi mangsa semasa zaman kanak-kanak mereka sendiri dan tanpa intervensi profesional, corak penderaan itu akan berulang kerana dianggap sebagai norma atau cara mendidik yang sah.

Dalam masa sama, kurangnya pengetahuan serta kemahiran keibubapaan terutama dalam kalangan ibu bapa muda atau mereka yang kurang pendedahan pendidikan turut menyumbang kepada kecenderungan menghukum anak secara fizikal atau emosi.

Katanya, tindakan seperti merotan, menengking, atau menghina anak sering kali dilakukan atas alasan mahu mendisiplinkan, sedangkan ia memberi kesan trauma jangka panjang terhadap perkembangan emosi kanak-kanak.

Ibu bapa yang berdepan tekanan kewangan dan konflik rumah tangga cenderung menjadikan anak-anak sebagai sasaran pelepasan marah tanpa sedar. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

Dr. Fauziah berkata, satu lagi faktor yang tidak boleh dipandang ringan ialah isolasi sosial apabila ibu bapa tidak mempunyai sokongan komuniti, menyebabkan mereka tertekan dan tiada tempat mengadu, sekali gus berisiko tinggi bertindak kasar terhadap anak ketika marah atau buntu.

Bagi mengatasi isu ini, beliau mencadangkan agar kerajaan dan agensi berkaitan memperkenalkan lebih banyak program pendidikan keibubapaan dan pengurusan emosi seperti kursus Parenting with Empathy, kawalan marah serta latihan Emotional Coaching.

"Saringan kesihatan mental juga perlu dilaksanakan secara berkala terutamanya kepada kumpulan penjaga dalam golongan B40 dan ibu tunggal. 

"Selain itu, mereka yang pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga yang lebih terdedah kepada tekanan melampau," katanya. 

Menurutnya, peranan komuniti juga sangat penting bagi membentuk jaringan sokongan, termasuk dalam kalangan jiran, guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kaunselor komuniti agar keluarga tidak terputus hubungan sosial serta dapat disalurkan bantuan awal.

Kempen kesedaran menerusi media massa juga perlu diperhebat agar masyarakat memahami impak psikologi terhadap kanak-kanak yang menjadi mangsa dera, antaranya melalui slogan seperti "Setiap Pukul Tinggalkan Luka Jiwa". — Gambar hasil janaan Ai

Tambah beliau, pembentukan Pusat Intervensi Keluarga Komuniti (PIKK) boleh menjadi platform rujukan yang penting bagi mengesan dan menangani tekanan awal dalam rumah tangga sebelum ia berakhir dengan penderaan.

Dalam masa yang sama, kempen kesedaran menerusi media massa juga perlu diperhebat agar masyarakat memahami impak psikologi terhadap kanak-kanak yang menjadi mangsa dera, antaranya melalui slogan seperti "Setiap Pukul Tinggalkan Luka Jiwa".

Beliau turut mencadangkan pemantauan dan tindakan undang-undang diperkasakan menerusi kerjasama bersepadu antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis dan hospital, bagi memastikan semua kes disiasat secara menyeluruh dan bukan dibiarkan kepada satu agensi sahaja.

Jelas Dr. Fauziah, penderaan kanak-kanak bukan hanya isu rumah tangga, sebaliknya merupakan krisis sosial yang memerlukan intervensi menyeluruh melibatkan pendidikan, kesihatan mental, perundangan dan penglibatan masyarakat secara aktif.

"Kita perlu bertindak sebelum luka emosi anak-anak ini berubah menjadi trauma yang membelenggu mereka sepanjang hayat," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram