IG Nakano 'diserang' bukti netizen ada sikap narsistik, belum cukup matang


  • Podium
  • Isnin, 12 Ogos 2024

Nakano merupakan salah seorang daripada tiga pelumba yang terjatuh dalam perlumbaan akhir tersebut. — Instagram/Shinji Nakano

KEGAGALAN pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom membawa pulang pingat dalam acara keirin pada Ahad lalu masih sukar diterima orang ramai.

Manakan tidak, dia yang berada di kedudukan keempat secara tiba-tiba terjatuh selepas basikalnya terjatuh berikutan pelanggaran dengan atlet Jepun, Shinji Nakano dalam pusingan akhir.

Pelanggaran terbabit menyaksikan tiga pelumba termasuk Jack Carlin dari United Kingdom gagal menamatkan perlumbaan yang berlangsung di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome, Paris.

BACA LAGI: Tak dapat pingat Olimpik, Shah Firdaus terjatuh macam ‘anak jantan’

BACA LAGI: [VIDEO] Pecah rekod kebangsaan dan peribadi, Azizulhasni-Shah Firdaus gagal ke suku akhir acara pecut

66b8ab77c55bb.image

Shah Firdaus (kiri) dan Nakano terjatuh dalam perlumbaan akhir tersebut. Agensi

Lebih mendukacitakan lagi, Shah Firdaus turut disahkan tersingkir berikutan insiden berkenaan sehingga membuatkan orang ramai sukar menerima keputusan itu.

Jadi, untuk meluahkan kekecewaan tersebut, pengguna media sosial bertindak melancarkan serangan terhadap akaun media sosial Nakano dengan mengatakan dia adalah punca wakil negara itu pulang dengan tangan kosong.

Selain meninggalkan kata-kata kesat, ada juga yang bertindak melabel atlet berusia 25 tahun itu sebagai tidak profesional selepas mendapati pelanggaran itu bukanlah bersifat kemalangan.

Tindakan sedemikian sekali gus membuktikan penduduk tempatan bersikap tidak matang sehingga sanggup memalukan seorang atlet yang sudah bersusah payah mewakili negara ke temasya Olimpik.

Seorang pengguna Facebook, Amirul Faiz melabel kelakuan sedemikian memalukan selain meminta orang ramai supaya tenang dalam situasi sedemikian.

WhatsApp Image 2024-08-12 at 1.53.40 PM

Shah Firdaus disahkan tersingkir daripada perlumbaan akhir acara keirin.

"Sedih tengok perangai orang Malaysia. Sangat-sangatlah tak matang. Berita di Jepun walaupun beritahu salah Syah masuk laluan pelumba dari Jepun, mereka berhenti sampai di situ sahaja. Tak dengar cerita pula mereka 'serang' Instagram Shah.

Paling menyedihkan, boleh pula berbangga dengan rakan-rakan berbuat sedemikian seolah-olah dialah peminat nombor satu sukan Olimpik, semangat kesukanan yang tinggi dan cintakan Malaysia. Percayalah, perbuatan ini memalukan, mencalarkan maruah Malaysia dan agama sendiri," tulisnya.

Berdasarkan tinjauan di akaun peribadi Nakano, terdapat lebih daripada 7,000 komen dalam hantaran terkini atlet tersebut memaparkan dirinya memegang bendera Jepun.

Tindakan melakukan kecaman sedemikian sudah tentu mencalarkan imej negara yang sudah memiliki masa depan cerah dalam sukan, namun masih berada di takuk lama dari segi pemikiran.

"Jika pelumba kita melanggar pelumba lain, agak-agak apa reaksi kita? Pelumba kita tak salah? Padan muka? Itu dinamakan defense projection, narcissistic personality disorder (NPD), dan victim mentality.

455127410_10161568317983684_5465507340331323301_n

Antara kata-kata kecaman yang diberikan kepada Nakano di akaun Instagram peribadinya.

"Ini bukan permainan komputer zaman dulu yang boleh sepak terajang, langgar sesuka hati masa berlumba. Sukan profesional, pelumba pun profesional, yang tak berapa profesionalnya adalah penyokong sendiri," tulis Amirul Faiz lagi.

Perkara sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu apabila seorang lagi peserta sukan berbasikal, Rayan Helal dari Perancis turut berdepan situasi sama berikutan penyingkiran Datuk Azizulhasni Awang.

Selain itu, atlet lontar peluru dari Ukraine, Maksym Koval pernah menerima kecaman cukup teruk selepas kemenangan Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 ditarik semula.

Kesemua contoh berkenaan sepatutnya membuka mata orang ramai supaya lebih waras dan tidak dipengaruhi emosi, setiap kali atlet kebangsaan tewas dalam mana-mana pertandingan peringkat antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram