PELUMBA basikal trek negara, Mohd Shah Firdaus Sahrom mengingatkan orang ramai supaya tidak mencalarkan imej negara dengan kelakuan tidak sopan di media sosial.
Atlet negara itu jelas terkejut dengan tindakan beberapa pihak berpunca daripada insiden melibatkannya dalam perlumbaan akhir acara keirin di Saint-Quentinen-Yvelines Velodrome pada Ahad lalu.
"Selepas perlumbaan, masa seakan-akan terhenti, ia amat sukar bagi saya memahami situasi. Saya rasa segala usaha saya hanya sia-sia," katanya menerusi satu hantaran di Instagram pada Isnin.
BACA LAGI: IG Nakano 'diserang' bukti netizen ada sikap narsistik, belum cukup matang
BACA LAGI: Tak dapat pingat Olimpik, Shah Firdaus terjatuh macam ‘anak jantan’
Selain menegaskan ia hanyalah ketentuan Ilahi, Shah Firdaus turut mengingatkan penyokongnya serta orang ramai untuk tidak bertindak di luar kawalan berpunca daripada pelanggaran berkenaan.
"Suka untuk saya ingatkan kepada orang ramai, sebagai seorang atlet, kami berusaha untuk mengekalkan nama baik Malaysia. Saya harap peminat sukan terus mengharumkan nama negara, lebih-lebih di peringkat antarabangsa," katanya.
Shah Firdaus juga sempat memberikan penghargaan buat keluarga, penyokong serta organisasi terlibat seperti Menteri Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara serta kerajaan Johor yang menyokongnya sepanjang karier.
"Setiap kali saya jatuh, anda sering berada di sisi saya. Terima kasih atas segala kasih dan pengorbanan," kata Shah Firduas dalam hantaran yang menerima respons orang ramai itu.
Dalam perlawanan akhir berkenaan, pelumba kelahiran Johor itu hampir menamatkan saingan di kedudukan podium sebelum terlibat dalam kemalangan dengan pesaing Jepun, Shinji Nakano.
Pelanggaran itu menyaksikan tiga peserta terjatuh, termasuk Jack Carlin dari United Kingdom sebelum juri mengesahkan Shah Firdaus tersingkir daripada perlumbaan.
Hal itu kemudiannya menyaksikan pengguna media sosial melakukan 'serangan' terhadap akaun Instagram Nakano dengan melabel peserta berkenaan bertindak keterlaluan.
Shah Firdaus selepas ini diharapkan dapat membantu negara membawa pulang pingat emas pertama dalam temasya Olimpik 2028 yang bakal diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram