
PERUBAHAN positif bermula daripada diri sendiri. Itu prinsip dipegang teguh pakar bedah kolorektal daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr. April Camilla Roslani.
Beliau menerima anugerah tertinggi daripada Royal College of Surgeons di Ireland (RCSI) pada 7 Julai lalu.
Pengasas unit pembedahan kolorektal terbesar di Malaysia berpusat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur itu dikenang sebagai perintis yang membawa perubahan besar dalam bidang pembedahan dan latihan perubatan negara.
BACA LAGI: Buat pertama kali, bilangan doktor wanita melebihi doktor lelaki
“Cabaran pertama saya ialah meyakinkan jabatan bahawa unit kolorektal ini memang perlu diwujudkan,” katanya mengimbas kembali bagaimana beliau, suatu ketika dahulu merupakan satu-satunya pakar dalam bidang itu di PPUM.
Sejak 2006, beliau tidak hanya membina perkhidmatan dari bawah, tetapi juga memperjuangkan peruntukan, melakukan audit hasil rawatan dan membentuk pasukan melalui latihan berterusan.
Pengiktirafan yang diterima di RCSI bukan sahaja menjadi lambang pencapaian peribadi, tetapi juga penghormatan kepada komuniti pakar bedah am Malaysia yang bersatu membawa perubahan positif dalam sistem latihan.
Dr. April lantang memperjuangkan reformasi sistem kesihatan khususnya berkaitan kesejahteraan tenaga kerja kesihatan. — Universiti Malaya
“Untuk tersenarai sebaris dengan tokoh dunia seperti Louis Pasteur, Nelson Mandela dan Mother Teresa, ini satu penghormatan yang amat besar,” ujar beliau.
Dr. April juga menerima anugerah kehormat daripada institusi global lain seperti Royal College of Surgeons of England, American College of Surgeons serta Persatuan Pakar Bedah Kolon dan Rektum dari Amerika Syarikat (AS) dan Filipina.
Dunia seni
Menariknya, kerjaya Dr. April dalam bidang perubatan bermula bukan di makmal, tetapi di pentas seni.
Beliau pernah menjalani latihan dalam tarian dan muzik sebelum memilih bidang pembedahan sebagai karier.
“Pembedahan saling tidak tumpah seperti seni, ia menuntut ketepatan, disiplin dan keupayaan menjadikan yang kompleks tampak mudah.
"Ini adalah sesuatu yang saya pelajari daripada dunia seni,” katanya.
Sebelum ini, Dr. April merupakan satu-satunya pakar dalam bidang kolorektal di PPUM. — Gambar hiasan
Perjuangan luar dewan bedah
Usaha Dr. April tidak terhenti di meja pembedahan. Beliau memainkan peranan utama dalam pembangunan Kurikulum Kebangsaan Pembedahan Am dan melancarkan program Train-the-Trainers tempatan bagi meningkatkan mutu pengajaran pembedahan di seluruh negara.
Lebih penting, beliau lantang memperjuangkan reformasi sistem kesihatan khususnya berkaitan kesejahteraan tenaga kerja kesihatan yang kini berdepan tekanan tinggi dan kadar pemberhentian staf yang membimbangkan.
“Sistem kesihatan kita tak boleh terus bergantung pada pengorbanan besar kakitangan. Ia tidak mampan,” tegasnya.
Melihat ke hadapan, Dr. April menyuarakan impian untuk melihat satu sistem kesihatan nasional yang ditadbir dan dibiayai secara berasingan daripada perkhidmatan awam lain.
Ia bagi membolehkan integrasi kelebihan sektor awam dan swasta dalam latihan, penyelidikan dan perkhidmatan klinikal.
“Kita perlukan sistem yang menjamin gaji adil, pengekalan staf dan persekitaran kerja yang sihat,” jelas beliau.
Majlis penganugerahan Felo Kehormat itu berlangsung pada 7 Julai lalu di kampus bersejarah RCSI di St. Stephen’s Green, Dublin, Ireland yang turut menyaksikan 402 profesional kesihatan dari seluruh dunia menyertai komuniti global institusi tersebut. — The Star/SAMANTHA SHO
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram