[VIDEO] 'Dulu berat badan 9kg kini 6kg', ribuan kanak-kanak Gaza kelaparan, bekalan susu formula disekat Israel


  • Bonda
  • Jumaat, 25 Jul 2025

Sejak kematian suami, Hidaya kini menjadi satu-satunya penyara keluarga tanpa sebarang sumber pendapatan. — Agensi

RIBUAN bayi dan kanak-kanak di Gaza kini terpaksa menanggung penderitaan akibat kekurangan makanan dan susu formula, berpunca daripada sekatan berterusan Israel yang menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan asas ke wilayah itu.

Antara yang terkesan, seorang ibu, Hidaya Al Matouk yang sedang bergelut menyelamatkan anaknya, Mohammad Zakaria daripada maut akibat kelaparan.

Sejak kematian suaminya akibat serangan Israel, Hidaya kini menjadi satu-satunya penyara keluarga tanpa sebarang sumber pendapatan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tepung berkulat jadi makanan, penduduk Gaza terus kekal bertahan

BACA LAGI: [VIDEO] Wartawan wanita Palestin maut serangan udara Israel, sehari selepas karya terpilih Festival Filem Cannes

 

 

Memetik laporan organisasi berita antarabangsa, Al Jazeera, Hidaya berkata, anak yang dahulunya seberat sembilan kilogram (kg) kini hanya tinggal enam kg sahaja akibat kekurangan zat makanan.

“Anak saya menderita kekurangan zat makanan. Ini semua kerana kebuluran yang sedang kami hadapi.

"Saya sudah kehabisan wang dan tiada bekalan makanan untuk memastikan dia terus hidup.

"Susu formula langsung tidak ada dan harga lampin pula sangat mahal,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan di laman Instagram aljazeeraenglish pada Khamis.

Keadaan serupa turut dialami Eid Saeed Siyam, seorang lelaki yang kini menjaga anak saudara bernama Auday selepas ibu bapa kanak-kanak itu terbunuh dalam satu serangan di Gaza.

Beliau memberitahu, Auday kini berada dalam keadaan kritikal akibat kekurangan zat makanan yang teruk.

“Ibu saudaranya mengambil dan menjaga Auday, namun dia sendiri tidak mampu mendapatkan makanan untuk dirinya, apatah lagi untuk anak kecil itu,” luahnya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan hampir satu juta kanak-kanak di Gaza sedang mengalami kelaparan.

Bayi merupakan kumpulan paling terjejas berikutan sekatan Israel terhadap bekalan susu formula ke wilayah itu.

Sementara itu, menurut Pengarah Hospital Patient's Friend, Dr. Saeed Salah, berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bayi di bawah umur enam bulan sepatutnya disusui, tetapi ramai ibu kini tidak mampu menghasilkan susu kerana tubuh mereka kekurangan zat makanan dan mengalami dehidrasi teruk.

PBB turut mendedahkan lebih 90,000 wanita dan kanak-kanak memerlukan rawatan segera akibat kekurangan zat makanan yang kritikal.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan, sekurang-kurangnya 111 orang mati akibat kelaparan sejak genosid yang dilakukan oleh Israel bermula.

Jumlah tersebut dijangka terus meningkat sekiranya bantuan kemanusiaan tidak segera disalurkan dan sekatan tidak dihentikan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram