
JATUH cinta pandang pertama kata orang.
Sepotong kek madu yang dimakan ketika bercuti ke Kazakhstan terus memikat hati Linda Rozlee.
Siapa sangka itulah permulaan bekas pramugari di syarikat penerbangan tempatan membuka sebuah kafe, Torte by Linda yang kini beroperasi di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor.
BACA LAGI: Pasang niat tunai haji cetus 'big why' isteri tentera, jual agar-agar santan kreatif dari rumah
Kek Medovik menjadi produk utama perniagaan Linda.
Daripada rasa pertama, Linda nekad menghasilkan semula kek madu Rusia yang dikenali sebagai Medovik di Malaysia.
Medovik merupakan kek madu dengan tekstur seakan-akan biskut lembut dan dilapisi krim.
Kata pencinta kek itu, kek tersebut memiliki rasa yang unik dan sukar dijelaskan dengan kata-kata.
"Saya memang suka makan dan buat kek. Jadi, sekitar sebelum 2012 saya bercuti dengan bekas suami di kampungnya, Kazakhstan dan cuba kek Medovik itu.
"Sebenarnya kek Medovik ini sangat terkenal di negara-negara bekas Kesatuan Soviet seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Ukraine, Rusia dan Moldova.
"Jadi, sejak itu timbul rasa nak tahu buat bila pulang ke Malaysia dan mula belajar sendiri sahaja melalui YouTube," katanya kepada Majoriti.
Kek madu Rusia (Medovik) dihasilkan dengan sembilan lapisan.
Terbang demi ilmu
Katanya, latihan demi latihan dilakukan walaupun agak mencabar pada awalnya.
Lebih mencabar apabila kebanyakan video resipi aslinya menggunakan bahasa Rusia.
Pun begitu, Linda tidak berputus asa untuk meneruskan usahanya demi mendapatkan rasa kek Medovik yang sama seperti dirasanya.
"Waktu itu teknologi belum canggih dan semuanya dalam bahasa Rusia. Tak faham tetapi, sebab minat, saya gigihkan juga.
"Banyak kali juga gagal dan buang. Saya tetap tak berhenti dan terus belajar bergurukan YouTube.
"Kemudian, saya ambil kelas pembuatan kek untuk belajar lebih mendalam. Saya sampai pergi belajar dengan seorang cef profesional di Kazakhstan.
“Saya juga belajar buat pelmeni daripada cef Oksana dari Kedutaan Rusia.
“Madam Marina Latypova, isteri Kedutaan Rusia merupakan pelanggan dan kawan baik saya yang banyak mengajar lebih mendalam tentang masakan Rusia.
"Selain Medovik, ada juga belajar beberapa jenis kek," jelasnya.
Pelbagai jenis kek dijual di Torte by Linda.
Tidak cukup sekadar pencuci mulut, cintanya terhadap makanan sekali gus membuatkannya memilih untuk belajar menghasilkan menu Eropah Timur.
Linda juga mengambil beberapa kelas untuk mempelajari resipi ladu variasi Rusia dikenali sebagai Pelmeni oleh rakannya yang bekerja di kedutaan.
"Saya suka tambah baik kemahiran memasak, jadi saya akan minta kawan saya ajar cara nak buat dari tepung ke isi Pelmeni.
"Jadi, secara perlahan-lahan saya mula terima tempahan dari rumah dan jual di kafe dan restoran lain juga.
"Sebab itu, di kafe saya ada juga hidangan panas dari yang kami tawarkan kepada pelanggan selain kek dan pencuci mulut lain," katanya.
Kafenya turut menawarkan lebih 10 menu hidangan panas dan lebih 20 jenis kek dan pencuci mulut gabungan cita rasa dari negara-negara bekas Kesatuan Soviet.
Adjarian Khachapuri (atas) Vareniki Potato (bawah) antara hidangan panas yang dijual.
Jatuh bangun
Kafe yang tersergam indah sekarang bagaimanapun tersimpan seribu satu kisah suka duka Linda sepanjang 13 tahun dalam dunia perniagaan.
Secara rasmi beroperasi pada 2019, tidak terlintas di fikiran Linda bahawa ia akan menjadi detik permulaan paling mencabar buatnya.
Tidak sampai setahun menjalankan operasi kafenya, wabak Covid-19 melanda Malaysia pada 2020.
Ketika ada yang terpaksa gulung tikar, Linda tetap cuba bertahan demi meneruskan hidup.
Katanya, satu per satu ujian mendatang sehingga membawa kepada perpisahannya dengan bekas suami.
Pelmeni yang dijual dengan pelbagai variasi di kafe Linda.
Kuat demi empat orang anaknya, Linda mencari pelbagai cara untuk mempertahankan perniagaannya.
"Ia memang momen terbawah. Waktu itulah berlaku perceraian, sewa kedai pula tak dapat bayar dengan tepat.
"Paling sedih bila ada satu hari, selepas bayar semua komitmen, saya buka dompet tengok duit tinggal RM50.
"Masa itu saya sentiasa fikir apa yang boleh jual, jual sahaja. Buat ladu sejuk beku, pancake, madu di majlis-majlis.
"Tetapi, Alhamdulillah dan bersyukur sebab saya ada duit simpanan lain RM1,000 dan bantuan daripada ahli keluarga, rakan-rakan, saya bertahan sampai sekarang," ceritanya.
Linda (tengah) bersama pasukannya.
Detik itu menjadi pemangkin semangat buatnya untuk terus memperbaiki perniagaannya.
"Saya tak akan biarkan diri saya balik ke tahap RM50 tu.
"Saya dapat belajar satu perkara, kita tak boleh bergantung pada satu produk sahaja dan sebab itu pelbagai menu saya hasilkan," tambahnya.
Daripada satu hingga dua kek, Linda dan pasukannya kini boleh menghasilkan beratus kek dalam sehari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram