
SETIAP pasangan suami isteri pastinya mengimpikan zuriat sebagai pelengkap dalam hidup berumah tangga.
Pun begitu, terdapat juga pasangan yang terpaksa berjuang dan berusaha lebih banyak demi mendapatkan anak.
Di sebalik senyum yang terukir, ramai pasangan menyembunyikan duka dan keperitan tidak terzahir terutama apabila menerima tekanan daripada stigma masyarakat.
BACA LAGI: Ramai ibu bapa tak tahu risiko cium, kongsi sudu makan dengan anak waktu sakit gigi
Zuriat merupakan antara pelengkap dalam hidup berumah tangga. — Gambar hiasan
Tanpa sedar, pertanyaan seperti 'bila mahu ada anak?' atau 'untung tiada anak dapat melancong' boleh menjadi ayat yang mengguris hati mereka.
Mungkin sekadar bertanya atau berseloroh, namun realitinya, ramai pasangan yang belum dikurniakan cahaya mata terpaksa menempuh perjalanan yang mencabar daripada sudut fizikal dan emosi.
Mengulas lanjut, seorang pengguna Facebook Angkol yang juga merupakan wanita bergelar ibu itu turut melihat ia sebagai satu perkara serius.
"Kalau jumpa pasangan yang belum ada rezeki dapat anak. Jangan setiap kali jumpa mulut automatik tanya soalan begitu dan ditambah dengan sindiran.
"Janganlah kurang ajar sampai soal rezeki pun mahu dipersoalkan.
"Kita tidak tahu apa pasangan tu sedang hadapi. Mungkin setiap malam doa sampai bantal basah.
"Mungkin setiap bulan ada harapan yang akhirnya jatuh semula. Mungkin mereka diam, tapi dalam hati luka tidak terkira.
"Kita tidak tahu. Sebab itu, jangan main tanya ikut suka kita sahaja," tulisnya.
Sebaliknya, orang ramai disaran agar lebih prihatin dan bijak dalam menyampaikan kata-kata.
Antara ucapan lebih berempati yang boleh digunakan adalah 'semoga ada rezeki untuk kamu tahun ini', 'saya doakan yang terbaik untuk kamu berdua' atau 'kalau perlukan apa-apa, saya sentiasa ada untuk kamu'.
Ayat sedemikian secara tidak langsung membawa lebih banyak makna serta menunjukkan sokongan moral yang sebenar.
"Percayalah Tuhan tidak pernah lambat, cuma tunggu masa yang paling tepat.
"Ingat, hidup ini bukan pertandingan siapa dapat anak dahulu.
"Tetapi, siapa paling sabar, kuat dan yakin dengan rancangan Tuhan," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram