
MELIHAT perkembangan dan tumbesaran si kecil merupakan antara detik paling bermakna setiap insan bergelar ibu bapa.
Bermula dari awal kelahiran hingga ke dewasa, momen kali pertama anak mula berjalan pastinya menjadi tanda ingatan dan sesuatu perkara yang sukar dilupakan.
Bahkan, ada juga terlampau teruja untuk menanti detik itu yang disifatkan sebagai satu pencapaian peringkat awal perlu dilepasi seawal usia setahun.
BACA LAGI: 'Tak tau mana nak cari kesabaran', ibu hampir putus jaga anak 'mild' autism, mohon doa terus kuat
Namun, segelintir ibu bapa khususya generasi kini meluahkan kebimbangan sekiranya anak mereka masih belum boleh berjalan menjelang ulang tahun pertama.
Seolah-olah satu kegagalan buat ibu bapa, ia sebenarnya masih tergolong dalam julat perkembangan normal dan tidak perlu dibimbangkan secara berlebihan.
Pakar Pendidikan dan Kesihatan Awal Kanak-Kanak, Aina Rosli menerusi hantaran di laman Threads turut menjelaskan beberapa fakta berhubung isu berbangkit.
Katanya, ia seharusnya tidak menjadi pertikaian dalam kalangan ibu bapa kerana setiap bayi mempunyai ciri perkembangan berbeza-beza.
Malah menurutnya, perkara lebih penting daripada itu adalah tanda-tanda perkembangan yang menunjukkan anak berada di landasan betul:
- Anak sudah mula berdiri dengan sokongan.
- Sudah mula cruising atau berjalan sambil berpaut pada perabot.
- Cuba melepaskan tangan walaupun sekejap ketika berdiri.
Sekiranya si kecil masih menunjukkan ciri sedemikian, ia menandakan bahawa perkembangan motor kasar anak masih dalam keadaan normal.
Dalam pada itu, menurut kajian antarabangsa, usia normal bagi kanak-kanak mula berjalan adalah antara sembilan hingga 18 bulan, maka kegagalan pada usia setahun bukanlah petanda masalah perkembangan.
Sebaliknya, ibu bapa disarankan untuk memberikan galakan dan bantuan agar si kecil lebih mudah untuk membina kekuatan dan keyakinan diri untuk berjalan.
Aktiviti bantu anak berjalan
Jurupulih Fizikal Pediatrik, Dr. Amie Dougherty mencadangkan beberapa aktiviti mudah di rumah yang dapat membantu bayi membina kekuatan kaki untuk berjalan:
1. Berdiri berdikari
Galakkan anak berdiri di tengah bilik. Gunakan buih sabun atau bacakan buku di hadapan mereka untuk mengalihkan perhatian dan bantu mereka berdiri lebih lama.
Alihkan pandangan bayi ke paras mata, jika mereka melihat ke arah lantai, si kecil cenderung untuk duduk semula.
2. Bermain di permukaan menegak
Letakkan mainan seperti magnet atau nota pelekat di dinding atau peti sejuk bagi menggalakkan bayi berdiri tegak dan menggunakan tangan sambil melatih otot kaki.
3. Mencangkung dan berdiri
Latih bayi mencangkung untuk mengambil mainan di lantai dan berdiri semula bagi membantu memperkuat otot kaki dan meningkatkan kestabilan tubuh bayi.
4. Berpaut (cruising)
Galakkan anak memegang meja atau sofa dan berjalan dari satu hujung ke hujung lain.
Ibu bapa boleh menarik perhatian anak dengan memainkan lagu atau meletakkan mainan di satu sudut lain.
5. Berjalan di permukaan tidak rata
Apabila anak sudah mula berjalan, latih mereka memijak di atas permukaan berbeza seperti rumput, batu atau tikar licin.
Aktiviti itu penting untuk melatih imbangan dan keyakinan diri mereka untuk berjalan dengan lebih lancar.
Justeru, setiap anak berkembang pada kadar yang berbeza, paling penting ialah ibu bapa perlulah terus memantau perkembangan anak, memberikan sokongan yang sesuai dan tidak terlalu memaksa.
Jika ada keraguan, sebaiknya dapatkan pandangan pakar bagi memastikan anak menerima bantuan serta rawatan di peringkat awal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram