Gout penyakit 'warisan' keluarga, jangan tunggu kondisi teruk baru bertindak


  • Sihat
  • Rabu, 21 Mei 2025

Gout bukan sekadar masalah peribadi kerana ia memberi kesan kepada seluruh keluarga. — Gambar hiasan

ABAH kena gout lagi," keluh seorang anak, melihat ayahnya terbaring sambil memegang kaki yang bengkak dan merah.

Situasi seperti itu semakin biasa berlaku dalam banyak rumah di negara ini apabila salah seorang ahli keluarga tidak lagi mampu berjalan, bekerja atau menjaga diri sendiri disebabkan serangan gout menyakitkan.

Gout bukan sahaja menyentuh aspek kesihatan individu, tetapi turut memberi kesan besar kepada emosi dan rutin seisi keluarga.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Membesar dengan duit telekung', Lisdawati sebak kenang kegigihan ibu jahit, sulam telekung sara keluarga

BACA LAGI: [VIDEO] Seakan tahu akan 'pergi' selamanya, arwah anggota FRU beli rumah, kereta, buka akaun simpanan untuk setiap anak

Dalam negara yang mencatat kadar obesiti dan gaya hidup sedentari tinggi, gout kini menjadi penyakit keluarga moden diwarisi secara genetik, dipengaruhi oleh tabiat makan bersama.

Sehubungan itu, sempena Hari Gout Sedunia disambut pada 22 Mei ini, sudah tiba masanya rakyat Malaysia melihat gout bukan sekadar masalah sendi, tetapi sebagai isyarat penting untuk keluarga lebih prihatin terhadap kesihatan bersama.

Peranan keluarga tangani penyakit ‘warisan’

Gout bukan lagi sekadar penyakit orang tua atau masalah sendi sementara ia kini menjadi satu ancaman kesihatan serius dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk golongan muda.

Di sebalik kesakitan yang teruk, ramai tidak sedar bahawa keluarga memainkan peranan besar dalam pencegahan, pengesanan awal dan pengurusan penyakit itu.

"Gout bukan sekadar disebabkan oleh gaya hidup, tapi juga faktor genetik.

"Jika ada ahli keluarga yang menghidap gout, risiko untuk anak-anak atau adik-beradik turut meningkat," jelas Pakar Reumatologi dan Perubatan Dalaman di Sunway Medical Centre, Dr. Lydia Pok Say Lee.

Bukan lagi penyakit ‘orang kaya’

Dulu, gout sering dikaitkan dengan diet mewah dan dianggap penyakit ‘orang kaya’.

Hari ini, ia boleh menyerang sesiapa sahaja tidak kira status, umur atau jantina.

Di Malaysia, yang mana kadar obesiti semakin tinggi, gaya hidup sedentari dan pengambilan makanan proses serta minuman manis telah menjadikan gout semakin biasa dalam kalangan keluarga moden.

Apa lebih membimbangkan, kes gout kini bukan sahaja melibatkan warga emas, tetapi turut menjejaskan golongan muda termasuk mereka yang masih dalam usia bekerja dan aktif berkeluarga.

Apabila satu ahli keluarga mengalami serangan gout berulang, seluruh rutin keluarga boleh terganggu, terutama jika mereka menjadi kurang upaya untuk bergerak atau bekerja.

A Human Anatomy of Gout illustration

Gout sering dikaitkan dengan diet mewah dan dianggap penyakit ‘orang kaya’. — Gambar hiasan

Warisan dalam darah, boleh dicegah

"Mutasi genetik dalam sesetengah keluarga menyebabkan pengumpulan asid urik yang tinggi dalam darah," kata Dr. Lydia.

Ini menjadikan kesedaran dalam kalangan ahli keluarga sangat penting, terutama jika seseorang sudah mengetahui ada sejarah gout dalam keluarga.

Sebagai contoh, jika bapa atau ibu pernah menghidap gout, anak-anak perlu didedahkan sejak awal tentang langkah pencegahan termasuk menjaga pemakanan, kekal aktif dan mengelakkan berat badan berlebihan.

Serangan gout boleh berlaku secara tiba-tiba biasanya waktu malam dengan sendi (terutamanya ibu jari kaki) membengkak, merah dan amat menyakitkan.

Dalam kes kronik, penghidap boleh mengalami pembentukan ‘tophi’ (ketulan keras asid urik) di bawah kulit yang menjejaskan pergerakan.

“Serangan ini bukan sahaja menyakitkan, tetapi juga boleh menyebabkan ketidakhadiran kerja, hilang mobiliti dan tekanan emosi dalam keluarga,” kata Dr Lydia.

Dr. Lydia

Peranan keluarga dalam rawatan, gaya Hidup

Ramai pesakit yang enggan mendapatkan rawatan jangka panjang kerana bimbang dengan kesan sampingan ubat.

Di sinilah sokongan keluarga sangat penting.

"Kadang-kadang pesakit perlukan dorongan daripada pasangan, anak atau adik-beradik untuk teruskan rawatan dan ubah gaya hidup,” kata Dr Lydia.

Ahli keluarga boleh bantu dari segi:

1. Merancang hidangan rendah purin di rumah.

2. Menggalakkan senaman ringan secara berkumpulan.

3. Memastikan ubat dimakan secara konsisten.

4. Memberi sokongan emosi semasa serangan berlaku.

Seperti penyakit lain, pengesanan awal adalah kunci. dan jika seseorang dalam keluarga mula menunjukkan tanda-tanda seperti sakit sendi tiba-tiba tanpa sebab, atau bengkak pada ibu jari kaki, segeralah berjumpa doktor.

Tanpa rawatan, gout boleh membawa kepada komplikasi serius seperti:

1. Penyakit buah pinggang.

2. Kecacatan sendi.

3. Jangkitan

4. Masalah pergerakan jangka panjang.

Untuk keluarga yang pernah berdepan dengan gout, langkah pencegahan boleh dimulakan hari ini:

1. Kurangkan makanan tinggi purin seperti daging merah dan makanan laut.

2. Minum air secukupnya.

3. Kekalkan berat badan sihat.

4. Jangan abaikan simptom awal.

Gout bukan sekadar masalah peribadi kerana ia memberi kesan kepada seluruh keluarga.

Dengan sokongan, pemahaman dan kesedaran bersama, kita boleh elakkan penyakit itu daripada merosakkan kualiti hidup orang tersayang.

"Jangan tunggu hingga keadaan teruk baru bertindak. Gout boleh dikawal tapi hanya jika seluruh keluarga ambil berat," pesan Dr. Lydia sempena Hari Gout Sedunia yang disambut pada 22 Mei ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram