Elakkan si kecil sentuh ulat gonggok, boleh jadi punca mata buta, bibir membengkak


  • Bonda
  • Sabtu, 07 Jun 2025

FASA kanak-kanak merupakan peringkat di mana mereka cenderung untuk meneroka dan mencuba pelbagai perkara baharu.

Aktif dari segi tenaga dan keinginan yang tinggi untuk beraktiviti bersama ibu bapa, ia bagaimanapun perlu diberikan pengawasan penuh oleh penjaga bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang isu kecemasan.

Kembali hangat diperkatakan di laman sosial kebelakangan ini, kisah tragik seorang kanak-kanak usia setahun iaitu Lucas Wheeler yang dijangkiti alahan teruk di bahagian bibirnya gara-gara tergigit ulat gonggok.

BACA LAGI: Pro kontra video menyusu di laman sosial, Intan Najuwa anggap perkongsian bagus buat panduan ibu kali pertama

BACA LAGI: Chef Wan masih pegang 20 peratus saham syarikat Metta, nafi restoran diambil sepenuhnya pelabur

Kejadian berlaku ketika kanak-kanak comel itu sedang leka bermain berseorangan di halaman rumah sebelum dikatakan mengutip seekor ulat gonggok dan menggigitnya.

Usai insiden itu, bibir Lucas dilaporkan mula meradang dan membengkak sekali gus menyebabkan kanak-kanak itu menangis kesakitan selepas daripada kejadian tersebut.

Biarpun kes itu berlaku pada 2020, tragedi itu masih meninggalkan kesan mendalam buat masyarakat khususnya ibu bapa yang masih trauma akan keselamatan anak-anak di rumah.

Meskipun ulat gonggok ataupun dikenali sebagai (milipedes) tidak beracun, namun ia boleh memberikan kesan alergi teruk kepada individu yang menyentuhnya apatah lagi yang menyakitinya.

Menurut laporan media antarabangsa, ulat itu boleh mengeluarkan sejenis bahan toksik berbahaya ke seluruh badannya sekiranya berasa terancam dan ia boleh disembur sejauh 80 centimeter (cm) jauhnya.

Berikut merupakan senarai bahan kimia berbahaya dimiliki ulat gonggok.

- Asid hidroklorik

- Hidrogen sianida

- Asid organik

- Fenol

- Cresols

- Benzoquinones

- Hidrokuinon 

Antara simptom yang boleh menjangkiti pemangsa adalah seperti kesan gatal pada kulit, bengkak dan kemerah-merahan.

Namun, situasi lebih parah boleh berlaku sekiranya ulat tersebut masuk ke bahagian mata yang boleh menjurus ke isu serius seperti buta, keradangan kornea mata, kekejangan kelopak mata dan kesakitan melampau.

Kesan bibir bengkak dialami Lucas selepas dijangkiti toksik daripada ulat gonggok. — Agensi

 

Sekiranya anda dijangkiti toksik ulat tersebut, segera cuci dengan air paip selama lebih 20 minit bagi menghilangkan racun berkenaan.

Walaupun ulat gonggok kelihatan kurang berbahaya kerana tidak menggigit atau menyengat, ibu bapa perlu sedar bahawa reaksi alahan dan kerengsaan kulit boleh berlaku jika kanak-kanak menyentuh atau memasukkannya ke dalam mulut. 

Cecair yang dikeluarkan oleh ulat gonggok sebagai mekanisme pertahanan diri boleh menyebabkan iritasi mata, kulit dan mulut terutama bagi kanak-kanak kecil yang kulitnya jauh lebih sensitif.

Lebih baik mencegah daripada merawat, kanak-kanak yang sedang meningkat besar perlu sentiasa diberikan bimbingan yang selamat agar terhindar daripada sebarang isu kesihatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram