
PENGALAMAN sejak kecil menjadikan kerja kemasyarakatan sebagai sesuatu yang natural dan sebahagian daripada naluri Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Didikan dan bimbingan Almarhum Ayahanda, Sultan Abdul Halim dan Almarhumah Sultanah Bahiyah yang sering membawa baginda ke pelbagai program sosial di seluruh Kedah menjadi titik tolak kecenderungan dalam aktiviti kerja amal.
Dalam satu pertemuan empat mata bersama Majoriti, Tunku Puteri Intan Safinaz bertitah bahawa baginda mula mengendalikan program amal sendiri pada awal 1990-an selepas pulang menuntut di luar negara, ketika berusia sekitar 23 tahun.
BACA LAGI: Berbulan jadi hamba seks selepas maklumat sulit jatuh ke tangan 'predator' seksual
BACA LAGI: Berbulan jadi hamba seks selepas maklumat sulit jatuh ke tangan 'predator' seksual
Walaupun ketika itu berkhidmat dalam bidang korporat di ibu kota, minat terhadap kerja-kerja kebajikan khususnya di Kedah tetap menjadi fokus utama.
Sebelum menceburi bidang kebajikan dan kerja kemasyarakatan secara aktif, puteri bongsu kerabat diraja ini pernah berkhidmat dalam sektor korporat di ibu negara.
Keanggunan dan kelembutan peribadi dimiliki oleh puteri dilahirkan pada 22 Julai 1966 di Alor Setar, Kedah itu nyata menjadi cerminan darah diraja yang mengalir dalam diri baginda.
Wajah yang mirip sepenuhnya kepada Almarhumah bondanya, membangkitkan memori indah rakyat terhadap sosok seorang Sultanah disayangi dan dihormati seluruh Kedah dan negara.
Tunku puteri bukan sahaja mewarisi raut wajah ayu Almarhumah Sultanah Bahiyah, bahkan turut menyulam sifat terpuji sama dari sudut budi bahasa, rendah hati dan kesantunan amat dihargai.
Daripada ayahandanya pula, baginda menuruni sifat tenang, sabar dan pertuturan yang sentiasa lembut dan penuh hikmah.
Perwatakan baginda yang sentiasa bersederhana meskipun bergelar kerabat diraja menjadikan Tunku Puteri Intan Safinaz amat dekat di hati rakyat.
Tunku Puteri Intan Safinaz aktif dalam aktviti kemasyarakat sebagai Pengerusi Kebangsaan BSMM.
Antara sumbangan besar Tunku Puteri Intan Safinaz adalah sebagai Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dan penubuhan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) yang dinamakan sempena Almarhumah ibunda baginda.
Yayasan tersebut memberi tumpuan kepada pendidikan, kemasyarakatan dan membantu golongan wanita ibu tunggal serta remaja di seluruh Kedah.
Baginda bertitah, YSB juga kini aktif menjalankan program pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kawasan luar bandar Kedah.
"Program sedemikian memberi peluang kepada murid sekolah rendah untuk menerima sokongan pembelajaran tambahan khususnya subjek matematik dan sains.
"Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah bagi mengurangkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar," titahnya.
Nenda sebagai inspirasi
Ditanya mengenai tokoh inspirasi perjuangan, Tunku Puteri Intan Safinaz berkenan menamakan Raja Permaisuri Agong pertama Malaysia, Almarhumah Tuanku Kurshiah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin, yang terkenal dengan sumbangan memperkasakan wanita Islam dan Melayu sejak 1950-an.
"Almarhumah sudah terlibat dalam program kemasyarakatan sejak awal 50-an lagi, bermula di Negeri Sembilan sehinggalah di peringkat kebangsaan.
"Baginda memahami betapa pentingnya fungsi wanita dalam masyarakat. Tuanku Kurshiah ingin menaikkan taraf wanita terutamanya Melayu dan beragama Islam sebagai suara yang mustahak untuk didengari bukan sahaja dalam keluarga malah masyarakat," titah baginda.
Menekankan kepentingan kesatuan dan mengelakkan perpecahan masyarakat menjadi antara titah penting nenda yang dipegang teguh baginda.
Titah Tunku Puteri, pesanan tersebut sering diulang sejak baginda kecil dan menjadi asas dalam pendekatan hidup serta penglibatan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan.
"Antara nasihat paling diingati ialah jika melakukan sesuatu pekerjaan, lakukanlah dengan betul. Jangan sesekali memecah-belahkan masyarakat, sebaliknya utamakan kesatuan," titahnya.
Pesanan itu menurut baginda, lahir daripada pengalaman hidup nenda yang menyaksikan sendiri keperitan zaman perang dan perjuangan menuntut kemerdekaan negara.
Selain itu, Almarhumah ibunda baginda sendiri menjadi sumber utama inspirasi dalam memajukan masyarakat dan menggunakan kelebihan kerabat diraja untuk membantu rakyat.
Baginda bertitah, Almarhumah antaranya menggerakkan program kemasyarakatan, pendidikan, pemerkasaan wanita selain menyokong penglibatan remaja di peringkat sekolah dan universiti.
"Baginda memberi contoh kelebihan sebagai kerabat diraja di sesebuah negeri dapat dicurahkan kepada rakyat memerlukan," titahnya yang memperoleh pendidikan di dalam dan luar negara, termasuk di Cheltenham Ladies’ College serta University of Sussex, United Kingdom (UK).
Antara rutin senaman baginda termasuk bermain sukan pickleball.
Senaman harian
Selain tugasan rasmi, Tunku Puteri Intan Safinaz turut menitikberatkan aktiviti santai dan kesihatan dengan melakukan senaman harian sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.
Antara rutin baginda termasuk berjalan kaki, bermain golf, sukan pickleball dan berbasikal di sekitar Alor Setar yang memberikan ketenangan serta peluang menikmati keindahan alam.
Sejak dilantik sebagai Pengerusi Kebangsaan BSMM pada 2018, Tunku Puteri Intan Safinaz mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan tersebut sejak penubuhan pertubuhan berkanun itu pada 1948.
Baginda mengakui tiada cabaran besar dalam menjalankan tugas kerana mendapat sokongan padu daripada masyarakat, korporat dan agensi kerajaan.
Berjiwa rakyat
Di samping itu, Tunku Puteri turut terlibat dalam penerbitan buku The Homage yang mengabadikan sejarah dan kehidupan Almarhum Sultan Abdul Halim, memperlihatkan sisi peribadi dan rasmi baginda sebagai Sultan, termasuk minat serta kasih sayangnya terhadap binatang dan sukan.
Di sebalik kedudukan tinggi sebagai kerabat diraja dan pemimpin beberapa organisasi kebajikan, baginda tetap menampilkan sisi mesra dan mudah didekati dalam setiap interaksi.
Jelas sekali, nilai dan adab yang ditanam sejak kecil dalam lingkungan istana telah membentuk keperibadian Tunku Puteri Intan Safinaz sebagai wanita diraja berjiwa rakyat.
Baginda mewarisi bukan sekadar nama, tetapi juga semangat dan khidmat bakti Almarhum ayahanda dan bonda kepada masyarakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram