
DALAM dunia yang serba sibuk dan pantas hari ini, kebaikan tidak semestinya hadir dalam bentuk wang ringgit.
Kadangkala, hanya dengan secebis simpati dan empati, kita mampu menyentuh hati insan lain dengan begitu mendalam.
Hal sama berlaku kepada seorang ibu yang sedang bergelut menjaga anaknya yang sakit di sebuah hospital swasta di Kuantan, Pahang.
Kisah menyentuh hati itu dikongsikan wanita berkenaan menerusi akaun Threads @amaneeazhar, pada Ahad.
Menerusi hantaran itu, beliau meluahkan rasa terharu terhadap tindakan seorang penunggang e-hailing yang sanggup menghantar makanan hingga ke dalam wad hospital.
Menurut wanita itu, anaknya yang mengalami demam, batuk, selesema dan sesak nafas telah dimasukkan ke wad kerana keadaan paru-paru yang sensitif.
Beliau juga difahamkan sukar meninggalkan anaknya berseorangan kerana bimbang akan keadaan keselamatannya.
"Anak dimasukkan ke wad, hati pun serabut. Tapi rider ini betul-betul buat saya terharu.
"Beliau hantar makanan sampai naik masuk wad tanpa banyak tanya dan serah sendiri (makanan) dengan ikhlas.
"Dalam dunia yang sibuk ini, kebaikan macam ini mahal sangat. Semoga ALLAH SWT rahmati awak selalu abang rider," tulisnya.
Tindakan ihsan itu turut menyentuh hati ramai warga maya yang membanjiri ruangan komen dengan doa dan penghargaan.
Salah seorang pengguna Threads, @sharifah5428 mendedahkan bahawa beliau mengenali penunggang e-hailing tersebut dan berkongsi sisi lain kehidupan lelaki itu yang turut berjuang demi keluarga.
“Masha-ALLAH saya kenal rider Ini. Beliau memang baik, siang hari berjuang uruskan anak-anak dan isteri yang menjalani dialisis, ulang-alik ke hospital.
"Petang baru mula buat penghantaran makanan sampai subuh. Anaknya sorang ada sakit jantung kronik,” kongsinya.
Ramai pengguna lain turut menzahirkan doa agar individu itu dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan untuk terus menyara keluarga yang ditanggungnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram