'Anak sulung nangis, mama hanya tidur dengan adik', cuba 3 'ayat keramat' ini agar anak pertama sentiasa rasa disayangi


  • Bonda
  • Ahad, 20 Jul 2025

Ibu bapa perlu mengelak daripada mengabaikan perasaan anak sulung.

SITUASI anak sulung berasa tersisih apabila adik-beradik baharu dilahirkan bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan ibu bapa. 

Perkara itu sering berlaku apabila perhatian ibu bapa secara tidak sedar lebih tertumpu kepada anak yang lebih kecil, sehingga anak sulung terasa dipinggirkan.

Seperti hantaran seorang wanita menerusi akaun TikTok miliknya yang berkongsi luahan hati anak sulungnya yang menganggap kasih sayang si ibu semakin menjauh sejak kehadiran adik bongsu.

BACA LAGI: Ibu bapa keliru simptom anak pertama? kenali perubahan bayi normal atau tidak

BACA LAGI: Ibu bapa perlu ambil iktibar kisah Nabi Yusuf, berlaku adil elak anak berasa cemburu, bertindak agresif

Cemburu adalah reaksi biasa anak sulung apabila melihat ibu bapa memberi perhatian lebih kepada adik. 

Dalam perkongsian tersebut, si ibu menceritakan detik pilu apabila anak sulungnya menangis pada waktu malam, merayu agar dirinya dipeluk sebelum tidur seperti dahulu.

“Anak sulung menangis malam ini, merayu untuk saya peluk dia hingga tertidur. 

"Katanya, mama hanya tidur dengan adik, bukan saya,” tulisnya dalam video berkenaan.

Menurutnya, selama enam tahun pertama kehidupan anak sulung itu, mereka berdua amat rapat termasuk tidur berpelukan setiap malam.

Namun kini, dengan kehadiran seorang adik yang baru berusia setahun, kanak-kanak itu bergelut menyesuaikan diri untuk berkongsi perhatian dan kasih sayang ibu.

“Kadang-kadang tak sedar, anak sulunglah yang paling banyak membentuk diri saya sebagai ibu.

"Kini apabila perlu berkongsi saya dengan adik perempuannya, saya sedar dia masih sedang menyesuaikan diri dan memerlukan kasih sayang yang sama,” ujar si ibu.

Sementara itu, pendakwah bebas, Ustazah Sharifah Zahidah Syed Noh berkongsi antara tiga ‘ayat keramat’ yang boleh digunakan ibu bapa bagi membantu anak sulung tidak berasa tersisih dalam keluarga.

Sharifah Zahidah berkongsi antara ‘ayat keramat’ yang boleh digunakan ibu bapa bagi membantu anak sulung tidak berasa tersisih dalam keluarga.

Jelas beliau, ayat-ayat itu sesuai dipraktikkan seawal usia dua tahun ke atas, dalam beberapa situasi:

1) Merajuk atau sedih

Anak berusia dua tahun ke atas lazimnya sudah pandai merajuk apabila keinginannya tidak dituruti. 

Dalam keadaan ini, ibu bapa disarankan untuk memujuk dengan memberikan pengiktirafan terbuka kepada anak sulung.

Contoh ayat:

“Adik, tengok kakak lukis ini. Hebat kan kakak? SubhanAllah.”

“Adik, tadi kakak solehah sangat sebab tolong ibu kemas mainan. Adik tiru perangai kakak ya.”

Apabila anak sulung mendengar dirinya dijadikan contoh, mereka akan berasa dihargai dan segera ‘sejuk hati’. 

Ia kerana kanak-kanak seusia tiga tahun ke atas sudah mampu membezakan antara tingkah laku baik dan buruk.

2. Rebut perhatian atau anak sulung cemburu

Cemburu adalah reaksi biasa anak sulung apabila melihat ibu bapa memberi perhatian lebih kepada adik. 

Kadangkala, si kakak atau abang sengaja mencipta keperluan mendesak saat ibu menyusukan atau melayan adik.

Dalam situasi tersebut, elakkan daripada mengabaikan perasaan anak sulung, sebaliknya, libatkan dia dalam komunikasi:

Contoh ayat:

"Adik nak ibu suap makan ya? Okey, adik minta kakak tunggu sekejap dan adik minta maaf kakak ya. Lepas ini, ibu suap kakak pula makan, ya?" 

Tarik tangan adik dan acah-acah minta maaf dengan kakak. Sambil beritahu kepada kakak, adik kecil lagi, adik lapar, adik minta maaf sebab adik nak makan dulu dan sebagainya.

Ibu bapa disarankan memberikan pengiktirafan terbuka kepada anak sulung.

3. Berebut barang

Apabila anak-anak berebut barang, jangan terus menyebelahi adik yang lebih kecil. 

Sebaliknya, kawal emosi anak sulung dengan memberi ‘kemenangan’ kepadanya melalui pendekatan simbolik.

Contoh ayat:

“Adik, minta izin dulu dari kakak/abang.” 

Walaupun adik belum mengerti maksud izin, mesej itu ditujukan kepada anak sulung supaya dia rasa dihormati. 

Kesannya, anak sulung akan lebih mudah mengalah dan masalah rebut barang selalunya akan selesai dalam beberapa saat sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram