[VIDEO] Ibu panik kejar anak 'pandu' kereta mainan di lebuh raya, 3 pemandu buat 'benteng' selamat keadaan


  • Bonda
  • Ahad, 20 Jul 2025

Tangkap layar memaparkan keadaan wanita tersebut mengejar anaknya yang bermain di atas lebuh raya.

SEORANG wanita berdepan detik mencemaskan selepas menyedari anaknya yang 'memandu' kereta mainan secara tiba-tiba memasuki lebuh raya dalam satu kejadian di China.

Insiden pada 14 Julai itu sempat dirakam pengguna jalan raya yang lain sebelum dikongsikan di media sosial baru-baru ini.

Dalam rakaman berkenaan, ibu kanak-kanak itu dilihat berlari dalam keadaan panik mengejar anaknya yang semakin galak menggerakkan kereta mainan tersebut menggunakan kaki.

BACA LAGI: Minat astronomi sejak kecil, budak tahun 5 China bina roket sendiri guna bahan api pepejal

BACA LAGI: [VIDEO] Budak 6 tahun di China tertusuk lidi gula-gula sampai ke otak, ibu bapa didesak lebih berwaspada

Kejadian yang hampir meragut nyawa itu berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas dan kerjasama tiga pemandu yang kebetulan melalui lokasi terbabit.

Mereka bertindak menyalakan lampu kecemasan, memperlahankan kenderaan masing-masing dan bergerak seiring dengan kanak-kanak tersebut bagi membentuk satu ‘penghadang perlindungan bergerak’.

Saksi kejadian yang dikenali sebagai Zhao berkata, kanak-kanak itu menyangka keadaan tersebut sebagai sebahagian daripada permainan dan mula 'memecut' laju, menjadikan usaha menyelamat lebih sukar.

Namun, hasil kerjasama para pemandu yang prihatin, si ibu berjaya mendekati dan membawa anaknya keluar dari kawasan bahaya dengan selamat.

Zhao menjelaskan, kampung mereka terletak bersebelahan lebuh raya di sebuah wilayah, menjadikan ia kawasan yang berisiko tinggi kepada kanak-kanak, khususnya apabila kurang pengawasan.

Beliau menasihatkan ibu bapa agar lebih berhati-hati dan sentiasa memantau anak-anak kecil bagi mengelakkan insiden yang boleh mengundang tragedi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram