Awalnya janji nak jaga, wanita ditinggalkan teman lelaki lepas 3 bulan lumpuh akibat kemalangan


  • Maya
  • Jumaat, 18 Jul 2025

Bai kini hidup bergantung sepenuhnya pada bantuan dan tidak mampu menguruskan diri sendiri. — Agensi

SEORANG wanita muda dari China menjadi perhatian selepas teman lelakinya didakwa menghilangkan diri hanya tiga bulan selepas dirinya lumpuh akibat kemalangan jalan raya.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Bai, 25, mengalami kecederaan serius termasuk kerosakan saraf tunjang dan patah tulang selepas kereta dipandu teman lelakinya, Zhang bertembung sebuah lori di wilayah Gansu, barat laut China pada 5 April lalu. 

Ketika kejadian, selain Bai yang duduk di bahagian penumpang hadapan, beberapa ahli keluarga Zhang turut berada di dalam kenderaan terbabit.

BACA LAGI: Ibu tunggal lumpuh separuh badan derita ditipu suami 'pakar bedah', RM1.78 juta wang tunai lesap

BACA LAGI: Perut jadi 'mesin', wanita lumpuh, pernah terlantar 2 tahun akibat kemalangan bangkit cetus inspirasi jahit selimut

Mereka difahamkan dalam perjalanan berhampiran sebuah takungan air di wilayah Gansu, barat laut China.

Memetik laporan media negara berkenaan, Zhang dipercayai hilang tumpuan ketika membelok ke kanan, menyebabkan keretanya terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung sebuah lori.

Kenderaan mereka turut melanggar sebuah kereta lebih kecil di belakang lori tersebut.

Siasatan polis mengesahkan Zhang sebagai pihak utama yang bersalah dalam insiden tersebut kerana melanggar peraturan lalu lintas, manakala pemandu lori hanya dikenakan tanggungjawab sekunder.

Siasatan polis mengesahkan Zhang (kiri) sebagai pihak utama yang bersalah dalam insiden tersebut. — Agensi

Zhang dan keluarganya hanya mengalami kecederaan ringan, sebaliknya Bai mengalami kecederaan parah.

Beliau mengalami kerosakan saraf tunjang dan pelbagai tulang patah, menyebabkan dirinya lumpuh dari pinggang ke bawah.

Pasangan itu merancang untuk bertunang pada tahun ini dan mendirikan rumah tangga pada 2026, selain sudah berbincang untuk membeli rumah bersama.

Ketika rawatan awal, Zhang dan keluarganya dilaporkan sering melawat Bai di hospital dan berjanji untuk berkahwin dengannya.

Lelaki berkenaan turut menyatakan komitmen terhadap sokongan kewangan dan penjagaan sepanjang hayat.

“Kita akan berkahwin selepas awak sembuh,” kata Zhang seperti yang diingati Bai.

Bai kini sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap bekas teman lelakinya. — Agensi

Namun semuanya berubah selepas Bai dipindahkan ke hospital pemulihan di Chengdu. 

Menjelang penghujung Jun, Zhang dan keluarganya menghilangkan diri sepenuhnya, menghentikan semua komunikasi dan tidak lagi menyalurkan sebarang bantuan kewangan.

“Saya tanya ibunya melalui aplikasi WeChat jika boleh jumpa dia, tapi pada masa itu saya tiba-tiba lumpuh dan ditinggalkan. Hati saya benar-benar hancur,” luah Bai yang kini berdepan trauma emosi mendalam.

Bai kini hidup bergantung sepenuhnya pada bantuan, tidak mampu menguruskan diri sendiri dan terus menderita kesakitan akibat kerosakan saraf.

Kos rawatan awalnya dianggarkan sekitar 300,000 yuan (RM177,000), dengan keluarga Zhang hanya membayar lebih 100,000 yuan (RM59,000). 

Namun, pembedahan lanjut dijangka menelan kos antara 300,000 hingga 400,000 yuan (RM237,000) lagi.

Lebih memburukkan keadaan, simpanan Bai kini telah habis, manakala ibu bapanya yang bekerja sebagai petani tidak mempunyai sumber pendapatan stabil untuk menampung kos rawatannya.

Bai mengalami kerosakan saraf tunjang dalam kemalangan tersebut. — Agensi

Bai kini sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap bekas teman lelakinya untuk mendapatkan pampasan sewajarnya.

“Saya tidak boleh hentikan rawatan semata-mata kerana mahu selesaikan kes ini.

“Satu-satunya pilihan saya ialah menuntut agar pihak bertanggungjawab membayar kos rawatan terlebih dahulu,” ujarnya.

Sementara itu, menurut rakan kongsi kanan di Firma Guaman Zhejiang Exoneration, Zhang Yonghui, Zhang sebagai pihak utama yang bersalah dalam kemalangan itu mempunyai kewajiban undang-undang untuk membayar pampasan.

“Walaupun telah menghilangkan diri, Bai masih boleh menamakannya sebagai defendan utama dan memohon penguatkuasaan melalui siasatan aset,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram