
POLIS Indonesia membongkar satu sindiket pemerdagangan bayi antarabangsa yang dipercayai menjual sekurang-kurangnya 25 bayi ke Singapura sejak 2023.
Memetik laporan BBC, operasi tersebut turut membawa kepada penahanan 13 suspek selain menyelamatkan enam bayi berusia sekitar setahun yang hampir menjadi mangsa sindiket kejam itu.
Pengarah Siasatan Jenayah Umum Polis Jawa Barat, Surawan berkata, bayi-bayi yang dijual itu pada awalnya ditempatkan di Pontianak sebelum dokumen imigresen mereka disediakan dan dihantar ke Singapura.
BACA LAGI: 'Baby blues', kewarganegaraan antara faktor pemerdagangan anak angkat berleluasa — Aktivis
BACA LAGI: Rumah Bonda nafi terlibat kegiatan pemerdagangan bayi, sedia beri kerjasama
Modus operandi sindiket terbabit sangat terancang, menyasarkan ibu bapa atau wanita hamil yang enggan membesarkan anak mereka.
Menurut polis, dalam beberapa kes, perbualan bermula di platform media sosial seperti Facebook sebelum beralih ke aplikasi lebih tertutup seperti WhatsApp.
“Ada bayi yang 'ditempah' sejak dari dalam kandungan. Selepas bayi dilahirkan, semua kos kelahiran ditanggung sindiket, pampasan diberikan dan bayi terus diambil,” kata Surawan.
Bayi-bayi tersebut kemudian dijaga selama dua hingga tiga bulan oleh penjaga sindiket sebelum dihantar ke Jakarta dan Pontianak, beserta dokumen seperti sijil kelahiran dan pasport palsu.
Setiap bayi dijual pada harga antara 11 juta hingga 16 juta rupiah (sekitar RM3,200 hingga RM4,700).
Daripada siasatan awal, sindiket telah menjual 12 bayi lelaki dan 13 bayi perempuan, dengan kebanyakannya berasal dari daerah di Jawa Barat.
Polis kini menumpukan usaha untuk mengenal pasti pembeli-pembeli yang berada di Singapura.
“Kami akan menyemak maklumat perjalanan bayi terlibat termasuk individu yang menemani dan menerima mereka di sana,” ujar Surawan lagi.
Surawan (tengah) berkata, sindiket terbabit menyasarkan ibu bapa atau wanita hamil yang enggan membesarkan anak mereka. — Agensi
Maklumat awal menunjukkan kebanyakan bayi telah menukar status kewarganegaraan, namun pihak berkuasa masih menjejak pasport mereka.
Polis turut mendedahkan, bayi-bayi diserahkan kepada sindiket hasil persetujuan dengan ibu bapa kandung.
Beberapa kes dilaporkan sebagai penculikan hanya selepas broker gagal membuat bayaran seperti dijanjikan.
Sementara itu, menurut Pesuruhjaya Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI), Ai Rahmayanti, sindiket itu menyasarkan wanita yang terdesak seperti mangsa rogol, ditinggalkan suami atau hamil luar nikah.
Mereka sering menyamar sebagai klinik bersalin, rumah anak yatim atau tempat perlindungan yang kelihatan seperti menawarkan bantuan, tetapi sebenarnya memperdagangkan bayi secara haram.
“Kata-kata mereka nampak prihatin seperti ‘anda boleh bersalin dan bawa pulang bayi’, tetapi kemudian menawarkan wang dan mengambil hak penjagaan secara tidak sah,” jelasnya.
Polis Indonesia menahan 13 suspek terlibat dalam sindiket pemerdagangan bayi antarabangsa. — Agensi
Trend pemerdagangan bayi
Tiada data rasmi menunjukkan jumlah sebenar bayi yang dijual di Indonesia, namun statistik KPAI menunjukkan trend yang membimbangkan.
Jika pada 2020 hanya 11 kes dicatat, angka itu melonjak kepada 59 kes pada 2023.
Salah satu kes terbaru berlaku pada 2024, apabila beberapa bayi ditemukan dalam cubaan untuk dijual di lokasi seperti Depok dan Bali.
Harga bayi pula berbeza mengikut lokasi dan penampilan fizikal. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram