Ibu bapa keliru simptom anak pertama? kenali perubahan bayi normal atau tidak


  • Bonda
  • Sabtu, 31 Mei 2025

Kemunculan bayi pertama boleh memberikan pelbagai kejutan budaya kepada ibu bapa. — Gambar hiasan/Agensi

BERGELAR ibu bapa buat pertama kali merupakan pengalaman yang penuh cabaran dan kekeliruan. 

Setiap tangisan, kerenah ataupun perkembangan kesihatan si bayi boleh menimbulkan pelbagai persoalan dan kebimbangan.

Pun begitu, ramai ibu bapa tanpa disedari berdepan pelbagai situasi yang mungkin kelihatan menakutkan, namun sebenarnya normal bagi bayi yang sedang membesar. 

BACA LAGI: Penting demi kesejahteraan si manja, 5 panduan ibu bapa mandikan bayi mengikut usia

BACA LAGI: Sihat atau tidak? Panduan ibu bapa kenal pasti jenis muntah bayi berdasarkan warna

Berikut merupakan penjelasan dan jawapan di sebalik setiap pertanyaan yang sering diutarakan golongan ibu bapa di fasa awal kelahiran anak.

Isu kesihatan boleh mengakibatkan bayi menangis secara tiba-tiba. — Gambar hiasan/Agensi

1. Bayi kerap muntah susu - Perlu risau atau tidak?

Muntah susu yang sedikit dan tidak berbau selalunya adalah perkara biasa. 

Namun, jika bayi muntah dalam bentuk 'projektil' (menyembur), tidak menunjukkan penambahan berat badan dan muntah berwarna kuning atau hijau, ibu bapa perlu segera membawa bayi berjumpa doktor. 

Ia mungkin boleh menjadi petanda masalah kesihatan yang lebih serius jika dibiarkan.

2. Najis bayi berwarna hijau atau berlendir

Najis bayi boleh berubah warna bergantung kepada pemakanan, terutama jika diberikan susu formula, ubat atau mengalami perubahan diet. 

Namun, jika najis mengandungi darah, terlalu cair atau bayi kelihatan lemah dan tidak bermaya, pemeriksaan lanjut oleh pakar diperlukan dengan segera.

3. Bayi menangis berterusan tanpa henti

Tangisan adalah cara utama bayi berkomunikasi dan antara punca utama ialah kelparan, lampin basah, kembung, panas, sunyi atau tidak selesa. 

Jika bayi menangis tanpa henti terutamanya pada waktu petang hingga malam, ia mungkin disebabkan oleh kolik (sakit perut biasa bagi bayi).

Cubaan untuk menenangkan bayi termasuk memeluk, membedung dan membelai boleh membantu namun, jika keadaan tidak reda, segera dapatkan nasihat doktor.

 

4. Tidur siang, jaga malam 

Ia adalah pola tidur normal bagi bayi berusia bawah tiga bulan. 

Pada peringkat ini, bayi belum dapat membezakan waktu siang dan malam dan ibu bapa boleh perlahan-lahan mengajar dengan memastikan siang penuh aktiviti dan cahaya, manakala malam lebih senyap serta gelap.

 

5. Kepala bayi berlekuk dan berdenyut

Ini dikenali sebagai 'fontanelle' atau tompok lembut di kepala bayi dan merupakan perkara normal.

Namun, jika kawasan itu kelihatan sangat tenggelam, bayi mungkin mengalami dehidrasi.

Sebaliknya, jika ia menonjol keluar dan disertai penyakit demam, segera bawa ke hospital kerana ia boleh menjadi tanda masalah kesihatan yang serius.

 

6. Bayi tidak buang air besar tiga hari 

Bagi bayi yang menyusu badan sepenuhnya, tidak membuang air besar selama beberapa hari masih dianggap normal. 

Tetapi, jika bayi menunjukkan tanda seperti perut kembung, merengek dan najis keras, ibu bapa boleh cuba urut perut bayi dan dapatkan nasihat pakar jika keadaan berlarutan.

 

7. Batuk dan selesema, perlukah diberi ubat?

Bayi bawah usia enam bulan tidak boleh mengambil sebarang ubat batuk atau selesema tanpa arahan doktor.

Rawatan awal yang selamat termasuk menggunakan penyedut hingus, wap stim dan susu ibu.

Kebimbangan terhadap setiap perubahan adalah perkara biasa dan dilalui oleh setiap insan bergelar ibu bapa.

Walaupun simptom-simptom berkenaan kelihatan menakutkan, tetapi ketahuilah si bayi masih dalam kategori normal.

Walau bagaimanapun, sekiranya ibu bapa merasa ragu-ragu dan curiga, sebaiknya segera mendapatkan rawatan pakar kerana tindakan pantas boleh menyelamatkan nyawa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram