Tiada istilah lelaki 'lebih bersih', ketahui hukum najis ringan dan kaedah pembersihan air kencing bayi bawah 2 tahun


  • Bonda
  • Selasa, 15 Jul 2025

Najis air kencing bayi lelaki dan perempuan perlu dibersihkan mengikut panduan serta hukum syarak Islam. — Gambar hiasan/Freepik

KEBELAKANGAN ini, pasangan suami isteri khususnya kali pertama bergelar ibu bapa tampil menyuarakan persoalan berkaitan kategori najis air kencing bayi bawah usia dua tahun di sisi Islam.

Menjadi topik hangat di laman sosial, ada berpendapat bahawa air kencing lelaki lebih bersih kerana diisytihar sebagai najis mukhaffafah berbanding perempuan (mutawassitah).

Pakar dan Pembimbing Penyusuan, Tangisan Tidur Bayi, Isya menerusi perkongsian di laman Threads menjelaskan beberapa fakta dan pencerahan daripada hadis Nabi Muhammad SAW yang turut disokong dengan penemuan sains moden.

BACA LAGI: [VIDEO] Hargai pengorbanan suami, isteri Aaron Aziz kongsi kisah penghijrahan sekeluarga ke Malaysia

BACA LAGI: Atikah Suhaime ajar suami bersederhana, pakai semula baju lama, tidak perlu kisah jenama

Sunnah: Hukum berdasarkan wahyu

Dalam hadis sahih riwayat Abu Daud dan Tirmizi, disebutkan bahawa:

"Kencing bayi lelaki dipercikkan air, kencing bayi perempuan hendaklah dibasuh."

Hadis itu menjadi asas hukum fiqh berkaitan najis mukhaffafah, iaitu najis ringan yang hanya memerlukan percikan air sebagai kaedah penyucian khusus untuk bayi lelaki yang belum mencecah usia dua tahun dan menyusu ibu.

 

 

Sains: Urin bayi EBF kurang toksik

Berikut merupakan tiga penemuan klinikal dari garis panduan WHO berkaitan air kencing bayi Exclusively Breastfeeding (EBF).

- Mengandungi 90 hingga 95 peratus air

- pH hampir neutral (5.5 hingga 6.5)

- Amat rendah kandungan urea, ammonia dan garam mineral

Namun, kajian juga menyatakan tiada perbezaan ketara dari segi jumlah buangan atau kandungan mineral antara bayi lelaki dan perempuan.

Ini membuktikan bahawa hukum syarak tidak bergantung pada kebersihan air kencing semata-mata, tetapi atas dasar ta'abbudi, sejenis hukum ibadah yang ditetapkan oleh wahyu, bukan semata-mata logik sains.

Hikmah dan rahmat dalam hukum Islam

Menurut ulama, antara hikmah di sebalik kategori hukum najis adalah berdasarkan isu kebersihan bayi lelaki yang disifatkan lebih aktif dan terdedah kepada kekotoran berbanding perempuan.

Pendapat ulama

Zaman dahulu, bayi lelaki lebih kerap bersama ayah dan air kencing lebih banyak terkena pakaian berbanding perempuan. Maka, Islam memberikan rukhsah (keringanan) buat umatnya.

Bukan isu diskriminasi terhadap jantina, sebaliknya ia merupakan tanda rahmat dan penjelasan ulama dalam hukum Islam.

Cara membersihkan najis mengikut Fiqh

Berdasarkan syarak, kaedah penyucian air kencing bayi adalah seperti berikut:

Keadaan bayi dan kaedah pembersihan

- Lelaki + EBF sahaja (percikkan air)

- Lelaki + Makan/Formula (wajib basuh)

- Perempuan (semua keadaan) (wajib basuh)

Namun, hukum berkenaan hanya terpakai jika bayi lelaki belum makan makanan pejal dan di bawah usia dua tahun.

Penjelasan mufti

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi kenyataan turut menjelaskan bahawa Islam sangat menekankan soal kebersihan dan bersuci sebagai asas ibadah dan kehidupan berdasarkan hadis:

"Tanggungjawab setiap Muslim kepada ALLAH ialah mandi sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu dengan membasuh kepala dan badannya". (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sementara itu, kitab al-Taqrirat al-Sadidah menyatakan bahawa air kencing hanya dianggap najis ringan (mukhaffafah) apabila memenuhi empat syarat utama:

1. Air kencing dari bayi lelaki

2. Belum berusia dua tahun

3. Belum makan makanan yang mengenyangkan

4. Hanya menyusu susu ibu

Jika tidak cukup salah satu syarat ini, najis tersebut dikategorikan sebagai mutawassitah dan wajib dibasuh sepenuhnya.

Justeru, sama ada dari sisi sains ataupun sunnah, hukum penyucian air kencing bayi lelaki EBF memperlihatkan bahawa Islam adalah agama yang mendahului kajian serta saintis dari segi kemudahan dan kebersihan.

Walaupun air kencing bayi EBF secara saintifiknya disahkan kurang toksik, hukum syarak tetap berpaksikan kepada wahyu dan bukan perbezaan biologi semata-mata.

Maka, dengan penjelasan daripada mufti agama wilayah, ibu bapa dituntut menjalankan proses pembersihan berdasarkan kaedah ditetapan berlandaskan syarak Islam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram