Kenal pasti 8 ciri-ciri ini sebelum daftar anak ke tadika, paling penting point 1


  • Bonda
  • Khamis, 17 Jul 2025

Pemilihan tadika memainkan peranan penting terhadap perkembangan awal kanak-kanak.

SETIAP ibu bapa mahukan yang terbaik buat anak-anak baik dari segi pendidikan ataupun perkembangan masa depan.

Seawal usia empat tahun, kebanyakan ibu bapa sudah mula menghantar anak ke tadika dengan harapan agar si kecil terus diberikan pendedahan kepada aktiviti sosial dan pelajaran peringkat kanak-kanak.

Namun, lambakan tadika kebelakangan tahun ini mencetuskan perdebatan terhadap sejauh manakah sesebuah pusat itu benar-benar mengikuti program dan tetapan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

BACA LAGI: Abeer penerus legasi ibu, anak Sharifah Khasif johan Tilawah Al-Quran MQSS 2025

BACA LAGI: Tiada istilah lelaki 'lebih bersih', ketahui hukum najis ringan dan kaedah pembersihan air kencing bayi bawah 2 tahun

Ditambah pula dengan kes meragut nyawa dan penderaan di tadika, ia nyata mengundang kerisauan dalam kalangan ibu bapa yang sedang berada dalam fasa tersebut.

Tampil mengulas lanjut berkaitan isu berbangkit, seorang Pakar Pendidikan dan Keperluan Khas Kanak-kanak, Dila Khairuddin berkongsi beberapa tip dan panduan dalam memilih tadika terbaik berpandukan syarat ditetapkan oleh KPM.

Jelasnya aspek keselamatan, kurikulum dan pengurusan institusi pendidikan awal kanak-kanak wajar berada dalam persekitaran pembelajaran terbaik.

1. Tidak berdaftar dengan KPM

Tadika bagi kanak-kanak usia empat hingga enam tahun wajib berdaftar dengan KPM, manakala taska (bawah empat tahun) pula dikawal selia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Untuk menyemak status pendaftaran tadika, ibu bapa boleh melayari portal rasmi ePrasekolah KPM (https://eprasekolah.moe.gov.my/).

Sekiranya nama tadika dipilih tiada dalam senarai, itu menandakan bahawa ia tidak sah dan berisiko tinggi untuk mendaftar anak.

2. Nisbah guru, murid melebihi garis panduan

Menurut garis panduan KPM, nisbah ideal ialah seorang guru bagi setiap 10 hingga 15 murid.

Sebuah kelas dengan kapasiti seramai 20 hingga 30 orang murid dengan pantauan seorang guru boleh menjurus isu kerja berlebihan dan tekanan kepada warga pendidik.

Keadaan itu bukan saja menjejaskan perkembangan pembelajaran, malah menimbulkan risiko keselamatan dengan kanak-kanak juga sukar untuk menumpukan perhatian kepada sesi pembelajaran.

3. Tiada ketelusan kurikulum

Tadika berkualiti akan menggunakan sistem pelajaran dan kurikulum berdasarkan piawaian Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) tetapan KPM.

Manakala sesetengah tadika swasta pula mungkin mengintegrasikan pendekatan antarabangsa seperti Montessori atau Waldorf sebagai alternatif moden dalam membentuk perkembangan si kecil.

Sekiranya sesebuah tadika itu gagal mengemukakan kaedah kurikulum dan dokumentasi yang jelas, ia merupakan petanda besar kepada isu ketidaktelusan dalam soal pendidikan muridnya.

Menurut Dila (gambar kecil) fasiliti tandas, ruang makan dan kelas yang bersih menunjukkan sesebuah tadika itu cukup menjaga kebajikan murid-murid dari segi pemakanan dan kesihatan. — Gambar hiasan/Canva

4. Tiada langkah keselamatan asas

Ciri keselamatan fizikal seperti pintu masuk dan keluar berasingan, pagar berkunci, sistem kehadiran pelajar serta pemeriksaan keselamatan oleh pihak bomba adalah syarat utama untuk operasi tadika berdaftar.

Ketiadaan kesemua ciri tersebut menandakan pusat terbabit tidak mengutamakan keselamatan dan gagal mematuhi peraturan kerajaan.

5. Persekitaran kotor

Kebersihan sangat penting dalam institusi pendidikan awal kanak-kanak.

Fasiliti tandas, ruang makan dan kelas yang bersih menunjukkan sesebuah tadika itu cukup menjaga kebajikan murid-muridnya dari segi pemakanan serta kesihatan.

Malah, ia juga berisiko tinggi memberi impak negatif terhadap pembelajaran anak yang secara tidak langsung terganggu fokusnya ketika di dalam kelas.

6. Tiada sesi percubaan (trial session)

Tadika berkualiti kebiasaannya akan menawarkan sesi percubaan sehari atau beberapa jam supaya ibu bapa dan anak boleh menilai kesesuaian mereka dengan pihak berkenaan.

Jika pengurusan tadika terlalu mendesak ibu bapa mendaftar tanpa memberi peluang untuk sesi percubaan, berkemungkinan besar pihak pengurusan mahu mengelak daripada sebarang sesi penilaian.

7. Tiada sistem penilaian, pentaksiran pelajar

Tadika berdaftar akan mempunyai rekod pentaksiran atau penilaian untuk memantau perkembangan muridnya.

Sistem rekod buku bertulis misalnya antara yang boleh digunakan selain turut dipantau ibu bapa setiap hari selepas anak pulang dari tadika.

Kegagalan pihak tadikan menyediakan sistem tersebut membuktikan bahawa mereka gagal dalam pelaksanaan kurikulum dan perancangan pendidikan berkualiti.

8. Menu tidak seimbang

Makanan adalah komponen penting dalam perkembangan dan kesihatan kanak-kanak.

Tadika berdaftar lazimnya mempunyai menu makanan mingguan yang diluluskan KPM dan ibu bapa dinasihatkan meminta melihat jadual pemakanan disediakan setiap hari.

Sekiranya menu disediakan tidak seimbang atau meragukan, ia wajar diteliti dengan serius oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Justeru, pemilihan tadika bukan satu keputusan remeh dan ibu bapa disarankan untuk membuat lawatan bagi menilai keseluruhan persekitaran sesebuah tadika itu sebelum membuat keputusan.

Jangan mudah terpedaya dengan iklan semata-mata kerana pendidikan awal anak adalah pelaburan jangka panjang yang sangat penting. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram