
DIAM bukan bermakna mengalah, kebanyakan golongan suami sebenarnya kerap memendam rasa kecewa mereka apabila mula merasakan seolah-olah tidak lagi dihormati atau diperlukan dalam sebuah hubungan rumah tangga.
Menurut pemerhatian pakar hubungan kekeluargaan menerusi akaun Threads @Hamiz Farhan, rasa 'gagal' sebagai ketua keluarga itu boleh didorong oleh beberapa tindakan kecil para isteri yang mungkin dilakukan tanpa sedar.
Terdapat beberapa perkara sering dilakukan isteri yang mungkin menjadi punca kepada situasi tersebut.
BACA LAGI: Kategorikan mainan ikut jenis antara tip ibu bapa elak anak cepat bosan, cari gajet
Melakukan tindakan tanpa berbincang boleh menjatuhkan semangat suami. — Gambar hiasan
1. Kerap perlekehkan keputusan suami
Walaupun berniat untuk membantu, kenyataan seperti 'awak ini lambatlah, biar saya sahaja uruskan' atau 'tak perlu fikir sangat, saya dah biasa buat' boleh menyebabkan suami merasakan ideanya tidak dihargai.
Bagi seorang lelaki, ia bukan sekadar perbezaan pendapat, malah menjadi satu tamparan kepada egonya sebagai pemimpin keluarga.
2. Membandingkan suami dengan lelaki lain, terutama di hadapan ahli keluarga
Kenyataan seperti 'abang ipar saya boleh sahaja tolong masak' atau 'bos saya lebih penyayang daripada awak' walaupun mungkin bertujuan untuk menyedarkan, sebenarnya hanya membunuh keyakinan diri suami.
Perbandingan sedemikian boleh membuatkan suami rasa tidak cukup baik, bukan sahaja sebagai pasangan, malah sebagai lelaki.
3. Kurang memuji, tetapi mudah menegur bila buat kesilapan
Dalam kesibukan menguruskan rumah tangga, ramai isteri terlepas pandang usaha kecil suami.
Mereka pantas menegur kesilapan, tetapi jarang memberi pujian atas perkara yang dilakukan dengan betul.
Akibatnya, suami hilang semangat untuk mencuba kerana merasakan segala usaha tidak dihargai.
4. Mengambil alih tanggungjawab tanpa perbincangan
Isteri yang terbiasa menguruskan hal anak, kewangan atau keluarga tanpa melibatkan suami sebenarnya memberi isyarat bahawa dia tidak diperlukan.
Tanpa sedar, tindakan itu boleh menjejaskan perasaan hormat terhadap peranannya sebagai ketua keluarga.
Apabila semua keputusan diambil tanpa pendapat suami, lama-kelamaan sikap berdiam diri semakin menebal dalam dirinya.
"Kadang suami tak pandai luah semua.Tetapi, kalau korang perasan dia makin senyap, makin serah semua urusan dan semakin kurang beri pandangan.
"Itu tandanya dia dah mula persoalkan kedudukannya dalam rumah sendiri.
"Dia tak nak kuasa. Dia cuma nak dihormati sebagai lelaki yang sedang usaha buat yang terbaik," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram