
SEBUT sahaja rancangan memasak Jepun, Iron Chef, pasti ramai yang terkenang kehebatan cef handalan dari Negara Matahari Terbit itu menyediakan hidangan unik daripada ramuan eksotik seperti landak laut, kekapis, belut dan sebagainya.
Siapa sangka, di Damansara Uptown, Petaling Jaya, Selangor, sebuah kedai makanan Jepun diusahakan oleh dua beradik yang pernah mendapat pentauliahan daripada salah seorang Iron Chef sewaktu mereka bekerja di restoran sushi di Amerika Syarikat (AS).
Cef Fuji Chong dan abangnya, Cef Yama yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur berhijrah ke luar negara pada usia muda bagi mendapatkan pengalaman bekerja selain membantu menyara keluarga.
BACA LAGI: Kandungan berkualiti untuk semua, sari kata BM pikat audiens hayati drama popular Hong Kong di TVB
"Kami bukan datang dari keluarga senang. Ayah hanya kerja buruh manakala ibu pula suri rumah.
"Jadi untuk menyara kami 10 beradik bukan mudah. Hidup ketika itu memang kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang," kata Fuji kepada Majoriti.
Menurut lelaki berusia 59 tahun, dia mengikut kawan-kawannya ke Taiwan untuk kerja kilang dan penghantaran manakala Yama pula mencari peluang pekerjaan di AS dengan memasuki dunia kulinari.
Selepas dua tahun bekerja di Taiwan, Fuji seterusnya mencari makan di Osaka, Jepun dan dari situlah dia mempelajari mengenai pembuatan sushi selepas menukar cabang pekerjaan dalam bidang makanan dan minuman.
"Saya mula-mula makan sushi semasa di Taiwan selepas diperkenalkan oleh kawan tapi tak pernah tahu cara pembuatannya.
"Hanya apabila saya bekerja di restoran Jepun, saya dapat lihat sendiri cef sushi menyediakan juadah itu di depan mata.
"Mereka begitu cekap dan handal mengendalikan pisau untuk memotong ikan segar dan menyajikan secara mentah kepada pelanggan," imbaunya.
Walaupun bekerja di restoran sushi, Fuji mengakui dia tidak pernah diberi peluang 'bermain' dengan pisau dan ikan-ikan segar, sebaliknya hanya ditugaskan memasak nasi dan membuat kerja-kerja dapur lain.
"Saya hanya belajar melalui observation. Bukan budaya masyarakat Jepun untuk 'menurunkan' ilmu kepada orang luar lagi-lagi saya bukan rakyat negara itu," katanya.
Fuji menunjukkan liputan media di Amerika Syarikat yang pernah menampilkan restoran sushinya.
Selepas 18 bulan berkelana di Jepun, Fuji akhirnya menyertai Yama di New York, AS, yang ketika itu sudah bergelar cef sushi.
Dia menimba ilmu daripada cef-cef berpengalaman Jepun termasuk Iron Chef yang berkhidmat di negara Uncle Sam itu daripada pembuatan sushi hinggalah teppanyaki.
"Di New York, selera Barat sukakan sesuatu yang fusion. Mereka gemar makan sushi dengan pelbagai sos tidak terhad kepada kicap cair dan wasabi sahaja.
"Dari situ, saya dan Yama belajar campur sos untuk menghasilkan keunikan dalam hidangan sushi kami," katanya sambal memberitahu gelaran 'The Magic Chef' diberikan atas kreativiti mencipta sos.
Hampir sedekad di New York, Fuji kemudian berpindah ke Phoenix, Arizona dan melakukan dua kerja sebelum berjaya membuka dan mengendalikan restorannya sendiri.
Selama lapan tahun menjalankan perniagaan di negara orang, Fuji kemudian kembali ke Malaysia pada 2013 bagi menunaikan permintaan ibunya yang mahu dia pulang ke tanah air.
"Saya jual kereta dan rumah di AS dan ambil keputusan untuk buka restoran sushi di Malaysia," katanya.
Tahun pertama menjalankan perniagaan, Fuji sudah diuji dengan cabaran apabila empat restorannya yang diusahakan secara francais bersama rakan niaga tidak beroperasi dengan baik.
"Saya bertanggungjawab menjaga central kitchen dan tidak terlibat langsung dalam operasi perniagaan ketika itu," ujarnya.
Fuji (kiri) berbual dengan beberapa pelanggan tetap di restorannya di Damansara Uptown.
Tidak mahu modal kira-kira RM700,000 lebur begitu saja, Fuji membuat keputusan untuk berpisah dengan rakan niaga dan menguruskan sendiri salah satu kedai berbekalkan pengalaman menjalankan bisnes di AS.
Dari situ restoran FujiYama mula berkembang dan mendapat tempat dalam kalangan pelanggan tempatan.
Sudah beroperasi kira-kira 12 tahun, FujiYama ternyata memiliki pelanggan tersendiri apabila mampu berdiri teguh walaupun negara berdepan pandemik Covid-19 yang menyaksikan banyak perniagaan terjejas ketika itu.
"Saya boleh dikatakan bernasib baik kerana operasi harian masih berjalan lancar walaupun sedikit terjejas akibat Covid-19.
"Pada masa itu, saya berpeluang menyewa sebuah premis di Damansara Uptown pada separuh harga iaitu kira-kira RM6,000 (harga asal RM12,000) dan menjadikannya sebagai cawangan kedua dengan menjenamakannya sebagai FujiYama 101.
"Namun selepas pandemik berakhir, saya tukar lokasi FujiYama 101 ke Seksyen 13, Shah Alam memandangkan kami mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan Melayu.
"Yama membantu menguruskan cawangan di Shah Alam selama beberapa tahun sebelum dia pulang ke AS," ujarnya yang memberitahu, FujiYama memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Antara menu sushi fusion yang boleh didapati di FujiYama.
Kongsi Fuji, resipi kejayaannya terletak pada kualiti makanan yang dihidangkan.
"Saya pastikan hidangan diperbuat daripada bahan-bahan segar sahaja dan rasanya konsisten.
"Pekerja juga walaupun mereka warga asing, namun tetap dilatih untuk memastikan rasa autentik makanan Jepun dapat dikekalkan.
"Macam ketua cef, dia berbangsa Nepal dan memang susah nak ajar pada awalnya. Masalah bahasa buat kami sembang macam ayam dan itik.
"Namun, dia sudah 12 tahun berkhidmat dan benar-benar faham kehendak saya," ujarnya.
FujiYama menawarkan pelbagai menu sushi fusion seperti rock shrimp (udang tempura bersama mangga dalam sos signatur), salmon belly sushi Osaka bersama sos bawang putih dan tuna serta salmon bersama sos yuzu wasabi.
Selain itu, hidangan sashimi, teppanyaki, bento, ramen, soba dan donburi juga boleh didapati di restoran FujiYama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram