
SEORANG ibu tunggal dari wilayah Hebei, China ditinggalkan dalam keadaan tertekan selepas suaminya yang disangkakan doktor menghilangkan diri bersama pinjaman wang lebihi tiga juta yuan (kira-kira RM1.78 juta).
Wanita bernama, Li Shangxuan, 31, yang lumpuh separuh badan akibat kemalangan jalan raya pada 2013, kini bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda untuk bergerak.
Semasa menjalani rawatan pemulihan, Shangxuan berkenalan dengan seorang lelaki, Ding yang mendakwa dirinya pakar bedah.
BACA LAGI: Ramai tak tahu, cara 'scroll', pegang telefon pintar dedah sisi tersembunyi personaliti anda
Selepas penceraian, Shangxuan kini tinggal bersama anak kecilnya.
Mereka mula berkomunikasi menerusi media sosial dan Ding mengaku pernah menjalani latihan praktikal di sebuah hospital.
Lelaki itu kemudiannya memikat hati Shangxuan dengan janji manis dan menunjukkan sikap penyayang.
Hubungan mereka semakin serius sehinggakan tidak lama kemudian, Shangxuan disahkan hamil.
Ding mendakwa telah meninggalkan kerjaya perubatan untuk memulakan perniagaan dan menjanjikan kehidupan yang lebih baik buat Shangxuan dan anak yang bakal lahir.
Terpesona dengan personaliti Ding, Shangxuan dan keluarga menerima lamaran lelaki itu.
“Ketika dia melamar, saya rasa hidup saya akhirnya berubah ke arah lebih baik,” kata Shangxuan.
Namun, hanya dua bulan selepas mereka berkahwin, Ding ditahan pihak polis atas tuduhan merogol, tetapi berjaya dibebaskan selepas meminjam wang daripada Shangxuan.
Lebih membimbangkan, sepanjang tempoh kehamilan, Ding kerap memintanya sejumlah wang yang besar atas alasan untuk mengembangkan perniagaan.
Apabila enggan memberi, beliau bukan sekadar diusir, malah turut menjadi mangsa penderaan emosi dan fizikal.
Ding juga memaksa Shangxuan mengambil pinjaman sebanyak tiga juta yuan atas namanya sendiri.
Sehari selepas anak mereka dilahirkan, pasangan itu bercerai dan Ding melepaskan hak penjagaan anak.
“Saya sedar ketika itu bahawa saya dan anak hanyalah alat untuk kepentingannya,” luah Shangxuan.
Selepas perceraian, Ding terus menghilang tanpa sebarang khabar.
Anak mereka tidak pernah mengenali ayah kandungnya, apatah lagi menerima kasih sayang daripadanya.
Lebih mengejutkan, Shangxuan kemudian mengetahui bahawa Ding sebenarnya tidak memiliki kelulusan dalam bidang perubatan.
Suaminya diberhentikan semasa menjalani latihan di hospital atas kesalahan gangguan seksual dan kes itu diselesaikan melalui bayaran pampasan.
Sijil perubatan yang didakwanya dimiliki juga adalah palsu, dan perniagaan yang disebut-sebutnya sebenarnya tidak wujud.
Malah, Ding turut menanggung hutang peribadi lebih tiga juta yuan.
Pada 22 Mei lalu, Shangxuan tampil mendedahkan kisahnya di media sosial dengan harapan bekas suaminya akan tampil bertanggungjawab.
Beliau turut menyeru wanita lain yang mengalami nasib serupa supaya berani bersuara.
“Tiada manusia yang sempurna. Hati-hati dengan kepura-puraan dalam hubungan. Jika anda pernah melalui perkara seperti ini, jangan takut. Bangkitlah untuk diri sendiri dan anak anda,” tegasnya.
Walaupun masih bergantung kepada kerusi roda, Shangxuan kini berusaha menyara hidup dengan membuat penstriman langsung dan menjual makanan serta barangan rumah secara atas talian.
Shangxuan dijangka membawa kes penipuan pinjaman itu ke muka pengadilan pada bulan Jun ini.
Menurut peguam Fu Jian dari Firma Guaman Henan Zejin, jika terbukti Ding menipu mengenai tujuan pinjaman, Shangxuan berhak menuntut semula jumlah penuh berserta faedah.
Fu juga mengesyorkan agar Li mengambil tindakan undang-undang terhadap Ding atas kes penderaan rumah tangga dan pengabaian tanggungjawab sebagai bapa. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram